Completed
4262
“Tapi, Abang Man” Doktor Asnizam masih mahu membantah namun bahunya diramas lembut oleh prof Johan.
“Abang Man lebih tahu apa yang perlu dilakukan. Kita ikut sahaja. Sekarang ni kita berdoa agar Hakim selamat.” Ujar prof Johan. Ada keluhan berat dari bibirnya. Dia juga dirempuh kerisauan, namun dia harus percayakan pemandu arah mereka, Abang Man. Dia lebih berpengalaman.
Baru sahaja situasi mahu reda, kedengaran suara jeritan nyaring seorang gadis. Alissa rebah setelah itu. Keadaan menjadi hingar-bingar semula. Ariana pula sudah mencerlung matanya melihat apa yang orang lain tidak mampu melihat.
Baru abang Man mahu mendapatkan Alissa, Sherlis yang berdiri berhampiran Arman pula ketawa mengilai. Arman dan rakan-rakan berhampiran terus menjarakkan diri melihat perubahan Sherlis. Rambutnya yang panjang menambah ketakutan mereka.
Suara hilaian Sherlis yang awalnya perlahan menjadi semakin lantang. Mereka yang berada di tapak perkhemahan itu sudah berkumpul. Abang Man terkumat-kamit membaca ayat kursi, namun saat Sherlis mengajuk bacaan abang Man dengan suara mengejek, mereka semakin dihimpit ketakutan. Masing-masing pucat wajahnya. Berdiri bulu roma mereka saat Sherlis sudah merangkak di tanah cuba mendekati mereka. Tapak perkhemahan itu bingit dengan jeritan.
Sherlis yang merangkak semakin hampir dengan Fariha membuat gadis itu menjerit ketakutan. Pipinya sudah basah dengan air mata. Kelam-kabut mereka dibuatnya. Namun Ariana yang tiba-tiba berdiri dihadapan Fariha menghadap Sherlis yang masih merangkak seperti kanak-kanak yang tidak reti berjalan itu membuat keadaan kembali senyap. Mereka menumpukan pandangan pada dua gadis itu.
Yang anehnya, Ariana tidak menunduk memandang Sherlis di tanah, terapi matanya lurus menentang sesuatu yang tidak mereka nampak turut berdiri menentang gadis itu.
“Kau nak apa?” Soal Ariana dengan suara tenang. Terdengar hilaian suara Sherlis. Tidak! Itu bukan suara Sherlis sebaliknya suara itu kedengaran seperti suara nenek tua. Agak lama Ariana terdiam.
“Kau fikir aku bodoh?” Ujar Ariana dengan nada yang sedikit dikeraskan. Abang Man yang mulanya memerhati mendekati Ariana. Dia berdiri di belakang gadis itu bagi menyokongnya. Dia kini mengerti dan dapat melihat kelebihan Ariana.
“Jangan sangka aku takut.” Sindir Ariana tiba-tiba. Cara Ariana bercakap seolah ada perbualan yang tidak kedengaran dari pihak yang satu lagi. Ariana tiba-tiba berpaling ke arah abang Man dan semua yang sudah berlindung di belakangnya.
“Iblis ni nak tunjukkan diri dia. Aku nak kau orang bersedia. Jangan sesekali tumbang. Aku tak nak dia rasa yang ada antara kita yang takut.” Ujar Ariana. Sebentar kemudian, gadis itu membisikkan sesuatu di telinga abang Man yang kemudiannya berlalu mendapatkan semua yang berada di belakang.
Seketika kemudian, semua rakan-rakan sekuliah Ariana termasuk pensyarah-pensyarahnya sudah duduk dalam bulatan mengelilingi Ariana dan Sherlis. Mata Sherlis meliar melihat satu persatu wajah takut itu.
“Apa yang kau pandang? Tunaikan apa yang kau cakap tadi.” Arah Ariana tenang.
Sebaik habis bicara Ariana angin mula bertiup kencang seperti mahu ribut. Dedaun gugur ditampar angin kencang. Cuaca yang mendadak berubah membuat semua yang berada di situ jadi semakin cemas. Tapi, bagi Ariana dan abang Man perkara seperti ini sudah dijangka.
Dalam keributan itu, muncul satu makhluk yang sangat menyeramkan terapung di atas Sherlis yang masih bercangkung di situ. Dia menyeringai ke arah Ariana menampakkan barisan giginya yang tajam. Ada dua taring di bahagian rahang bawahnya. Matanya yang memerah seolah terjojol keluar melawan renungan tajam Ariana. Kepala dan tubuhnya ditutupi bulu hitam yang lebat.
Saat itu juga bau yang begitu memualkan menyucuk lubang hidung semua yang menyaksikan kewujudan makhluk ngeri itu. Ada antara rakannya yang rebah tidak sedarkan diri, ada yang termuntah malah ada yang sudah kaku tidak mampu bereaksi kerana ketakutan.
Waktu itu juga Ariana memberi isyarat kepada abang Man. Abang Man yang memahami, melaungkan azan sekuat mungkin supaya suaranya tidak tenggelam dibawa angin kencang. Arman yang pada mulanya terpinga-pinga turut melaungkan azan diikuti beberapa mahasiswa lain. Rakan-rakan perempuan Ariana pula mula menggagahkan diri berzikir pada Allah. Segala-galanya berjalan mengikut arahan Ariana.
Share this novel