LAPAN

Horror & Thriller Completed 6719

"Macam mana dengan Dahlia,nek?"

Haris mengekori langkah Kesuma ke ruang tamu.Raut wajah Kesuma tegang tanpa senyuman.Punggungnya dilabuhkan di atas sofa.

"Biarkan dia istirehat dahulu.Biarkan tenaganya pulih.Esok atau lusa dia akan kembali seperti biasa.Haris,kamu harus sentiasa berjaga-jaga.Sepertinya ada yang tidak suka hubungan kamu dengan Dahlia."

Haris berkerut kening.Dia mengambil tempat di sebelah Kesuma.

"Apa maksud,nenek?"

"Firasat aku kuat mengatakan ada gunting dalam lipatan dalam hubungan kalian semua.Pasti ada di antara sahabat kamu yang menyukai Dahlia.Tapi,sayang.Orangnya licik.Dia bermain kotor.Dia cuba membuatkan Dahlia jatuh sayang padanya dengan menggunakan perantaraan.Kamu harus hati-hati.Begitu juga dengan Dahlia."Terang Kesuma panjang lebar.

"Perantaraan?Maksud nenek,dia guna-gunakan Dahlia ke?"Soal Haris seakan tidak percaya.

Kesuma hanya menganggukkan kepalanya.

"Aku tidak khuatir akan Dahlia.Kerana aku tahu semangatnya kuat.Yang aku risaukan adalah kamu,Haris.Kamu harus berjaga-jaga selalu.Jangan terlalu cepat percayakan orang."

Bahu Haris ditepuk lembut.Haris yang seakan terkejut dengan kata-kata Kesuma sebentar tadi hanya mampu tersenyum hambar.

"Kamu pulanglah.Aku mahu berehat.Kamu tumpangkan Selamat di rumah kamu.Esok pagi kamu berdua datang ke sini semula.Berkenaan Dahlia,kamu jangan bimbang.Dia selamat."

Haris hanya menurut.Haris menyalami kekura tangan Kesuma.Dengan langkah yang berat,dia melangkah pulang bersama Selamat ke rumahnya.Melihat kelibat mereka yang sudah pulang,Kesuma terus mengangkat punggung.Kakinya diatur ke arah bilik Dahlia semula.Pintu bilik ditolak perlahan-lahan.Kakinya melangkah mendekati katil Dahlia.

"Zarina..."

Bahu Zarina digoyang kecil saat Kesuma melihat gadis itu tertidur beralaskan lengan di sisi Dahlia.Zarina membuka kelopak matanya perlahan-lahan.Dengan terpisat-pisat dia kembali duduk.Jam di dinding dikerling seketika.

"Dah pukul dua belas?Patutlah ngantuk sangat.Huwaah...!"Ujar Zarina sambil menguap.Mulutnya ditekup.

"Kamu pergilah beradu di bilik kamu.Biar aku yang temani Dahlia malam ini.Kamu usah risau.Dia sudah kembali pada asalnya."

Zarina yang masih dalam kantuknya berkerut kening.Wajah Kesuma ditatap hairan.

"Kembali pada asal?Apa maksud nenek tu?"

Kesuma tersenyum sendeng.Dia sudah melabuhkan punggung di birai katil.

"Esok sahaja aku terangkan pada kamu.Aku juga sudah mengantuk.Kamu pergilah sambung beradu.Aku perlu rehatkan diri."Ujar Kesuma.

"Mm... Baik,nenek.Saya keluar dulu.Selamat malam."Ucap Zarina.

"Selamat malam."Balas Kesuma.

Zarina segera beredar dari bilik Dahlia.Kesuma menoleh ke arah Dahlia.Rambut Dahlia yang terdedah diulus lembut.

"Sejauh mana pun kamu melarikan diri,ia tetap akan bersamamu,cucuku.Terima sahaja ia dengan hati yang terbuka.Nescaya,hidupmu akan kembali tenang."Ujar Kesuma kepada Dahlia yang masih tidak sedarkan diri.

Kesuma melayangkan batang tubuhnya di sisi Dahlia.Kantuk yang hadir sudah tidak dapat ditahan.Perlahan-lahan kelopak matanya ditutup.Menjemput lena sambil melepaskan lelahnya.

*********

"Hei makhluk yang hodoh.Nyah kamu dari sini!Ini bukan tempat kamu.Pulanglah kamu kepada tuan mu.Tubuh ini suci.Jangan kamu kotorinya dengan perlakuan mu itu.Kalau kamu tidak mahu tubuh mu hancur berkecai,segera pergi kepada tuan mu.Ingatkan kepada tuan mu,bahawa aku akan sentiasa menjaga tubuh ini,selagi nyawanya dikandung badan."Tegas puteri yang menyerupai Dahlia itu.

Makhluk hodoh yang berada di hadapannya langsung tidak gerun akan ugutan sang puteri.Dia semakin mara ke hadapan.Namun,belum sempat ia mendekati puteri,kakinya sudah melecur seakan memijak bara yang panas.Makhluk itu memberhentikan langkah.Mata merahnya mencerlung memandang sang puteri.

"Sudah aku katakan pada mu.Jangan sesekali kamu mencabar aku!"Marah sang puteri.

Makhluk hodoh itu kian menjauh.Sang puteri terkumat kamit membaca afsun.Matanya dipejam seketika.Bunga cempaka biru di atas telapak tangannya digenggam erat.Apakala matanya terbuka luas,makhluk itu sudah hilang seperti dibawa pawana.

"Kamu tidak akan terlepas wahai balian tua.Usia mu sahaja belum tahu panjangnya lagi.Sudah cuba membuat onar.Tak akan aku biarkan kamu menyentuh tubuh ini.Kerana dia milik ku..."

Dahlia membuka kelopak matanya.Suara sang puteri itu terngiang-ngiang di gegendang telinganya.Seakan baru sahaja berbisik di telinganya sebentar tadi.Matanya meliar memandang sekelilingnya.Dia cuba bangun dari perbaringannya,namun tubuhnya tidak mampu bergerak.Mulutnya juga tidak mampu berbicara seakan terkunci.

Dia menoleh pula ke sisinya,kelihatan Kesuma yang sedang lena di sebelahnya.Dahlia cuba untuk memanggil Kesuma.Tetapi dia tidak mampu.Hilang segala upayanya.Dalam kesungguhan dia untuk bangun, pandangannya tiba-tiba terpasak pada satu lembaga yang semakin lama semakin menghampirinya.Dahlia cuba untuk bergerak melarikan diri.Wajah lembaga itu samar-samar.Dahlia mengerlipkan matanya beberapa kali supaya pandangannya lebih jelas.Lama-kelamaan lembaga yang menakutkan itu berubah wajah.Wajah yang hodoh kini berubah cantik.Semakin berkerut dahi Dahlia.Dia sendiri keliru antara realiti dan khayalan.

"Usah takut wahai Dahlia.Aku adalah kamu,kamu adalah aku.Kita ini akan sentiasa bersama.Walau ke mana kamu pergi,aku akan ada di sisi mu.Kamu tahu cara untuk memanggil ku.Ingatlah kamu tidak berseorangan."

Sekelip mata lembaga itu lenyap.Dahlia mengerlipkan matanya beberapa kali.Adakah dia masih bermimpi atau sememangnya ia realiti.Fikiran Dahlia bercelaru.Mimpi yang mengganggunya sudah tiada,tetapi perkara yang diluar logik akal pula muncul.Kerana terlalu lelah berfikir,akhirnya Dahlia kembali terlena.

Zarina menggosok matanya.Kantuk yang bersisa tidak mampu melawan tekaknya yang kering.Zarina melangkah ke arah dapur.Namun,belum sempat kakinya melangkah masuk ke ruang makan,telinganya menangkap suatu bunyi.Jantungnya berdegup laju.Serta merta darah gemuruhnya kembali.Dia cuba menepis perasaan kurang enak yang bertandang.Perlahan-lahan kepalanya dibawa menjengah ke arah dapur.Dalam kesamaran dia dapat melihat susuk tubuh seseorang sedang berdiri di hadapan singki.

Air liurnya ditelan.Dia cuba memberanikan diri.Kakinya melangkah perlahan-lahan mendekati susuk tubuh itu.Semakin hampir dengan figura itu semakin jelas suara yang didengarinya.Suaranya sangat merdu hinggakan Zarina hampir terbuai.Dia seakan mengenali suara lunak yang menyanyi di hadapannya itu.Namun,saat tangan Zarina menyentuh bahu figura itu,nyanyian tadi terus terhenti.

"Lia,kau buat apa dekat dapur ni?Siap menyanyi pula tu.Kau dah ok,ke?"Soal Zarina.

Figura yang seakan wajah Dahlia itu tersenyum sendeng.Dia memalingkan wajahnya memandang ke arah Zarina.

"Aku lapar.Aku cari makan."Balas figura itu.

Mendengar suara Dahlia,Zarina menghela nafas lega.

"Kau lapar ke?Habis tu,kau dah makan ke?"

Zarina menjengah ke singki,melihat andai ada bekas pinggan mangkuk yang kotor.Namun,tiada sebarang pinggan mangkuk di dalam singki itu.Matanya kembali memandang figura yang disangka Dahlia itu.Pandangannya dibawa melihat pemakaian figura itu dari atas ke bawah.Keningnya berkerut.Walaupun dalam kesamaran,Zarina masih dapat melihat pakaian yang dipakai oleh figura itu.

"Bila masa pula kau tukar baju ni,Lia?Aku tak pernah nampak pun kau pakai baju ni sebelum ni?Dah macam baju nenek Kesuma pula aku tengok."

Namun figura itu tidak membalas kata-kata Zarina.Bibir figura itu tidak berhenti mengukir senyuman.Senyuman yang boleh membuatkan bulu roma Zarina merinding.Matanya pula galak menatap wajah Zarina.

"Er...Kalau kau nak makan,biar aku panaskan lauknya dulu.Kau duduk dulu.Aku pergi buka lampu.Takkan nak makan dalam gelap macam ni."Ujar Zarina.

Zarina terus menapak mendekati dinding.Tangannya memetik suis lampu ruang dapur.Saat cahaya sudah menerangi ruangan itu,Zarina terus memalingkan tubuh.Namun,alangkah terkejutnya dia saat melihat ke arah ruang dapur yang kosong tanpa sesiapa itu.Matanya meliar mencari kelibat Dahlia.Tetapi tiada kelihatan sesiapa pun di situ.Zarina menjadi pelik.

"Mana pula Lia ni?Cepat sangat hilangnya.Bukan dia kata lapar ke tadi?"Omel Zarina sendiri.Kedua bahunya diangkat.Dia segera mencapai air botol di dalam peti sejuk sebelum dituang ke dalam cawan.Lalu,air di dalam cawan itu diteguk membasahkan tekaknya.

Setelah selesai,Zarina kembali mematikan suis lampu.Kakinya diatur ke arah biliknya semula.Saat melalui bilik Dahlia,Zarina memberhentikan langkah.Pintu yang terbuka kecil itu ditolak perlahan-lahan.Zarina menjengah melihat keadaan di bilik Dahlia itu.Kelihatan Dahlia dan Kesuma sedang lena di atas katil.Matanya tertumpu pada Dahlia.Dia merasa sesuatu yang aneh sudah berlaku.

"Tadi bukan Dahlia berkebaya bagai ke?Tapi ni elok je pakai baju yang sebelum ni dia pakai.Takkan sepantas kilat dia boleh tukar baju?Ke aku yang masih mamai lagi ni?"Soal Zarina sendiri.Pipinya ditepuk beberapa kali.

"Tak,aku tak mimpi."

Melihat wajah pucat Dahlia membuatkan Zarina kuat mengatakan bahawa figura yang dia jumpa di dapur tadi bukan Dahlia.Bulu romanya kembali merinding.Pintu bilik Dahlia ditutup rapat.Dia melangkah laju masuk ke dalam biliknya.Tubuhnya terus dilayangkan di atas katil.Akalnya masih memikirkan apa yang sudah dilaluinya tadi.

"Kalau Dahlia masih belum sedarkan diri dalam bilik?Siapa pula yang aku jumpa dekat dapur tadi?Jelmaan Dahlia ke?"

Zarina kembali dihantui perasaan takut.Dia mula merasa tidak sedap hati.Selimutnya dicapai.Lalu,dengan pantas selimut itu dibawa menutupi seluruh tubuhnya yang sudah menggigil ketakutan.Mulutnya terkumat kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran walaupun dia merasakan bacaannya sudah tunggang-langgang dan tidak selancar dulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience