"Sejuknya air dekat kampung ni..."Ujar Zarina yang sedang menggigil kesejukan.
Zarina segera mengatur langkah mendekati almari baju.Dahlia yang sedang sibuk membaca novel di tangannya sempat mengerling ke arah sahabatnya itu.
"Lia,kau tak nak mandi ke?Dah nak maghrib ni.Orang tua-tua kata...."
"Tak baik anak dara mandi malam-malam.Aku dah tahu apa yang kau akan cakap.Baik mak cik,saya pergi mandi kejap lagi." Ujar Dahlia.
Tidak sempat Zarina menghabiskan bicara,Dahlia sudah memotong.Zarina bercekak pinggang sambil mengecilkan mata memandang Dahlia.
"Kau nikan,Lia...Memang ada je yang kau nak jawab kalau aku cakap.Aku ni nak nasihatkan kau.Adalah sebab kalau orang tua-tua dulu buat pantang-larang macam tu.Cepatlah mandi!Novel kau tu,bila-bila masa kau boleh sambung baca."Omel Zarina.
Dengan malas Dahlia mengangkat punggung bangun dari katil.Buku novel yang berada di tangan diletakkan di atas meja.Tuala yang bergantungan dicapai,lalu diletakkan di atas kepala menutupi rambutnya.Baju basahan juga turut dibawa bersama.Kakinya diatur menuju ke arah dapur.
Baru sahaja kakinya mencecah lantai dapur,bahunya disentuh dari arah belakang.Dahlia yang tersentak terus sahaja menoleh ke belakang.
"Ada apa mak cik?Terkejut saya!"Dahlia mengurut dada.
Dahlia kenal dengan wanita ini.Dia pembantu dalam rumah agam ini.Hanya wajahnya sahaja yang Dahlia ingat kerana sewaktu makan tengahari tadi,wanita ini yang menghidangkan lauk-pauk buat dia dan rakan-rakannya.Namun,nama wanita ini masih lagi dia tidak tahu.
"Maaf kalau Mak Minah dah buat Cik Dahlia terkejut.Cik Dahlia nak mandi ke?"Soal Aminah.
Dahlia hanya mengangguk kecil sambil tersenyum nipis membalas pertanyaan Aminah.
"Er...Macam mana mak cik tahu nama saya?"Soal Dahlia kehairanan.
Aminah tersungging senyum.
"Ooh...Tadi Haris yang perkenalkan kamu semua pada Mak Minah.Dari situlah Mak Minah tahu nama Cik Dahlia."
"Mak cik,tak perlulah bercik-cik dengan saya.Panggil je saya,Dahlia.Kalau nak lagi pendek boleh panggil saya Lia."Ujar Dahlia.
"Baiklah.Mak Minah panggil Lia,boleh?"
"Boleh,mak cik."Balas Dahlia.
"Kalau macam tu,Lia pun kena panggil Mak Minah ni Mak Minah.Bukan mak cik."
Dahlia menganggukkan kepala tanda mengerti.
"Mak Minah,saya pergi mandi dulu.Nanti kita sembang lagi."
Dahlia meminta diri.Dia sudah berura-ura untuk melangkah menuju ke bilik air.Namun,pantas dihalang oleh Aminah.Dahlia berkerut dahi.Dia menoleh memandang Aminah semula.
"Ada apa,Mak Minah?"Soal Dahlia.
Aminah melelar tangan Dahlia.Matanya melirik ke arah jam di dinding.
"Lepaskan Maghrib dahulu.Lepas tu baru mandi.Di rumah ini ada pantang-larang yang perlu Lia ikut.Salah satunya,tidak ada sesiapa yang dibenarkan mandi waktu Maghrib.Kita lepaskan azan Maghrib.Baru Lia pergi mandi."Ujar Aminah.
Dahlia mengeluh kecil.Dia hanya menurut.Lalu langkahnya dibawa ke arah meja makan.Punggungnya dilabuhkan di kerusi.Aminah yang melihat perlakuan Dahlia itu turut sama mengambil tempat di hadapan Dahlia.
"Mak Minah,nenek tu tinggal sendiri je ke?Anak-anak dia tak ada?"Dahlia memulakan bicaranya semula.
"Puan memang tinggal sendiri.Sejak tuan meninggal dunia.Puan tak ada anak.Sebab itu dia menumpang kasih dengan menjaga Haris."Balas Aminah.
"Mm...berapa orang tinggal dalam rumah ni,Mak Minah?"
"Kami bertiga je."
"Bertiga?Siapa lagi?Saya cuma nampak nenek dengan Mak Minah je.Pak Selamat pun tinggal dekat sini juga ke?"Soal Dahlia lagi ingin tahu.
Pantas Aminah menggelengkan kepala.
"Pak Selamat tak tinggal di sini.Dia ada rumah sendiri.Yang tinggal dalam rumah ni hanya puan,Mak Minah dan Cik Kuntum."
"Cik Kuntum?Siapa tu?Tak nampak pun sesiapa selain nenek dengan Mak Minah."
"Cik Kuntum tu tukang masak dalam rumah ni.Waktu macam ni dia ada di dalam bilik.Kejap lagi dia keluarlah nak siapkan makan malam nanti."
Dahlia hanya mengangguk kecil.Suasana sunyi seketika sebelum suara garau seseorang menyapa di gegendang telinga.
"Minah,dah boleh alihkan ke airnya?"Soal Selamat.
Aminah bangun dari kerusi.Dia terus melangkah mendekati Selamat.Dahlia sekadar memerhati tingkah mereka tanpa sebarang suara.
"Lia,pergilah mandi.Air mandian pun Pak Selamat dah siapkan."
Dahlia berkerut kening memandang Aminah.
"Air mandian?Kenapa Pak Selamat pula yang sediakan air mandian untuk saya?Bukan ada air kolah ke dalam bilik air tu?Sebab petang tadi saya ada masuk bilik air tu."Soal Dahlia kehairanan.
Riak wajah Aminah hanya bersahaja.Langsung tidak menunjukkan sebarang riak yang meragukan.
"Ooh...Bilik air yang biasa tu Mak Minah tengah cuci.Jadi tak boleh masuk buat sementara waktu ni.Lia guna bilik air dekat bawah tu.Mak Minah memang selalu mencuci waktu malam."Terang Aminah.
Dahlia yang mendengar bicara Aminah hanya menurut.Dia mengatur langkah menuju ke luar rumah.Matanya meliar ke kiri dan kanan melihat keadaan sekeliling.Baru sahaja kakinya mencecah satu anak tangga,Dahlia berpaling semula memandang Aminah yang berada di belakangnya.
"Er...Mak Minah..."
"Ada apa,Lia?"Soal Aminah.
"Saya nak panggil Zarina temankan saya.Kat luar ni dah gelap.Lagi pun saya tak biasa mandi dekat luar macam ni malam-malam."
Aminah mengorek senyuman nipis.
"Tak perlulah susahkan kawan Lia tu.Tak apa.Biar Mak Minah yang temankan.Lia pergi ke bilik air tu dulu.Nanti Mak Minah menyusul.Jangan risau.Tidak ada apa yang perlu ditakutkan.Bukan ada orang lain pun dekat kawasan rumah ni."
"Tak susahkan Mak Minah ke?Mesti Mak Minah banyak kerja yang perlu dibuat."Dahlia mula merasa serba salah.
"Tidak...Dah tugas Mak Minah menjaga setiap tetamu yang datang di rumah ini.Pergilah... Mak Minah ikut Lia dari belakang."Ujar Aminah lagi.
Dahlia kembali berpaling semula ke arah luar.Kakinya mula diatur menuruni anak tangga dengan berhati-hati.
Pintu bilik air kayu itu ditolak lembut.Dalam kesamaran,kelihatan sebuah tempayan kecil serta batok bergantungan di tepinya.Dahlia melangkah masuk ke dalam bilik air itu.Tuala dan bajunya disidai di atas daun pintu.Dahlia mendekati tempayan air.Batok dicapai.Belum sempat batok mencecah air,Dahlia memberhentikan perlakuannya.Dia menjengah melihat air di tempayan.
"Mm...Mak Minah!"
Nama Aminah dilaung dari dalam.Aminah yang setia menanti Dahlia di luar menyahut.
"Ada apa,Lia?
"Air ni...."
Aminah melengkung senyum.Pintu bilik air yang terbuka kecil ditolak.Kepalanya menjengah ke dalam bilik air.
"Kenapa dengan air tu,Lia?"Soal Aminah berpura-pura tidak mengerti.
"Ada bunga...ada benda asing dekat dalam air ni."Ujar Dahlia.
Dahlia mengarahkan jari telunjuknya ke arah tempayan.Kelihatan kuntuman beberapa jenis bunga segar di permukaan air.
"Ini air bunga.Bagus untuk segarkan badan.Lagi pun Mak Minah tengok muka Lia nampak pucat.Puan yang minta Mak Minah dan Pak Selamat sediakan air bunga ni.Benda asing yang Lia nampak tu cuma bunga kering yang dicampur sekali dalam air tu.Jangan risau.Air biasa je ni.Tak ada apa-apa pun.Lia mandilah.Kunci pintu ni.Mak Minah tunggu di luar."
Dahlia mengangguk faham.Dia menghela nafas lega walaupun ada sedikit keraguan di hatinya.Baru sahaja daun pintu bilik air ingin ditutup,tangan Aminah pantas menahan.
"Ada apa Mak Minah?"
"Lupa Mak Minah nak pesan.Pastikan Lia gunakan air tu sampai habis.Supaya Mak Minah senang nak ganti air baru dalam tempayan tu."Pesan Aminah.
"Baik,Mak Minah."Balas Dahlia dengan senyuman di bibir.
Saat Aminah melangkah keluar dari bilik air,Dahlia menutup semula daun pintu.Pakaiannya ditanggalkan dari tubuh.Batok kembali dicapai sebelum air bunga di tempayan dicedok.Lalu air itu dicurahkan ke tubuhnya.Terasa segar tubuhnya saat air jirusan itu mengalir di seluruh tubuhnya.
Di sebalik jendela rumah,kelihatan Kesuma sedang berdiri sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.Saat afsun usai dibaca,mulutnya mula menghembus nafas ke arah luar jendela.Seraya itu,angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba berubah rentak.Angin kencang mula membadai pohon-pohon di sekitar kawasan rumah agam itu.
Aminah yang berada di luar rumah langsung tidak hirau akan keadaan itu.Mungkin keadaan itu sudah biasa baginya.
Air yang masih berbaki di tempayan dicedok oleh Dahlia.Air jirusan terakhir yang dicurah ke tubuhnya tiba-tiba berubah terlalu dingin seakan-akan air bunga itu bercampur dengan ais.Terbit suatu aura lain dalam diri Dahlia.Dahlia menggigil kesejukan.Dia cuba menghiraukan perasaannya.Tubuhnya dilap kering dengan tuala sebelum baju basahan dicapai dan disarung.
Usai mandi,tuala diletakkan di atas kepalanya semula.Menutupi rambutnya yang basah.Dia melangkah keluar dari bilik air.Angin yang kuat mula menerpa ke tubuhnya.Pantas tangannya dibawa memeluk tubuh.
"Mak Minah,kuatnya angin!"Ujar Dahlia dengan nada yang kuat.Bunyi hembusan angin malam itu benar-benar menenggelamkan suaranya.
"Mari masuk.Mungkin hari nak hujan.Pergilah bersiap.Sekejap lagi Mak Minah panggil makan malam."Arah Aminah.
Dahlia hanya menganggukkan kepalanya.Dia melangkah menuju ke tangga rumah.Dengan berhati-hati,kakinya diatur menaiki anak tangga masuk ke dalam rumah.
Aminah sekadar memerhati dari jauh.Saat melihat bayangan Dahlia sudah menghilang,Aminah masuk ke dalam bilik air.Dia menjengah kepalanya ke tempayan.Melihat tempayan yang sudah kosong dan lantai bilik air yang penuh dengan baki bunga dari air mandian Dahlia tadi,membuatkan bibirnya tersungging senyum.
"Tinggal dua malam sahaja lagi."Desis Aminah di dalam hati.
Aminah kembali semula ke dalam rumah.Dia terus menuju ke arah dapur.Kelibat Kuntum dicari.
"Kuntum,kau dah siapkan makan malam mereka semua?"Soal Aminah.
Kuntum menganggukkan kepalanya.Buah yang sudah siap dibasuh di dalam raga disua kepada Aminah.
"Kau tolong potongkan buah epal tu.Kemudian,hidangkan di atas meja.Aku nak mengemas dapur sekejap."
Aminah hanya menurut.Raga yang berisi buah epal diambil dari tangan Kuntum.Lalu di bawa ke arah meja untuk dipotong.
Kesuma yang baru sahaja turun ke dapur mendekati Aminah.
"Minah,esok carikan aku bunga baru.Bunga tadi sudah habis aku gunakan."Arah Kesuma.
"Baik,puan.Ada apa-apa lagi ke yang puan mahukan untuk hari esok?"Soal Aminah lembut.
"Rasanya tidak ada apa-apa lagi.Kau pergilah panggil budak-budak itu semua makan.Biar aku yang tolong kau potong buah ini."
Pisau ditangan Aminah diambil.Aminah hanya akur dengan arahan Kesuma.Kakinya diatur ke arah bilik Haris dan rakan-rakannya.Kesuma pula menyambung tugas Aminah memotong buah sambil mulutnya bergerak-gerak seakan membaca sesuatu.
Share this novel