EMPAT

Horror & Thriller Completed 6708

"Woi,tutup sikit mulut kau tu!Kejap lagi masuk lalat baru tahu."Sergah Zaki dari arah belakang.

Haikal terhenjut bahu kerana terkejut.Dia yang sedang ralit memerhati Zarina dan Dahlia berpaling ke arah belakang.Matanya tajam menatap wajah Zaki yang tersengih seperti kerang busuk.

" Ala...Relaxlah.Jangan marah-marah.Nanti hilang hensem kau tu.Kau tengok apa?Ralit betul."Soal Zaki.

Haikal tidak menjawab.Dia hanya membiarkan pertanyaan Zaki itu seperti angin lalu.Zaki mengambil tempat di sebelah Haikal.Pandangannya dilemparkan di halaman rumah agam itu.Matanya tertancap pada Zarina dan Dahlia yang sedang duduk di atas buaian di bawah sepohon pokok.Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman kecil.

"Tak sangka aku Dahlia tu cantik sebenarnya.Patutlah Haris sayang gila dekat Dahlia.Tapi...Kenapa baru sekarang aku perasan yang dia tu cantik?"Ujar Zaki sendiri.

Zaki memandang ke arah Haikal yang masih membisu.Mata Haikal turut memandang ke arah Zarina dan Dahlia.Lengan Haikal disenggol.Haikal mula tersedar.Dia berpaling memandang Zaki.

"Kau dah kenapa?Cuba kau duduk diam-diam.Bagi aku rasa tenang sekejap.Aku nak menikmati permandangan yang cantik depan aku sekarang ni."Ujar Haikal.

Bibir Haikal mengorek senyum.Pandangannya kembali dibawa ke arah gadis-gadis itu.

"Kau tengok siapa?Zarina ke?"Zaki mula pelik dengan sikap sahabatnya yang seorang ini.

Haikal menggelengkan kepala.

"Habis tu...Kau pandang pokok tu ke?"

Kepala Zaki ditolak lembut.

"Daripada aku tengok pokok tu,baik aku masuk dalam buat taik mata.Apalah kau ni.Aku tengok Dahlia."

Zaki membulatkan mata.

"Bro,kau jangan macam-macam.Dahlia tu Haris yang punya.Jangan sebab perempuan kita bergaduh."Zaki cuba mengingatkan Haikal.

Haikal tersenyum senget.

"Aku tahulah.Tengok je bukan luak pun.Dahlia tu cantikkan?Maksud aku kecantikan dia makin terserlah.Sebelum ni aku taklah tertarik sangat.Tapi pagi tadi masa kita bersarapan,mata aku tak berkedip tengok dia.Ke...Mata aku yang bermasalah?Kau rasa?"

Haikal memandang Zaki.Cuba mendapatkan kepastian.

"Aku pun perasan juga.Baru kejap tadi aku puji dia.Kau je yang tak dengar.Itu yang buat aku jadi musykil.Kali ni bila aku tengok dia macam tak nak lepas.Aku ingat aku je yang macam tu.Rupanya kau pun sama."

Kedua-dua mereka mengeluh kecil.

"Dahlah,jom kita masuk.Aku takut makin lama kita tengok dia,kita pula yang boleh jatuh hati.Aku tak nak cari hal dengan Haris tu.Baik kita sambung buat assignment yang terbengkalai tu."

Tangan Haikal dilelar,lalu ditarik masuk ke dalam rumah.Dengan berat hati,Haikal menurut.

"Senyum panjang nampak.Dah dua hari kita dekat sini.Aku tengok kau pun dah jarang termenung.Mimpi tu tak ganggu kau lagi ke?"Soal Zarina.

Zarina mengayun buaian yang diduduki Dahlia.Dahlia mengangguk kecil.Pandangannya dilemparkan ke arah rumah agam itu.Terbit senyuman kecil di bibirnya.

"Aku rasa tenang je bila dekat sini.Kepala aku ni rasa ringan.Badan aku jadi segar.Aku happy."Balas Dahlia.

"Baguslah.Aku tengok kau pun makin berseri-seri.Aku perasan mata-mata kawan kita tu tak lepas pandang muka kau.Naik pelik aku.Kau ada ambil ubat apa-apa ke?"

Pantas Dahlia menggelengkan kepala.

"Mana ada...Mungkin sebab nenek Kesuma dah ubatkan aku."Ujar Dahlia tanpa berselindung.

Dahi Zarina berkerut.

"Nenek Kesuma ubatkan kau?Aku tak pernah nampak pun dia ubatkan kau.Bila?"Soal Zarina kehairanan.

Dahlia yang sedar akan keterlanjuran kata-katanya,mengetap bibir.Wajah Zarina ditatap sambil tersenyum kelat.

"Eh,bukan ubat.Maksud aku nasihat.Nenek Kesuma bagi nasihat dekat aku.Banyaklah pantang larang orang dulu-dulu dia bagi.Aku adalah juga ikut nasihat dia tu.Mungkin sebab tu mimpi tu dah tak ganggu aku lagi."Terang Dahlia bersungguh-sungguh.Dia berharap Zarina mempercayai kata-katanya itu.

Zarina terdiam seketika.Dia berpaling ke arah rumah agam di hadapannya.

"Jadi nenek Kesuma tahu pasal mimpi kau?" Soal Zarina lagi.

Dia seakan ragu-ragu dengan bicara sahabatnya itu.Lebih-lebih lagi melihat perwatakan Kesuma yang sedikit pelik pada pandangan matanya,menambahkan lagi kecurigaan dalam hatinya.

Dahlia termati kata.Akalnya mula bekerja mencipta alasan.Terngiang-ngiang di telinganya akan kata-kata Kesuma.

Flashback....

"Lia nak pergi mana?"Soal Aminah yang baru sahaja keluar dari ceruk dapur.

Dahlia memberhentikan langkah.Bibirnya melengkung senyuman kecil.

"Nak ke bilik air.Ada apa Mak Minah?"

Aminah mendekati Dahlia.Di tangannya ada membawa sehelai kain batik yang dilipat kemas.Lalu kain batik itu disua kepada Dahlia.Dahlia melihat tingkah Aminah itu dengan kehairanan.

"Kain batik?Nak buat apa ni,Mak Minah?"Soal Dahlia pelik.

Belum sempat Aminah membalas,terdengar satu suara lain di belakang mereka.Kedua mereka menoleh.

"Kain itu untuk menutup tubuh mu.Air mandian sudah tersedia.Pergilah kamu membersihkan tubuh mu itu."Ujar Kesuma.

Kesuma mendekati Dahlia.Bahu Dahlia disentuh lembut.

"Aku tahu pasal mimpi kamu itu."

Dahlia berkerut kening.

"Mana nenek tahu pasal mimpi saya?Setahu saya,saya tak pernah cerita pada sesiapa pun pasal mimpi tu."

Kesuma melengkung senyum.

"Akan aku ceritakan semuanya pada kamu.Kamu pergilah bersiram dahulu.Bersihkan tubuh kamu yang kotor itu."Balas Kesuma.

"Er...Tapi nek,saya baru lepas mandi petang tadi.Inikan dah malam.Orang tua-tua kata tak baik mandi malam-malam.Lagi pun tak bagus untuk kesihatan."

Kesuma mengalih pandang ke arah Aminah.Aminah sembunyi senyum tatkala mendengar kata-kata Dahlia.

"Tak semua yang orang dulu-dulu cakap tu betul.Lagi pun mandian untuk Lia ni untuk berubat.Untuk kebaikan Lia juga."Terang Aminah pula.

Dahlia semakin bingung.Wajah Kesuma dan Aminah ditatap silih berganti.

"Tapi saya tak sakit.Kenapa perlu berubat?"Dahlia seakan menolak.

"Kamu itu sakit.Kamu sahaja yang tidak tahu.Kali pertama kamu ke sini,rupa mu pucat bagai tiada darah.Tubuh mu lemah.Tidak bertenaga.Namun,setelah kamu bersiram dengan air bunga itu,apa yang kamu rasa,Dahlia?Ada sebarang perubahan pada diri kamu?"Soal Kesuma dengan nada yang tegas.

Dahlia diam seketika.Dia tidak menyangkal akan kata-kata Kesuma.Memang benar,dia merasa sedikit perubahan selepas mandi bunga yang disediakan Aminah malam semalam.Malahan,tidur malamnya tidak lagi terganggu seperti selalu.

"Ada....Tapi..."

"Lia,ikut sahaja kata-kata nenek Kesuma ni.Nenek Kesuma ni pandai mengubat orang.Dia lebih arif tentang penyakit yang tidak dapat dirawat oleh perubatan sains.Apa kata,Lia pergi je mandi.Lepas bersiap nanti,Lia jumpa dengan nenek Kesuma.Biar nenek Kesuma terangkan semuanya."Pujuk Aminah.

Aminah dengan pantas memotong percakapan Dahlia.Dengan rasa terpaksa,Dahlia mencapai kain batik di tangan Aminah.Lalu kakinya diatur ke arah bilik air di luar rumah.

"Seperti semalam,kau tunggu dia sehingga selesai.Setelah itu,kau bawa dia berjumpa aku di bilikku."Arah Kesuma.

Aminah hanya mengangguk kecil sebelum langkahnya diatur keluar dari rumah mengikuti langkah Dahlia.Kesuma yang melihat dari jauh tersungging senyum.Dia kembali mengatur langkah ke arah biliknya.

Usai Dahlia siap menukar pakaian,Dahlia segera mengatur langkah keluar dari biliknya.Sempat dia mencapai tudung sarung yang tersidai di atas kerusi.Namun,belum sempat kakinya mencecahkan kaki di lantai luar bilik,Zarina menyeru namanya.Dahlia berpaling ke arah Zarina yang sedang duduk di atas katil.

"Kau nak pergi mana pula ni?Bukan tadi petang kau dah mandi?Kenapa kau salin baju?Rambut pun basah."Soal Zarina.

Dahlia cuba mencipta alasan.Dia belum bersedia untuk berterus terang tentang perkara yang sebenar selagi dia tidak tahu tujuan sebenar Kesuma yang seakan mengambil berat tentang dirinya.

"Mm...Baju aku basah tadi masa cuci muka.Lepas tu aku rasa tak selesa.Jadi aku mandi sekali lagi.Tu yang aku tukar baju semua.Ni...Aku nak pergi dapur sekejap.Tekak kering.Nak minum.Kau nak air juga ke?"Soal Dahlia.

Zarina menggeleng laju.

"Tak naklah.Perut aku dah penuh.Lagi pun malam ni aku banyak makan.Sedap betul Cik Kuntum tu masak.Manalah berat aku ni tak mencanak naik.Memang tak boleh kuruslah jawabnya."Omel Zarina yang sememangnya bertubuh sedikit gempal.

"Yalah...Kau rehatlah dulu.Aku nak pergi minum sekejap."Ujar Dahlia lagi.

Zarina kembali merebahkan tubuhnya di atas katil.Melihat Zarina yang sudah berbaring di atas katil,Dahlia kembali mengatur langkah ke arah Aminah yang berada di ruang makan.

"Lia,mari.Mak Minah bawa Lia jumpa puan.Mm...Zarina mana?"Soal Aminah sambil kepalanya menjengah ke arah belakang Dahlia.

"Rina tengah berehat dalam bilik."Balas Dahlia ringkas.

"Baguslah kalau begitu.Puan tak suka ada orang lain yang masuk campur urusan dia."

Aminah meneruskan langkahnya.Dahlia yang berada di belakangnya,hanya mengekori.Mereka menyusuri ke suatu ruangan sehingga sampai di hadapan sebuah bilik.Dahlia memerhati sekelilingnya.Kedudukan bilik ini jauh dari bilik-bilik yang lain.Terdapat satu pintu di hadapan bilik itu.Susun atur perabot di situ juga kemas dan kebanyakan perabot diperbuat daripada kayu yang bermotifkan ukiran kayu lama.Sedikit sebanyak ia menarik minat Dahlia.

"Lia.."

Dahlia menoleh ke arah Aminah.

"Lia masuk bilik ni.Puan dah tunggu Lia dekat dalam."

Dahlia teragak-agak untuk masuk.Melihat riak wajah Dahlia itu membuatkan Aminah kekal tidak berganjak dari tempat dia berdiri.Tangan Dahlia dilelar.

"Jangan risau.Puan tak makan orang.Pergilah.Lia ada banyak soalan yang Lia nak tanyakan pada puan kan?Mana tahu persoalan Lia akan terjawab."

Dahlia mengangguk kecil.Pintu bilik dibuka sebelum kakinya melangkah perlahan-lahan ke dalam ruangan itu.Melihat susuk tubuh Dahlia yang sudah menghilang di sebalik pintu,Aminah terus mengatur langkah meninggalkan kawasan itu.

Dahlia melilau melihat keadaan bilik yang boleh dikatakan besar itu.Susun atur barang-barang juga kemas.Perabot di situ juga bermotifkan ukiran kayu klasik.Dahlia melangkah lagi hingga ke suatu ruang lain.Dia menjengahkan kepalanya.Mengintai keadaan di dalam ruangan kecil itu.Di hadapan ruangan kecil itu terdapat sebuah meja panjang.Pelbagai jenis bunga segar tersusun elok di atas meja tersebut.Ruangan kecil itu dipenuhi dengan bau-bauan segar daripada bunga-bunga itu.Ruangan yang hanya samar-samar diterangi cahaya bulan dari arah jendela dan dari cahaya lilin wangi yang dipasang di sekitar ruangan membataskan sedikit penglihatan Dahlia.

Dahlia memicingkan mata.Susuk Kesuma dicari.Tiba-tiba terasa bahunya disentuh seseorang.Dahlia tergamam.Kakinya terpasong di tempat dia berdiri.Dia cuba mengerling ke sisi.Tetapi pandangannya tidak dapat melihat dengan jelas gerangan yang menyentuhnya.Bauan yang sangat wangi menerjah ke hidungnya.Air liur diteguk kasar.Dia cuba berpaling ke arah belakang.Namun,tubuhnya seakan tidak mampu bergerak.

"Nenek...Nenek ke tu?"Dahlia memanggil Kesuma.Namun,tiada sebarang sahutan.

Perasaan takutnya ditepis.Dengan keberanian yang hanya senipis kulit bawang,perlahan-lahan dia cuba untuk berpaling ke arah belakang.Mata dipejam rapat.Usai tubuhnya selamat berpaling ke belakang,kelopak matanya dibuka semula perlahan-lahan.Namun,matanya tidak menangkap sebarang bayangan.Dahlia melihat kiri dan kanannya.Masih sama seperti tadi.Tiada sesiapa di situ.Dahlia cuba menenangkan diri.

"Perasaan aku je kot.Relax,Lia....In Syaa Allah...Tak ada apa-apa.Kau tu yang takut sangat sampai terbayang yang bukan-bukan."Dahlia bermonolog sendiri.

Dahlia menghela nafas panjang sebelum dia kembali memusingkan tubuhnya ke belakang.Tiba-tiba dia dikejutkan dengan susuk tubuh seorang perempuan berkebaya di hadapannya.Dahlia menjerit kecil sambil kedua telapak tangannya dibawa menutup wajah.

"Dah lama Dahlia sampai?"Soal wanita itu.

Dahlia kenal akan suara itu.Tangannya dijauhkan dari wajah.Kesuma tersenyum manis memandang Dahlia.Dahlia menghela nafas lega saat melihat Kesuma berada di hadapannya.

"Nenek...Terkejut saya.Bila nenek ada dekat sini?Tadi saya cari dan panggil nenek.Tapi nenek tak menyahut."Soal Dahlia kehairanan.

Kesuma tidak menjawab.Sebaliknya tangan Dahlia dilelar,lalu ditarik ke arah satu sudut.Mereka melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi panjang.Dahlia menatap wajah Kesuma dengan penuh debaran.Saat bersama Kesuma,Dahlia dapat merasakan satu aura yang berbeza yang dia sendiri tidak mampu gambarkan.

"Sebelum aku menjelaskan segalanya.Aku mahu kamu berjanji sesuatu,Dahlia."Lembut sahaja nada Kesuma berbicara.Tidak lagi sekeras seperti sebelum ini.

"Er...Apa dia,nek?"

Kesuma tersenyum senget.Wajah Dahlia ditatap dengan renungan yang sukar ditafsir.Sekali lagi jantung Dahlia berdebar-debar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience