SEBELAS

Horror & Thriller Completed 7031

"Lia,kenapa boleh jadi macam ni?Kita pergi hospital,ya?"Pujuk Heliza yang baru sahaja tiba di rumah sewa Dahlia.

Dahlia pantas menggelengkan kepala.Matanya redup menatap wajah cemas Heliza yang duduk di sisinya.

"Mama jangan risau.Lia ok je.Tak ada apa yang perlu dirisaukan."Dahlia cuba menenangkan ibu angkatnya itu.

"Ok Lia cakap?Sampai tak sedarkan diri?"Khairul yang berada di belakang Heliza pula mencelah.Dahlia yang mendengar suara Khairul itu mula menunduk.Takut membalas tatapan mata abang angkatnya merangkap anak lelaki Heliza.Zarina yang berada di bilik itu pula hanya mampu menikus saat melihat aura Khairul yang tampak garang di matanya.

"Khai,cuba lembut sikit kalau nak bercakap dengan adik kamu ni.Bukan Lia je yang takut dengar suara Khai.Tu,si Zarina tu pun sama.Pucat dia tengok Khai."Ujar Heliza lembut.

Teguran Heliza membuatkan Khairul menggosok belakang lehernya.Urat lehernya jelas kelihatan saat dia merasa tegang.Dia mengetap rahang menahan rasa.

"Dia tidak apa-apa.Ini hanya kesan sampingan kecil sahaja.Lama-lama nanti,dia akan biasa."Ujar Kesuma yang baru melangkah masuk ke dalam bilik Dahlia.Semua mata terarah pada Kesuma.

Heliza tergamam saat matanya bertatapan dengan mata Kesuma.Air liur diteguk kasar.

"I...Ibu!"Kelopak mata Heliza terbuka luas.Kesuma sekadar tersenyum sinis saat namanya meniti di bibir wanita itu.

"Ya,aku.Apa khabar Liza?Sudah lama rasanya kita tidak berjumpa?Anak kau juga sudah dewasa.Kacak seperti suami kau.Maaf,maksudku arwah suami kau."Balas Kesuma sambil berdiri di hadapan katil Dahlia.

Saat itu,Heliza terus turun dari atas katil dan menerpa ke arah Kesuma.Tubuh Kesuma didakap erat.

"Ibu,maafkan Liza.Bukan maksud Liza untuk membelakangi ibu.Liza terpaksa.Liza sayangkan persahabatan Liza dan Mawar.Liza cuma mahu melindungi anak Mawar."Heliza merintih hiba.Air matanya mengalir tanpa henti.

Mendengar nama Mawar meniti di bibir wanita itu,Kesuma termati kata.Serta merta tubir matanya terasa hangat.Tanpa sedar air matanya turut mengalir.Terbayang wajah Mawar di hadapan matanya.Senyuman Mawar,tawa Mawar,tangisan Mawar.Segalanya tentang Mawar kembali menyinggah di ingatan tuanya.Perlahan-lahan pelukan Heliza dileraikan.Tubuhnya berpaling dari memandang Heliza.Punggung dihenyak di atas kerusi rotan yang ada di dalam bilik itu.Mereka yang lain sekadar memerhati perlakuan kedua-dua wanita itu.

"Ibu...."

"Cukup!Aku tidak mahu mendengar sebarang bicara.Mawar sudah tiada.Tidak ada apa yang perlu diungkit kembali.Dahlia juga sudah dewasa.Perkara lama jangan diingat lagi."Balas Kesuma tanpa riak.Air mata yang mengalir diseka kasar.

"Macam mana ibu boleh bertemu Dahlia?Macam mana ibu boleh kenal dia?Sedangkan waktu Mawar bawa Dahlia keluar dari rumah ibu,dia masih kecil,belum faham akan dunia luar."

"Aku ada cara aku sendiri.Adakah kau lupa siapa aku,Liza?Tidak kira ke mana kau bawa lari keturunan aku,pasti aku akan jejaki."

Mendengar kata-kata Kesuma,Dahlia menjadi semakin tertanya-tanya.Dia turun dari katil,lalu menapak mendekati tubuh Heliza.Lengan Heliza dipaut lembut.

"Ma,apa semua ni?Mama kenal nenek Kesuma?Siapa dia dengan Lia,ma?Mama ada sorokkan sesuatu daripada Lia ke?"Soal Dahlia dengan kening yang berkerut.

Heliza menghela nafas berat.Tangan Dahlia dicapai lalu digenggam kemas.Wajah pucat Dahlia ditatap redup.

"Maafkan mama,Lia.Mama tipu Lia.Mama pernah cakap yang Lia sebatang kara.Mak Lia serahkan Lia pada mama sebab kemiskinan hidup.Mak Lia tinggalkan Lia sebab dia sakit.Itu semuanya dusta,Lia.Cerita itu hanya sekadar alasan supaya mama boleh dapatkan kepercayaan Lia pada mama.Mama tak nak Lia lari tinggalkan mama.Tapi percayalah,kasih sayang mama pada Lia selama ni ikhlas.Mama sayangkan Lia sama seperti mana Mak Lia sayangkan Lia."Terang Heliza dengan tenang.Dia pasrah andai Dahlia melepaskan amarah padanya.Dia reda andai Dahlia memilih untuk membenci dirinya,kerana itu adalah kifarah atas segala tindakannya selama ini.

Dahlia merentap tangannya dari pegangan Heliza.Dia menjarakkan tubuhnya dari tubuh ibu angkatnya itu.Kepalanya digelengkan beberapa kali.Tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

"Mama cakap apa ni?Apa maksud mama sebenarnya?"

"Lia...."

Heliza cuba mencapai tangan Dahlia,namun Dahlia segera menepis.Melihat perlakuan Dahlia itu membuatkan Khairul yang berada di situ mula beriak tidak senang.

"Dahlia,Please behave!"Lengking suara Khairul memarahi Dahlia.Dahlia menoleh memandang Khairul dengan tatapan yang tajam.

"Untuk apa Lia berlembut?Sedangkan mama dah tipu Lia hidup-hidup!"Jerit Dahlia seakan melepaskan amarah.

Terkejut dengan bicara Dahlia,Khairul mula berubah nada.

"Tapi Lia belum dengar lagi penjelasan mama kan?Bagi mama peluang untuk jelaskan perkara yang berlaku.Kita tak boleh menghukum selagi kita tak tahu hujung pangkal cerita,Lia.Dahlia yang abang kenal bukan macam ni..."Khairul beriak kecewa.

"Baik,Lia nak mama cerita semuanya.Jangan ada satu pun yang tertinggal."

Dahlia kembali menghenyak punggung di birai katil.Matanya tajam menatap wajah Heliza.Heliza menggali nafas dalam sebelum dia menyambung bicara.

Flashback...

"Liza kau kena tolong aku!"

Mawar memaut lengan Heliza sambil merayu.Dahlia yang hanya berusia dua tahun berdiri di sebelah kaki Mawar sekadar memerhati.

"Mawar,aku bukan tak nak tolong.Tapi kau tahukan ibu kau tu macam mana?"Ujar Heliza.

"Aku tahu.Tapi...Ini sahaja jalan yang tinggal.Kau bawalah Dahlia lari jauh dari sini.Aku tak mahu musnahkan masa depan dia.Biarlah semuanya aku tanggung sendiri."Rintih Mawar sambil menyeka air matanya.

Melihat rayuan sahabatnya itu membuatkan Heliza tidak sampai hati untuk menolak.Lebih-lebih lagi saat melihat wajah comel Dahlia,membuatkan hatinya tersentuh.Tidak sanggup rasanya andai kanak-kanak perempuan itu menerima nasib yang sama seperti sahabatnya itu.

"Baiklah,aku tolong kau jagakan Dahlia.Tapi...kau macam mana pula?Sampai bila kau nak hidup macam ni?"Soal Heliza penuh simpati.

"Pasal aku,kau tak perlu risau.Pandailah aku jaga diri aku.Sudah tertulis begini kehidupan aku.Aku pasrah.Kau jagalah Dahlia sepertimana kau jaga Khairul.Anggap dia seperti anak kau.Ini amanah aku.Lindungi dia dari ibu aku."

Dengan berat hati,Heliza menganggukkan kepalanya.Mawar duduk melutut di hadapan Dahlia.Tubuh kecil Dahlia dipeluk erat seakan tidak mahu melepaskan anaknya itu.Dahlia yang masih mentah,tidak tahu apa yang berlaku hanya terkebil-kebil melihat perlakuan Mawar.Belakang tubuh Mawar diusap lembut.Seakan seorang ibu memujuk anaknya.

"Mak,janganlah nangis.Liakan ada dengan mak.Lia sayang mak..."Petah Dahlia berbicara.

Mendengar bicara anak perempuannya,air mata Mawar semakin mengalir deras.Pipi kiri dan kanan Dahlia dikucup berulang kali.

"Maafkan mak,Lia.Percayalah...Apa yang mak buat ini untuk kebaikan Lia.Mak sayang Lia sangat-sangat."Ucap Mawar dalam sendu.

Wajah Mawar yang basah dengan air mata disentuh lembut dengan jari kecilnya.Dahlia melabuhkan bibirnya di dahi Mawar.

"Lia pun sayang....mak.Sangat-sangat."Balas Dahlia.

Mawar tersenyum nipis sebelum tubuh kecil Dahlia kembali didakap.Heliza yang berada di sisi Mawar hanya mampu menenangkan sahabatnya.Itulah kali terakhir Heliza menatap wajah Mawar.Begitu juga dengan Dahlia.Selepas perpisahan itu,Heliza mengotakan janjinya dengan membawa Dahlia berpindah jauh dari kampung mereka.

End Flashback...

"Lepas lima tahun,mama dapat berita Mawar sudah meninggal dunia kerana kemalangan.Mama terpaksa cipta cerita supaya Lia tidak akan pergi mencari keluarga kandung Lia semula.Itu janji mama pada arwah mak kamu,Lia."Air mata Heliza mengalir di pipi.Kenangan dua puluh tahun lalu mula menjengah di ingatannya.

"Tapi kenapa mak nak mama bawa Lia lari jauh daripada keluarga Lia?"Soal Dahlia ingin tahu.

Heliza mengerling ke arah Kesuma yang membisu sejak dari tadi.Rahsia yang selama ini disimpan akhirnya terbongkar jua.Dia perlu berterus-terang.Dia tidak mahu Dahlia membencinya.Walaupun rahsia ini seakan membuka pekung keluarga Dahlia,namun dia terpaksa.

"Sebab Mawar tak mahu Lia menerima nasib yang sama seperti dia,seperti nenek Lia."

Heliza mengalih pandangannya pada Kesuma.

"Nenek Kesuma ini nenek kandung Lia.Keluarga Lia ada saka yang perlu diperturunkan kepada setiap keturunan mereka.Saka ini memerlukan waris perempuan.Sebab itu,mak Lia bawa Lia jauh daripada keluarga Lia.Dia tak mahu Lia terima saka keturunan keluarga Lia."Terang Heliza.

"Nenek Lia?Saka?Mama nak buat cerita baru pula ke?Tak cukup dengan cerita dulu,sekarang mama nak reka cerita baru?"Sinis Dahlia berbicara.

"Tak,mama tak reka cerita,Lia.Mama cakap apa yang sepatutnya mama beritahu Lia dari dulu lagi.Mama tak tipu."Heliza cuba meyakinkan Dahlia.

"Betul apa yang Heliza katakan itu.Aku adalah nenek kandung kamu,Dahlia.Kamu pula adalah cucu kandung aku yang selama ini hilang dibawa lari orang.Apa yang Heliza katakan semuanya benar belaka.Benar,keluarga kita ada pendamping yang menjaga seluruh keturunan kita.Sepatutnya ia jatuh kepada ibu kamu,Mawar.Tetapi belum sempat ia bersatu dengan tubuh ibu mu,ibu mu pergi dijemput Ilahi.Sekarang,ia memerlukan tuan yang baru.Aku sudah cukup tua untuk memikul bebanan ini.Kerana itu aku mencari kamu,Dahlia."Terang Kesuma panjang lebar.

Dahlia tergamam mendengar semua bicara Kesuma.Kedua-dua tangannya tiba-tiba menggeletar.Hatinya meronta-ronta menolak segala kebenaran yang didengarinya.

"Ke...Kenapa Lia?Bukan orang lain?"

"Sebab kamu satu-satunya waris aku,Dahlia.Ibu mu anak tunggal perkahwinan aku yang dulu.Dia sahaja pewaris yang aku ada.Selepas ketiadaan dia,kamu anak perempuannya yang akan mewarisi pemberian aku ini."

"Tak,Lia tak nak!Lia tak nak!"

Dahlia menekup kedua-dua telinga dengan tapak tangannya.Segala bicara Kesuma tidak mahu didengari.Melihat perlakuan Dahlia itu,Heliza dengan pantas menapak mendekati Dahlia.Tubuh Dahlia ditarik masuk ke dalam dakapannya.Cuba menenangkan anak angkatnya itu.

"Lia,sabar.Jangan macam ni..."Heliza cuba memujuk.

"Macam mana Lia nak tenang.Lia tak nak saka nenek.Lia tak nak,mama.Tolong Lia,ma.Bawa Lia lari jauh dari sini."Kini Dahlia pula merintih merayu pada Heliza.Heliza menjadi buntu.Wajah Kesuma ditatap meminta simpati.

"Maaf,Liza.Kali ini kau tidak boleh berbuat apa-apa.Jauh mana sekali pun kau bawa Dahlia pergi,ia sudah pun bersatu dalam diri Dahlia."Balas Kesuma senada.

Dahlia mengangkat kepala memandang ke arah Kesuma.Kelopak matanya terbuka luas saat dia mula menghadam kata-kata Kesuma.

"Apa maksud nenek ia dah bersatu dalam diri,Lia?"

"Tanpa kamu sedar,kamu sudah pun menerima dia,Lia.Ia datang dalam mimpi kamu.Dengan bantuan dia juga kamu berjaya bawa Zarina keluar dari dunia lain.Tanpa sedar juga kamu sudah sebati dengan dia."

"Puteri tu...Dalam mimpi Lia.Puteri itu ke pendamping yang nenek maksudkan?"

Kesuma hanya mengangguk kecil.Dahlia termati kata.Jadi selama ini,segala mimpi-mimpi yang dia alami adalah petanda.Tiba-tiba dia teringat akan sesuatu.Kalung yang berada di lehernya direntap kuat.Lalu,kalung itu dilayangkan di hadapan Kesuma.

"Kalung ini ke puncanya?Adakah rantai dan kalung ini perantaraan untuk dia menjadi pendamping Lia?"Soal Dahlia lagi ingin mendapatkan kepastian.

"Tidak.Rantai dan kalung itu hanya barang kemas pusaka turun temurun.Tetapi mimpi kamu yang menjadi perantaraan antara kamu dan puteri itu.Pasrah sahajalah Dahlia.Kamu tidak akan boleh lari ke mana-mana.Kerana ia sudah pun memilih kamu.Dan kamu sudah pun menerima dia.Buktinya kamu telah berjaya merawat sahabat kamu.Kamu berjaya menundukkan pawang yang jahat itu."

Sekali lagi Dahlia terpempan saat mendengar bicara Kesuma.Adakah dia perlu pasrah dan menerima segala ketentuan yang tertulis dalam hidupnya?Atau dia perlu lakukan sesuatu supaya dia dapat mengakhiri semuanya...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience