Bab 5

Romance Completed 11832

5

Indah sekali permandangan di sebalik dinding kaca Palma Inn Resort itu. Padang yang menghijau dengan pokok palma yang tersusun dihiasi pokok-pokok bunga pelbagai jenis dan warna menambah seri kawasan tasik buatan yang kelihatan tenang. Di satu meja, Tahlia duduk sambil menyedut sedikit jus orennya.

"Tahlia?" Satu suara memanggil namanya. Dia berpaling saat mendengar namanya di seru.

Kelihatan Azman yang segak berpakaian pejabat dengan kot hitam lengkap sudah berdiri tegak di sebelahnya. Berbeza dengannya yang lebih kasual dengan T-shirt hitam berlengan pendek di sebalik sweater merah jambu dipadankan dengan seluar jeans panjang berwarna biru lusuh. Wajahnya langsung tidak dicalit dengan sebarang alat solek.

Azman menarik kerusi di hadapan Tahlia. Melihatkan Lia yang bermasam muka dengannya, dia faham benar kenapa dia bereaksi sebegitu. Segaris senyuman pun tidak dihadiahkan padanya.

"Lia, kau tahu kenapa kita berjumpa kan? Aku jumpa kau ni sebab aku nak bincang pasal perkahwinan kita." Azman meneliti wajah Tahlia untuk melihat reaksinya, namun hampa. Wajah itu tetap beku.

Tahlia menyedut lagi jus oren di hadapannya. Sungguh, dia tidak berminat dengan topik yang dibangkitkan lelaki di hadapannya ini. Rasanya, sudah tiada apa yang mampu menarik minatnya.

"Err... Lia, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?" tegur Man.

Kali ini, kata-katanya berjaya membuatkan Tahlia menjatuhkan pandangan ke arahnya. Namun sekejap sahaja sebelum gadis itu kembali ke dalam dunianya sendiri. Teguran Azman seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Azman mengurut tengkuknya. Dia pula yang jadi kekok berhadapan dengan Tahia yang diam membatu ini. Dia memerhati wajah Lia. Nyata, gadis itu kelihatan semakin cantik meskipun tiada secalit solekan di wajah.

Namun, ada sesuatu yang mengganggu fikiran Man. Dari segi fizikal, mungkin Lia tidak banyak berubah, tapi dia tetap merasakan Lia di hadapannya ini bukan lagi Julia yang dahulu. Tiada lagi usikan manja, gelak tawa, senyuman manis yang sentiasa menghiasi bibir mugil itu malah, mata gadis itu yang dahulu galak bersinar kelihatan kosong tidak punya sinar lagi.

Man menggelengkan kepalanya. Sudah jauh dia berfikir. Tujuan asalnya perlu dia sampaikan.

"Aku tak setuju dengan perkahwinan ni. Kau pun kan?" Soalnya tidak pasti. Lia tidak menjawab. "Aku harap kau boleh pujuk papa kau. Aku tahu papa kau takkan tolak permintaan aku. Lainlah macam ayah aku tu."

Lia bagaikan tidak mendengar bicara Man, sebaliknya dia sibuk bermain dengan Galaxy Note two ditangannya. Dia jadi berang dengan sikap Lia. Lalu, dia merampas telefon bimbitnya itu.

Lia menghela nafas. "Okey, kenapa pula aku yang kena pujuk ayah aku tu? Bukannya masalah aku pun," Dia bersuara mendatar.

Man mendengus. "Bukan masalah kau, kau cakap?" ajuknya. "Kau sedar tak, aku kena paksa kahwin dengan siapa? Aku kena paksa kahwin dengan kau, tahu? Jadi sudah tentu ia masalah kau juga.”

Lia tersenyum sinis. "Aku tak pernah ada bangkangan. Yang tak setuju sekarang ni, kau je. Bukan masalah aku." Julia sudah berdiri, berkira-kira mahu berlalu, namun Azman bersuara terlebih dahulu.

"Aku dah ada pilihan. Aku cintakan Ariana, bukan kau." Suara Azman kembali kendur.
"Macam yang aku cakap tadi, bukan masalah aku." Lia bersuara dingin sebelum berlalu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience