Bab 12

Romance Completed 11832

12

Tahlia memperbetulkan tudung yang dipakainya. Kini, hatinya terisi. Tidak lagi kosong seperti dahulu. Sedikit demi sedikit, dia cuba merangkak keluar dari dunia gelap yang dia cipta sendiri ke arah cahaya. Dia masih belajar untuk kembali tersenyum. Kini tiada lagi rahsia akan sejarah silamnya. Kedua-dua ibu bapanya telah mengetahui rahsia yang dia simpan hingga hampir memusnahkan dirinya sendiri.

Tahlia menguis-nguis pasir di kakinya. Dia nekad menjejakkan kakinya ke pantai semula. Tempat yang pernah menyebabkan hatinya kering dari sebarang rasa. Dia memeluk tubuhnya yang sedikit menggigil. Matanya terpaku pada longgokan batu pantai yang besar tidak jauh dari tempatnya berdiri. Hud baju panasnya ditarik menutupi kepalanya. Dia menghela nafasnya.

Tahlia melangkah perlahan mendekati batu-batu besar itu. Semakin dia dekat, perutnya semakin sakit. Peluh merecik di dahinya. Tubuhnya sekejap panas sekejap sejuk. Getaran di hatinya semakin kuat. Wajahnya semakin pucat. Dia melangkah di celahan batu itu. Dengan tangan yang jelas menggeletar, dia cuba menyentuh batu dihadapannya.

Tiba-tiba, tangannya ditarik kasar sebelum dia sempat menyentuh batu itu hingga tubuh langsingnya berpusing. Belum sempat dia berbuat apa-apa, tubuhnya ditolak kasar hingga terhentak agak kuat di batu. Tahlia mengerang kesakitan menahan rasa pedih yang menjalar di belakangnya. Matanya yang awalnya terpejam dibuka. Jelas wajah Azman yang menyinga di hadapannya.

Azman mengepung Tahlia dengan kedua-dua belah tangannya. Rahang lelaki itu bergerak-gerak menahan amarah yang membuak-buak.

"Kau dah buat apa pada Ariana?" soalnya dalam nada tertahan-tahan. Dada bidangnya kelihatan bergelora kerana amarah yang berapi. Kening Tahlia hampir bercantum.

"Apa kau cakap ni?" soalnya mendatar. Sehabis daya dia mengawal rasa takutnya.

Azman tersenyum sinis. Tangan kirinya menumbuk kuat batu itu hingga berdarah. Bahu Julia terhenjut sedikit. Dia bagai ternampak-nampak apa yang dahulunya telah merampas hidupnya.

Azman masih tidak menyedari perubahan Tahlia. Dia terlalu asyik melayan amarahnya. Tangannya mencengkam kedua-dua belah pipi Tahlia dengan kuat. Mata Lia bulat memerhati darah yang sudah menitis keluar dari luka di tangan itu. Kakinya benar-benar terasa lemah.

"Kau jangan nak buat bodoh depan aku!" Kasar sekali suara Azman. Dia benar-benar dilanda amuk bila Ariana menuntut perpisahan darinya.

"Apa ni?" Azman menarik hud yang menutupi kepalanya. Dia tersenyum sinis melihat tudung yang menutupi rambut Tahlia. "Kau pakai tudung? Hei! Jangan buat lawak, boleh?" ujar Azman kasar.

Serentak itu, tangannya menarik kuat tudung yang dipakainya hingga mencalarkan leher gadis itu.

"Mama..." gumam Tahlia perlahan.

Kini, di hadapan matanya bukan lagi Azman yang menyinga. Di hadapan matanya kini adalah ulang tayang malam yang pernah melakar sejarah hitam dalam hidupnya. Nafasnya mula tak teratur.

"Apa kau cakap ni, hah?" jerkah Azman sambil mendekatkan telinganya di bibir Tahlia yang bergerak-gerak tanpa suara dari tadi. Dia jadi hairan bila telinganya dapat menangkap butir bicara Lia.

"Mama?" ulangnya lagi.

Tahlia pula bagai berada di dunia lain. Matanya masih bulat merenung beberapa titis darah di atas pasir itu. Azman baru menyedari perubahan aneh Tahlia. Dia melepaskan tangannya yang mencengkam pipi Tahlia. Dia menjadi resah pula melihat Tahlia yang lain dari biasa. Bertambah terkejut dia saat Lia tiba-tiba memekik nyaring, dan gadis itu seperti bergelut untuk bernafas sebelum tubuh itu longlai di atas pasir.

Azman menerpa tubuh longlai itu. Pipi Lia ditepuk lembut.

"Hei, Lia!" panggilnya. Dia bertambah cemas melihat bibir Tahlia yang semakin membiru. Telinganya didekatkan dengan wajah Tahlia. Terasa bagai mahu pecah pembuluh darahnya apabila ternyata, dia tidak lagi bernafas. Tanpa membuang masa, dia melakukan bantuan pernafasan pada Lia sambil menjerit meminta tolong.

"Come on, Lia. Breath! Just breath!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience