Completed
4262
“Ariana.” Ustaz Rahimin menyeru lagi nama itu. Abang man dan yang lain hanya diam memerhati. Ustaz Rahimin kembali membuka kelopak matanya yang sedari tadi terkatup rapat. Matanya redup sekali.
“Ariana cedera.” Dia memakukan pandangannya pada rakannya, abang Man.
“Kita salurkan pertolongan kita setakat yang mampu.” Ujar Ustaz Rahimin lagi.
abang man kelihatan mengangguk perlahan sebelum membentangkan sejadah yang dibawanya ke atas tanah menghadap kiblat. Yang lain turut meniru perbuatan lelaki itu. Mereka juga mahu membantu Ariana setakat yang mereka mampu.
“Doa! Itu senjata yang paling utama.” Ujar abang Man. Ustaz Rahimin mula mengangkat takbir dan mereka memulakan solat sunat mereka di imami oleh ustaz Rahimin dengan ikhlas hati dan khusyuk serta bersama harapan agar Ariana dan Hakim selamat.
Ariana mengerutkan dahinya. Suara yang menyerunya berhenti begitu sahaja. Ariana menekan lengan kirinya yang luka menggunakan tangan kanannya. Menyeringai wajahnya menahan kesakitan.
Puteri bertujuh cantik rupawan
Sayang hati dihasut syaitan
Jiwa si ibu dirasuk rawan
Melihat puteri-puterinya tersesat jalan
Nyawa manusia menjadi korban
Puteri sulung kunci kemenangan
Ariana berpaling mendengarkan suara syahdu seseorang mengalunkan syair. Dia kenal suara itu. Bulat matanya memandang kehadiran Ratna Seri Dewi dan Sari beberapa meter dari tempat mereka bertempur. Ariana berpaling semula saat dia mendengar jeritan Saifullah. Puteri tadi sudah mencengkam batang leher Saifullah.
Kuatnya dia hingga tubuh sasa Saifullah terawang-awang tanpa menjejak bumi. Saat itu juga Sari berlari menghulurkan bantuan. Serangan Sari membuatkan puteri tadi mencampak tubuh Saifullah. Tubuh sasa itu tercampak ke arah Ariana dan kesan dari rempuhan itu membuatkan tubuh kecilnya pula tercampak ke dalam sungai.
Ariana membuka matanya. Sejuk yang dirasakan menggigit hingga ke tulang hitam. Dia cuba berenang ke permukaan, namun tiba-tiba tubuhnya ditarik pusaran air yang kuat. Dia tidak mampu melawan. Dia meronta-ronta. Kakinya menendang-nendang pantas dengan harapan dia berjaya naik ke permukaan. Dia dapat rasakan dadanya semakin sesak tanpa udara.
Keadaan itu seketika cuma. Dia seperti mendengar suara ramai-ramai mendoakan dia. Waktu itu dia merasakan dadanya tidak lagi sesak. Dia berhenti meronta.
Matanya tertancap pada sesuatu yang berkilau di dasar sungai. Pusaran air itu berhenti mendadak. Ariana menyelam lebih dalam. Barang yang berkilau tadi dicapai dan dibelek. Keris? Keris berwarna putih.
Ketika itu kotak ingatannya tentang keris hitam yang digunakan salah seorang puteri tadi terbuka. ‘Hitam lawannya putih!’ Hatinya terdetik. Dia berenang ke permukaan. Dengan payahnya dia memanjat ke tebing. Namun, ada sesuatu yang terlintas difikirannya.
Lukanya masih berdarah, tetapi sakitnya tidak seteruk tadi. Tangannya yang memegang keris itu dibelek. Dari mana datangnya tenaga yang dia rasakan kini?
“Ariana!” Jeritan Sari menyedarkan Ariana. Gadis itu tidak menunggu lama untuk menghulurkan bantuannya pada Sari. Kerjasama mereka sangat sempurna tetapi kekuatan puteri itu sukar ditewaskan.
Tuk Pujangga membuka matanya. Dia dapat mengesan kehadiran keris putih di tangan Ariana. Dia tersenyum penuh makna. Seketika dia bangkit dari duduknya. Telapak tangannya menghala ke arah Ariana, Sari dan Puteri tadi.
Share this novel