BAB 12

Other Completed 4022

Jemaah yang kerap datang ke masjid Kampung Kaki Bukit hanya beberapa orang sahaja. Biasanya Haji Kamal ,Pak Imam Haji Musa, Pakcik Soh, Tuan Syed Ahmad, Ustaz Nazir dan beberapa orang lagi. Kadang-kadang ada juga orang bermusafir datang berjemaah. Sesekali ada satu saf atau dua saf. Memadailah untuk terlepas dari tuntutan fardhu kifayah. Setahunya Haji Kamal sudah dua minggu tidak hadir ke masjid kerana uzur. Terkena sakit lutut. Gout agaknya. Kalau tidak beliau lima waktu bersolat di masjid.

Sesampai saja dia di tempat meletak kenderaan, di sebelah masjid, dia pun mematikan enjin motorsikalnya. Kemudian terus bergegas ke tempat mengambil wuduk. Dia mula berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung, melakukan perkara-perkara sunat sebelum berwuduk. Kemudian berwuduk dengan tertibnya. Seketika dia di depan pintu masuk masjid, dia menadah tangan berdoa. Meninjau-ninjau ke arah jalanraya, kalau-kalau ada sesiapa yang hadir. Namun tiada siapa-siapa jua yang muncul. Dia pun melangkah kaki kanannya ke dalam masjid.

Sampai ke dalam masjid lantas di mencari suis lalu menghidupkan lampu dan kipas. Sekali lagi dia menjenguk ke luar masjid, kalau-kalau ada jemaah yang sampai. Namun tiada siapa-siapa yang datang. Dia melihat jam digital di dinding masjid. Waktu menunjukkan pukul lima tiga puluh empat. Masih ada sepuluh minit masuk waktu subuh. Dia pun penuhi masa dengan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid. Selesai dia berdoa dia bangkit menjenguk ke luar masjid. Tiada siapa-siapa jua yang datang. Jam digital berkelip-kelip menandakan lagi lima minit akan masuk waktu Subuh.

Tepat waktu lima empat puluh empat. Jam digital berbuyi menandakan masuknya waktu Subuh. Dia hidupkan suis mikrofon. Dia beristighfar beberapa kali, memuji kebesaran Allah serta berselawat ke atas jujungan besar Nabi Muhammad saw, lalu melaungkan azan. Suara azannya bergema di ruang angkasa Kampung Kaki Bukit. Oleh kerana masjid itu berada di atas bukit ,maka gemanya sampai ke kampung seberang sungai. Laungan azan itu sampai ke Kampung Bukit Seroja. Juga bergema sehingga ke kampung sebelah hulu jambatan. Selepas melaungkan azan sekali lagi dia menjenguk ke luar masjid. Tiada kelibat sesiapa pun. Hatinya mula berdebar-debar. Takkan tak ada seorang pun yang nak berjemaah. Biasanya tak macam ni. Dia cuba menenagkan jiwanya. Barangkali sebentar lagi adalah jemaah yang datang. Sementara menanti, dia tunaikan sembahyang sunat sebelum Subuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience