Setelah mendengar ceritaku, “Fina, you jangan risau. I boleh tolong”, kata Arif. “Betul ke ni Arif?” tanya ku penuh harapan.
“Kalau betul apa yang you ceritakan, I rasa kita tak ada masalah untuk menang kes ni”, jawab Arif, yakin.
“Syukur alhamdulillah. Terimakasih banyak Arif, I tak tahu nak cakap apa lagi, alhamdulillah”. Aku benar-benar rasa lega.
“You cuma perlu sediakan beberapa dokumen, nanti kita jumpa untuk bincang lebih lanjut. Insyaallah I akan cuba tolong you sedaya upaya.”
Aku meletakkan gagang telefon dengan hati penuh kesyukuran. Bukan saja dapat membantu dalam permasalahan ku, malahan dapat berbicara semula dengan orang yang cuba aku jauhi setelah sekian lama.
Sebenarnya telah hampir 4 tahun aku menjadi seorang ibu tunggal. Aku berpisah dengan suami ku kerana kehadiran orang ketiga. Begitulah nasib kaum isteri, bila kasih suami telah beralih arah. Mulai dari saat itu, aku lah yang menjaga dan membesarkan ke empat-empat orang anak-anakku. Dua lelaki dan dua perempuan. Pada mulanya, memang agak sukar, tapi lama-kelamaan aku dan anak2 telah dapat membiasakan diri tanpa kehadiran seorang ayah.
Cuma masalah yang timbul sekarang, bekas suamiku ingin menuntut hak sepencarian terhadap rumah yang aku dan anak-anak duduki. Sedangkan rumah itu aku yang beli dengan hasil titik peluh ku sendiri. Sebab itulah aku memohon bantuan Arif untuk mempertahankan hakku dan anak-anak.
Setelah semua dokumen ku siapkan, kami berjanji untuk berjumpa. Aku berdebar menantikan saat untuk bertemu dengannya. Pertemuan kali pertama setelah hampir 20 tahun tidak bersua ternyata telah mengembalikan nostalgia lampau. Dia tidak banyak berubah cuma tubuhnya sedikit berisi. Renungan matanya masih tajam seperti dahulu, yang bisa membuatkan hati perempuan menjadi cair. Ternyata walaupun setelah sekian lama, dia masih mampu membuatkan jantung ku berdegup kencang. Aduhai! senyumannya, dengan kumis yang nipis, begitu meresahkan.
Entah mengapa, setelah sekian lama, lelaki yang satu ini masih bisa mengoncang sanubariku. Dalam usia yang mencecah 40an, aku terasa seperti gadis remaja. Aku tersipu, malu sendiri. Kami berbual panjang. Bermula dengan perbincangan mengenai permasalahanku, sehinggalah kepada cerita-cerita diri dan keluarga. Barulah aku tahu, rupa-rupanya Arif baru sahaja berpisah dengan isterinya atas sebab-sebab yang dia masih merahsiakan. Ternyata Tuhan seperti mengatur kembali pertemuan aku dengannya setelah kami masing-masing tiada ikatan. Agak lucu kerana aku dan Arif sama-sama mempunyai empat orang cahayamata.
Hari demi hari, pertemuan demi pertemuan, tanpa aku sedari telah menyuburkan kembali rasa cinta yang telah sekian lama terpendam di lubuk hati ku. Namun aku sembunyikan perasaan ku kepadanya kerana beranggapan, kalau pun Arif ingin mencari pengganti, tak mungkin dia sudi bertemankan wanita 40an, berstatus ‘J’ dan beranak empat seperti aku! Sudah pasti dia akan mencari yang lebih muda dan cantik.
Share this novel