“Ok la Keen, aku ni kena belikan makanan untuk anak-anak kau la. Dah kelaparan agaknya kat rumah”.
“Tolong tengok-tengokkan budak-budak ye Zu”.
“Jangan risau, kau jaga diri kau. Rehat. Jangan fikir yang bukan-bukan, ok”.
“Terima kasih Zu. Tak tau la aku nak buat macamana kalau kau tak ada”.
“Dah tu. Jangan sebut-sebut lagi. Aku balik dulu ye Keen”.
Sebaik saja Zu pulang, air mata ku terus terhambur keluar. Aku sudah tidak dapat lagi menahan air mataku. Ku biarkan saja ia mengalir laju. Aku menangis semahu-mahunya. Aku mengusap perutku perlahan. Kini sebahagian dari Arif berada dalam diriku. Penyatuan cinta ku dan Arif kini terbentuk dalam rahimku. Bukankah ini yang aku impikan selama ini? Kasihan anakku. Apalah nasibmu nak. Maafkan ibu.. Ya Allah! apa yang harus aku lakukan? Aku benar-benar bingung.
Dalam tangisan aku terlena. Aku rasakan bermimpi bertemu Arif. Arif datang kepada ku dengan senyuman. Di tangannya ada setangkai mawar merah. Arif menghampiriku, menghulurkan mawar itu kepadaku. Aku menerima dengan gembira. Arif memegang tanganku dan menciumnya dengan lembut. Airmataku menitis. Aku rindukan Arif. Aku rindukan belaiannya. Seperti aku tidak mahu bangun dari mimpi yang indah itu..
Terasa ada jemari yang mengesat airmataku. Dahi ku terasa panas seperti ada yang mengucup. Aku membuka mata perlahan-lahan. Ku lihat Arif berada di sisi kananku, dengan senyuman. Senyuman yang sangat-sangat aku rindui. Tanganku digenggamnya erat-erat.
“Sayang..” suara Arif begitu lembut menusuk ke hatiku. Aku malu menatap wajah Arif. Aku berpaling ke sisi kiri. Ku lihat anak2 Arif berada di sisi katil. Shafiq, Najwa, Haikal dan Tasya. Tasya memaut lengan ku dengan kuat.
“Ibu, ibu pergi mana? Kenapa tak balik rumah. Tasya rindukan ibu. Along, angah, kak lang & kak uda mana?” Kata-kata anak kecil yang keletah ini membuatkan airmataku kembali mengalir.
“Betul ke Tasya rindukan ibu?” tanyaku menahan sebak.
“Betul bu, ibu tak ada Tasya kena makan sendiri, tak ada orang nak suapkan Tasya. Ayah suap tak best. Jom la balik bu..” Tasya menarik-narik lenganku.
“Tasya, jangan buat ibu macam tu sayang, ibu sakit”. Arif menegur anaknya.
“Ayah, ibu sakit apa?”, tanya Tasya lagi.
Share this novel