BAB 9

Thriller Completed 4262

“Jangan! Biar aku dan Saifullah yang ke sana.” Tegah Megat. Ariana terdiam sejenak sebelum akhirnya mengangguk.

Ariana memerhati Megat dan Saifullah yang melangkah laju ke tebing sungai. Langkah mereka ringan dan sukar didengari. Kagum Ariana melihat kebolehan mereka. Seketika kemudian Megat dan Saifullah melompat tinggi dan terus mendarat di batu besar itu. Melopong juga Ariana melihatnya. Masakan tidak, sekali lihat kedua-dua pemuda itu kelihatan seperti terbang.

Megat dan Saifullah sudah memapah tubuh itu, namun belum sempat tubuh itu dibawa ke tebing, bagai ada sesuatu menyerang mereka lebih pantas dari kilat. Gedebush! Tahu-tahu sahaja, Saifullah sudah tercampak ke dalam sungai.

“Subhanallah!” Suara Hasbullah dan rakan-rakannya yang juga diam memerhati memalu gegendang telinga Ariana. Dia sendiri terkedu melihat serangan mendadak itu. Belum pun sempat Ariana bertindak, Hasbullah dan rakan-rakannya yang lain sudah berkejar ke batu itu bagi membantu Megat. Tuk Pujangga sudah bersila di tebing sambil memejamkan mata. Berlawan secara batin mungkin.

Ariana melihat jelas pertarungan sengit di hadapan matanya. Enam gadis sudah menyerang enam pemuda itu. Namun mereka tidak mudah dikalahkan. Setiap seorang bijak menangkis setiap serangan. Mereka kelihatan setanding.

Ariana berlari mendekati sungai. Dia berdiri berdekatan tebing. Hatinya ragu melihatkan jarak antara tebing itu dengan batu besar yang masih menampung tubuh longlai yang dijumpai mereka tadi. Matanya melirik ke arah Megat yang sudah tergolek di tanah sebelum bangkit semula menyerang salah seorang puteri itu. Dia menjenguk pula ke dalam sungai yang mengalir deras. Mana Saifullah? Adakah lelaki itu telah hanyut dibawa arus?

Gadis itu menghela nafas sedalamnya. Dia mempunyai peluang untuk menyelamatkan pemilik tubuh di atas batu itu. Dia lantas berundur sedikit ke belakang sebelum memecut dengan pantas. Kaki kanannya menolak kuat tanah hingga tubuhnya terbang tinggi sebelum mendarat dengan sempurna di atas batu itu. Dia sendiri terkejut dengan kekuatannya. Saat itu dia teringat kembali kata-kata Sari, kakak segurunya yang sama-sama menuntut ilmu dengan Ratna Seri Dewi.

“Tahukah Ariana.” Belum sempat Sari menghabiskan bicaranya, Ariana yang duduk di tunggul kayu bersebelahan Sari memintas.

“Tak tahu.” Ariana kemudiannya tertawa kecil saat bahunya ditepuk lembut oleh Sari. Matanya yang merenung wajah jelita Sari kembali melihat Ratna Seri Dewi yang turut menguntum senyuman di hadapan mereka. Mereka melepaskan lelah mereka di tunggul kayu itu sebaik habis latihan mereka tadi.

“Iyalah, kakak mahu ceritalah ni.” Balas Sari yang selesa menggelarkan dirinya sebagai kakak. Ariana mengangguk lalu meneguk air embun yang dihulurkan Dewi Seri Ratna menggunakan sehelai daun lebar. Terasa dingin air itu membasahi tekak. Hilang penatnya sebentar.

“Di dunia kami, sungguh kami gentar akan kehadiran manusia.”

Terjungkit sebelah kening Ariana mendengarnya.

“Gentar? Mengapa?” Soalnya kehairanan.

“Kerananya, manusia adalah ciptaan Allah yang paling sempurna. Jika ada manusia yang tersesat di dunia kami maka kekuatannya melebihi apa yang dia sendiri jangka.” Sari menarik tangan Ariana.

“Itulah ketentuan Allah. Atas izinnya, seorang manusia sahaja mampu mendatangkan ancaman besar ke dunia kami.” Katanya lagi.

Ariana mengangguk kagum sebelum matanya memandang dada langit yang sudah semakin terang. Dia sememangnya berguru dengan Ratna Seri Dewi beberapa jam selepas Isya’.

Waktu itu dia akan menyelinap keluar dari rumahnya tanpa di kesani ibu bapanya. Dia akan berguru dan berjemaah subuh bersama Ratna Seri Dewi dan Sari sebelum berlatih lagi dan akhirnya pulang sebelum matahari terbit.

“Eh Sudah terang. Ariana pulang dulu.” Ujar Ariana sebelum bersalaman dengan kedua-dua insan yang berlainan dunia dengannya namun sudah dianggap seperti keluarganya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience