BAB 9

Romance Completed 5021

“Betul tak soalan abang?” tanya Irfan.

Garis senyumannya tidak lagi kelihatan. Tepat sekali apa yang dikatakan olehnya. Sungguh aku tidak berniat untuk membuat dia berkecil hati. Berdosakah aku?

“Salah lah awak. Tidak mengapa lah. Nanti saja kita bincang.” Balasku cuba untuk menutupi cerita ini. Bimbang jika aku pergi terlalu jauh dan melukakan hati sang suami.

“Ikhmal Haris ialah abang saya. Dan awak ialah pilihan umi untuk dia. Tapi dia tolak hajat umi yang mahukan dia untuk memperisterikan awak. Saya sendiri tak tahu sebab apa. So here am i, suami bidan terjun awak.” Tuturnya satu-persatu.

Penjelasan diberikan walaupun aku tidak meminta. Panggilan yang digunakan juga tidak lagi seperti tadi, malah ditukar kepada saya-awak. Berkecil hatikah dia?

Jadi Ikhmal Haris adalah abangnya. Kata Irfan, Ikhmal tidak mahu mengahwini aku. Tetapi mengapa? Mungkinkah Ikhmal itu tahu bahawa aku berbadan dua? Hinanya aku di mata dia, hinggakan adik dia sendiri yang menjadi galang-ganti. Bagaimana pula dengan Irfan? Adakah suaminya juga tahu tentang itu?

“Awak terasa ke dengan saya? Awak menyesal ke terpaksa mengahwini saya?” tanya aku.

“Walaupun awak bukan pilihan umi untuk saya, tapi awak tetap pilihan umi. Saya mempercayai umi dan saya percaya pada jodoh utusan Allah. Kalau awak adalah orangnya, kenapa perlu saya menyesal?” balasnya.

Lega rasanya selepas mendengar jawapan itu. Aku juga begitu, mahu percaya pada jodoh dari Allah, tetapi dengan keadaanku sebegini, kerdil rasanya diri seperti mahu bersembunyi dari realiti. Dan perbincangan kami berakhir di situ. Tidak aku, tidak juga dia yang mahu membuka mulut.

Papan tanda di tepi jalan aku kerling. Kami sudah mula memasuki bandar Pulau Pinang yang agak sibuk. Maklumlah sekarang lunch hour. Orang ramai berpusu-pusu mahu mencari rezeki buat mengisi perut yang sedang berlagu rancak.

Aku meletakkan tangan di atas perutku. Sejak aku berjumpa Doktor Mawar hari itu, langsung tiada perutku meragam. Muntah-muntah dan pening juga tiada. Alhamdulillah kerana sedikit sebanyak ia tidak mengganggu aktiviti harianku. Cadangnya dalam dua minggu lagi aku mahu masuk ke pejabat semula. Masih banyak lagi kerja yang bertangguh.Cuma hari ini aku rasa sedikit sakit di dalam perut. Mungkin kerana aku masih baru lagi.

?Biasalah ibu mengandung? ujarku dalam hati.

Aku lihat dia membelok ke kiri memasuki stesen minyak Petronas.

“Saya nak ke tandas. Boleh awak tunggu sekejap?” soalku. Kerana aku adalah isterinya, aku wajib meminta izin dia.

Dia hanya memberikan anggukan beserta senyuman. Alhamdulillah, murah betul dengan senyuman. Baru sahaja aku berdiri dan ingin menutup pintu, nama aku dipanggil.

“Hannah, belakang baju awak ada kesan darah.” Kata suamiku.

Kepala aku toleh ke belakang untuk melihat kesan darah di belakang dress ku. Hatiku diserbu gelisah. Darah apakah ini? Lantas aku meletakkan tanganku di perut. Ada sesuatu berlakukah? Ya Allah, ujian apakah ini?

Tidak menunggu lama, aku terus masuk semula ke dalam kereta.

“Kita ke klinik dahulu, jom.” Ajakku.

“Awak sakit ke?” balas Irfan. Sejujurnya dia juga agak terkejut apabila terlihat kesan darah, tetapi dia kembali tenang. Fikirnya Hannah mungkin datang bulan. Namun, mendengar ajakan isterinya untuk ke klinik, dia sekali lagi terkejut. Sakitkah isterinya?

“Saya ceritakan kemudian. Kita pergi sekarang ya.” Balasku tidak mahu melengahkan masa.

Aku lihat suamiku hanya mengangguk. Sungguh hati aku berdebar memikirkan jika berlaku apa-apa pada kandunganku yang baru mencecah usia sebulan. Melihatkan reaksi Irfan, aku tahu dia tidak tahu tentang hal ini. Bagaimana akan aku jelaskan kepadanya?

Kami akhirnya tiba di Klinik Nurul, klinik yang paling hampir.

“Awak tunggu di sini sekejap ya.” Mintaku. Terus sahaja aku berjalan masuk ke klinik sambil menutup belakang bajuku dengan beg tangan. Bersyukur aku kerana tiada orang saat itu. Kad pengenalan aku serah kepada pekerja yang bertugas dan aku disuruh masuk ke dalam bilik nombor 1.

Melihat kepada nama di pintu, Alhamdulillah doktor perempuan. Senyuman aku lemparkan.

Kepada doktor aku ceritakan bahawa beberapa minggu yang lepas, aku telah berjumpa doktor dan disahkan mengandung. Kerana itu aku begitu terkejut apabila ada kesan darah di bajuku. Juga tidak aku lupa tentang sakit perutku tadi.

“Kita akan scan dan buat urine test ya.” Kata doktor.

Aku hanya menurut semua arahan doktor dan sekarang hanya perlu menunggu keputusan.

“Puan Hannah Sofia.” Namaku dipanggil.

Tidak dapat aku nafikan perasaan di dalam ini sedang bergolak hebat. Tidak teratur irama dan melodinya. Sempat aku berpesan pada hati, agar menerima walau apa sahaja keputusannya dengan redha. Sesungguhnya aku ini milik tuhanku.

Langkah kubawa menuju ke dalam bilik tadi. Usai membetulkan duduk, aku memandang wajah doktor di hadapanku.

“Puan Hannah, saya harap puan tabah ya. Kita dah jalankan dua-dua test. Sebenarnya puan tidak mengandung. Saya yakin mungkin terdapat sedikit kesilapan semasa pemeriksaan yang lepas, tetapi berdasarkan ujian tadi, puan tidak mengandung. Puan hanya mengalami haid dan senggugut biasa.”

Apakah? Aku tidak mengandung? Rasa seperti mahu terbang di awan. Bersyukurnya aku dengan kabar gembira ini. Hakikat yang aku tidak mengandung anak luar nikah dan sebagainya cukup menggembirakan aku. Sekurang-kurangnya aku masih suci. Rasa seperti mahu menangis kala ini juga memikirkan betapa hebat perjalanan hidupku yang disusun Allah. Mungkin inilah pelangi milik aku yang datang selepas turunnya hujan duka.

Selepas mengucapkan terima kasih kepada doktor, aku keluar dari bilik itu. Kad pengenalan aku ambil di kaunter setelah menjelaskan bayaran. Kini aku perlu berdepan dengan suamiku bersama-sama kebenaran yang aku kumpul dalam genggaman.

Masuk sahaja kereta, terus aku diserbu soalan. Mengalahkan wartawan gayanya.

“Awak okey? Doktor cakap apa?” tanya Irfan. Kebimbangannya menggunung.

“Saya terlebih okey.” Jawabku bersama senyuman yang lahir daripada kegembiraan sebentar tadi.

“Ada sesuatu yang saya nak beri tahu awak. Penting. Sebab saya tak nak berahsia dengan awak.”

Kataku dengan nada serius.Aku sudah bersedia untuk menceritakan semuanya kepada Irfan. Demi kebaikan kami berdua juga. It is better to tell the truth and face the punishment than to lie, and suffer the consequences, kan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience