BAB 5

Romance Completed 5021

Aku mengambil tempat duduk di suatu sudut khas yang telah disediakan. Beralaskan kusyen putih, aku duduk bersimpuh. Di kananku ibu, di kiriku, Syafirah, sahabatku merangkap teman serumahku semasa aku menuntut di New Zealand dahulu. Bertuahnya aku dipinjamkan insan bernama sahabat yang sangat memahami aku. Kepadanya sudah ku ceritakan semua termasuklah tentang anak ini. Malah bukan itu sahaja, aku pasti Syafirah tahu siapa bapanya. Siapa lelaki yang tergamak memperlakukan hal sehina itu terhadap aku.

Saudara-mara ku sudah mula memenuhi ruangan belah pihak perempuan. Begitu juga belah pihak lelaki. Dari jauh kulihat Mak Tijah tersenyum kepadaku. Sambil itu dia mengangkat ibu jarinya kepadaku. Entah apa yang dikatakannya, aku sendiri tidak mengerti.

“Tadi Mak Tijah puji Hannah nampak cantik harini.” Bisik ibu.

Rasa ingin ketawa pun ada mendengar kata-kata ibu. Mak Tijah ini melawak ke apa? Kepada ibu aku katakan agar tidak perlu bersusah-payah memanggil mak andam dan sebagainya kerana aku sudah meminta Syafirah untuk menjadi tukang solekku hari ini.

“Aku tak buat free je ni, Hannah” kata Syafirah. Terletus jua ketawaku mendengarnya bercerita sambil tangannya ralit melukis wajahku. Berbakat betul dia ni. Aku sudah pesan awal lagi agar tidak menyolek wajahku keterlaluan. Sebolehnya aku mahu menepek bedak sahaja, tapi katanya apa pulak pihak lelaki kata nanti. Aku akur juga akhirnya. Bibirku dicalit sedikit Maybelline Lipcolor Pink Please. Warna yang bagiku cukup lembut. Kemudian bulu mataku disapu sedikit mascara dan aku meminta untuk memakai sedikit celak. Pipiku pula dioles sedikit pemerah pipi sebagai hiasan wajah sugulku. Cukuplah bagi aku, tidak layak rasanya untuk berlebih-lebih kerana aku sedar diri ini bagaimana.

Gaun Abaya putih yang bertatahkan manik-manik berkilau cantik pada pandangan aku. Sejujurnya aku tidak mahu semua ini, tapi bila memikirkan keluarga belah lelaki, aku perlu bertimbang rasa.

Perasaan mereka juga perlu aku jaga. Tidak mahu mereka memikirkan hal yang bukan-bukan.

Usai aku menyarung gaun itu, shawl halfmoon putih dengan sedikit manik di atasnya aku pakai, menutupi rambutku. Siap.

“Aku takutlah Firah. Cuba kau fikirkan, logikkah keputusan lelaki itu? Memperisterikan aku?” ajuku kepada Syafirah.

“Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran bakal laki kau tu. Yelah, sebab bukan aku bakal laki kau kan? Hehe..” eh, boleh pulak dia melawak. Ingat kita main-main agaknya.

“Tapi Allah tahu, Hannah. Allah tahu semua jalan hidup kau, jodoh kau, ajal kau. Semua dalam tangan Dia. Berselawat banyak-banyak ya, mintak Allah tenangkan hati kau.” Sambungnya lagi.

Aku mengangguk tanda setuju.

Fikiranku kembali ke realiti. Seorang lelaki segak berbaju melayu putih, bersampin dan bersongkok mengambil tempat duduk di hadapan tok kadi.

?Jadi itulah empunya badan.? kataku dalam hati. Tapi wajahnya persis seseorang. Hati aku jadi tidak sedap. Muzik apakah yang sedang bermain rancak di dalam ini?

Ibu disisi aku tenung. Dapatkah ibu memahami tenungan aku itu? Adakah ibu juga memikirkan hal yang sama? Namun, riak wajah ibu langsung tidak menunjukkan apa-apa. Makin lebar senyumannya adalah.

Pantas aku toleh ke kiri, mencari sepasang mata milik sahabatku. Tatkala empat mata bertemu, aku terus merenungnya. Merenung sedalam mungkin mencari secebis kebenaran untuk merungkai sedikit kekeliruan dalam hati ini. Tetapi hampa belaka. Dia malah mengangkat keningnya menanyakan kenapa aku merenungnya sebegitu. Sangkanya aku berdebar, jadi tangan kiriku dipegang erat olehnya.

Bukan kekuatan yang aku mahukan. Aku mahu kalian melihat apa yang aku lihat. Tidakkah kalian rasakan hal yang sama? Atau hanya aku kah yang berasa sedemikian? Hanya aku kah yang perasan? perasaanku bergolak hebat. Ditambah pula hati yang tidak keruan. Hilang segala ketenangan sebentar tadi.

Aku mengangkat muka buat kali kedua untuk melihat si dia.

?Inikah Ikhmal Haris??tanya hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience