“Keen, you tunggu sekejap ye, I nak ke depan..”
Aku hanya mengangguk sambil menyedut minuman.
Tidak berapa lama kemudian Arif datang semula dan kami hanya diam bagai melayan perasaan. Aku sedikit resah namun ku lihat Arif begitu tenang. Sekali-sekali pandangan kami bertembung, dan aku cepat-cepat memandang ke arah lain. Memang aku tidak sanggup menahan pandangan mata Arif.
Tiba-tiba kedengaran pengumuman dari penyanyi di bahagian depan restoran.
“Tuan-tuan dan puan-puan, lagu seterusnya ini adalah permintaan khas dari En. Arif untuk temannya Shafinar . Dengarkan lagu ‘Truly’…”. Muzik pun beralun..
Aku terkejut. Aku mengerutkan kening sambil terus memandang Arif.
“Fina, ingat tak lagi lagu ni?”
Aku terdiam. Masakan aku lupa, lagu yang selalu didendangkan oleh Arif ketika kami bercinta lebih 20 tahun dulu. Dengan petikan gitar ‘kapok’nya, di tepi tasik tempat kami selalu bertemu ketika di universiti dulu. Kami bercinta sejak dari bangku sekolah hinggalah ke universiti. Tapi hanya disebabkan satu salah faham yang kecil, kami berpisah.
Disebabkan kecewa, aku terus menerima lamaran lelaki pilihan ibubapaku. Hanya selepas aku berkahwin, barulah aku mengetahui kisah sebenarnya. Ketika itu, menangis airmata darah sekali pun tak berguna. Sebab itu, walaupun kisah percintaan kami telah lama berlalu, tapi aku sebenarnya tidak pernah melupakan segala kenangan manisku bersama Arif.
“Arif.. kenapa nak ingat lagi. Semuanya tu dah berlalu..” jawab ku dengan nada mendatar. Sebenarnya, aku mula rasa sebak.
“Fina.. sebenarnya.. sebenarnya.. I.. I..”, Arif teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya. Kali ini aku yang merenung tepat ke mata Arif bagaikan menunggu ayat-ayat seterusnya.
“I sebenarnya tak pernah lupakan you, Keen. Cinta I pada you masih macam dulu dan tak pernah padam..”. Arif menghulur tangannya lalu menyentuh tanganku dengan lembut.
Aku serba salah. Ku lihat ke wajahnya, serius. Bagai meminta aku mempercayai kata-katanya. Aku terdiam. Tak tahu apa yang harus ku katakan. Benarkah apa yang diluahkan oleh Arif? Mungkin selama ini Arif suka bergurau. Ada sahaja perkara yang disendakan. Tapi kali ini memang berbeza.
Arif meneruskan kata-katanya, “dan I juga tau, you pun masih menyintai I, betulkan Fina..?”
Sebenarnya rasa cintaku pada Arif bagai tidak terbendung. Sebagai lelaki yang dewasa dan matang, ternyata Arif juga dapat merasakan gelodak jiwa yang melanda diriku. Yang pasti, aku tidak bertepuk sebelah tangan. Tanpa ragu, Arif telah meluahkan perasaannya kepada ku. Aku diam membisu tanpa sepatah kata. Hanya air jernih yg mengalir di pipiku. Tanpa perlu diucapkan, ku tahu Arif mengerti. Kasih yang terputus dulunya kembali bertaut…
Share this novel