ENAM

Horror & Thriller Completed 6708

Dahlia menyisir lembut rambutnya.Tiba-tiba rasa sejuk mula menyengat hingga ke tulang.Dahlia menggosok-gosok lengannya.

"Kenapa rasa sejuk semacam pula ni.Ke... Sebab mandi bunga tadi?Ish,tak mungkinlah!Perasaan aku je kot."Desis hati Dahlia.

Perasaan tidak enak yang bertandang ditepis.Dahlia kembali menyambung menyisir rambut.Rambutnya diangkat tinggi sebelum digulung dan diikat.Memperlihatkan lehernya yang jinjang.Saat dia mahu mencapai tudung sarung di kerusi,rambutnya yang sudah elok bersanggul terurai sendiri.Terasa ada satu hembusan menerpa di belakang lehernya.Dahlia berkerut dahi.Dia menoleh ke arah kiri dan kanannya.Melihat andai kelibat Zarina ada di dalam bilik itu.Malangnya,telahan Dahlia meleset.Tiada sesiapa di situ.Dahlia cuba berfikiran positif.Getah rambut yang berada di atas lantai dicapai.Rambutnya disimpul kembali.Kini ikatannya lebih kuat.

Tudungnya dicapai.Baru sahaja dia ingin menyarung tudung,ikatan rambutnya terlerai lagi.Bulu romanya merinding.Seakan ada sesuatu berada di belakangnya.Dahlia memejamkan mata.Cuba menenangkan dirinya.Dengan kiraan satu hingga tiga,Dahlia membuka kelopak mata dan terus berpaling ke arah belakang.Tetapi masih tiada kelihatan sebarang kelibat.

"Rina,kau jangan main-main!Dah malam kot nak bergurau macam ni..."Marah Dahlia.Namun,keadaan bilik itu masih sunyi.

Dahlia meneguk air liurnya.Jantungnya berdegup laju.Tudung yang masih berada di tangan terus sahaja disarung di kepala.Kakinya pantas melangkah keluar dari bilik.Namun,baru sahaja langkahnya sampai di muka pintu,telinganya menangkap satu suara yang menyeru namanya.Langkah Dahlia terhenti.Dia cuba mengamati suara tadi.Tetapi suara itu tiba-tiba hilang.Dahlia memberanikan diri memusingkan tubuh memandang segenap inci ruang bilik itu.Malangnya,keadaan bilik itu lengang tanpa suara.

Adakah itu hanya perasaannya saja?Dia sendiri tidak pasti.Dahlia kembali melangkah keluar dari bilik.Dia menuju ke arah dapur.Kelihatan Zarina masih lagi berada di situ bersama cik Kuntum.Zarina yang menyedari akan kehadiran Dahlia,menoleh memandang Dahlia.Kedua keningnya dinaikkan.

"Kau kenapa,Dahlia?Muka pucat macam nampak hantu je.."Soal Zarina.

Dahlia meraba-raba wajahnya.Tudung yang dirasakan senget-benget dibetulkan.

"Err...Tak ada apa-apa.Kau tak siap makan lagi ke?"Soal Dahlia.

"Belum.Sedap sangat masakan cik Kuntum ni.Esok kita dah nak balik.So,bagi aku menikmati makanan kampung ni dulu.Dah balik sana,memang tak dapat nak menikmati makanan macam ni lagi."Ujar Zarina dengan mulut yang penuh.

Dahlia hanya mengangguk kecil mengiyakan kata-kata sahabatnya itu.Tiba-tiba dia merasakan ada tangan yang menyentuh bahunya.Dahlia yang masih lagi dalam keadaan cemas,terkejut.Dia berpaling ke arah belakang.Dadanya dipegang.

"Haikal,Terkejut saya!"

Haikal hanya tersengih memandang Dahlia.

"Sorry...Aku tak ada niat pun nak terkejutkan kau.Kau ok tak?Muka kau nampak pucat."Soal Haikal prihatin.

"Saya ok je.Mm....Tak apalah.Saya nak masuk bilik dulu."

Dahlia ingin beredar dari situ.Dia tidak betah berlama-lamaan berdepan dengan sahabatnya itu.Ntah mengapa pandangan mata Haikal membuatkan dia menjadi kurang selesa.Baru sahaja Dahlia ingin melangkah,tangannya dilelar Haikal.Dahlia menoleh semula ke arah Haikal.Tangannya direntap dari pegangan Haikal.Matanya tajam memandang Haikal.

"Awak nak apa ni,Haikal?"Nada suara Dahlia naik senoktah.

Haikal yang terkejut dengan bicara Dahlia itu termati kata.Dia tidak menyangka gadis yang selama ini bertutur lemah lembut tiba-tiba bertutur kasar dengannya.

"Sorry.Aku tak ada niat nak pegang kau.Aku cuma nak ajak kau berborak.Itu saja.Maaf kalau aku dah buat kau salah faham."Ujar Haikal seakan kecewa dengan balasan Dahlia padanya.

Dahlia yang tersedar akan keterlanjurannya mula dihimpit rasa bersalah.

"Er..Haikal.Saya pun nak minta maaf sebab marahkan awak.Saya rasa mungkin lain kali je kita berbual.Angin saya tak berapa nak baik.Maaf."

Dahlia terus berpaling meninggalkan Haikal yang termanggu mendengar bicaranya sebentar tadi.Haikal mengeluh kasar.Dia seakan tercabar dengan tingkah Dahlia padanya.

"Haikal,kau kenapa ni?"Soal Zaki yang datang tiba-tiba menerpa ke arahnya.

"Tak ada apa-apa.Kau nak ke mana?"

"Aku nak ke dapur.Tekak haus pula.Kau nak join sekali ke?"

Haikal mula berfikir-fikir.Hatinya sedang panas.Mungkin dia perlukan air untuk menyejukkan hatinya.Akhirnya,dia mengatur langkah ke arah dapur bersama Zaki.

Dahlia menghenyak punggung di atas katil.Dia menghempas nafas berat.Dia keliru dengan sikapnya yang mula berubah.Setahu Dahlia,dia bukan seorang yang cepat melenting atau marah.Tetapi bicaranya tadi menunjukkan sikap dia yang sebaliknya.Ntah mengapa hatinya seakan panas tiba-tiba.Hilang sudah sifat sabar dalam dirinya.Dahlia cuba bertenang.Nafasnya ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan.Mulutnya tidak berhenti-henti beristighfar.

Usai merasa tenang,tudung dibuka.Tubuhnya dilayangkan di atas katil.Dia memejamkan kelopak matanya.Cuba melupakan apa yang mengganggunya.

"Dahlia...."

Dahlia membuka kelopak matanya semula.Suara halus itu kembali menerpa di gegendang telinganya.Matanya meliar ke kiri dan kanan.Mencari arah suara itu.

"Dahlia...."

Suara kedengaran hampir di cuping telinga kirinya.Dahlia bangun dari perbaringannya.Dia memandang ke arah kiri.Tetapi tiada sesiapa di situ.

"Siapa tu?Tolonglah jangan main-main.Tak lawak ok."

Kesabaran Dahlia mula menipis.Tiba-tiba Dahlia seakan melihat satu kelibat melintasi katilnya dengan pantas.Dahlia berpaling ke arah jendela bilik.Perlahan-lahan,dia turun dari katil.Kakinya mencecah lantai dan melangkah perlahan-lahan ke arah jendela.Dahlia menjengah keluar jendela yang sudah terbuka.Matanya terpasak pada sekuntum bunga yang melekat di bilah jendela.Dengan tangan yang terketar-ketar,Dahlia mencapai kuntuman bunga itu.Bunga berwarna biru di tangannya ditilik.

"Cempaka biru buat mu,Dahlia..."

Satu suara menerpa di pendengarannya lagi.Suara yang sama.Dahlia mengangkat wajah.Dia terpempan saat melihat seorang perempuan cantik raut wajahnya bak bidadari yang berpakaian serba putih.Berderau darahnya tatkala melihat kaki perempuan itu tidak menjejak ke tanah.Dia terapung di udara.Tajam renungan matanya menikam ke wajah Dahlia bersama senyuman yang terukir di bibir.Dahlia meneguk air liurnya.

"Siapa kau?"Soal Dahlia takut-takut.

"Panggil sahaja aku puteri.Aku adalah kamu dan kamu adalah aku."Ujar perempuan itu.

Dahlia membesarkan matanya saat melihat wajah perempuan itu seiras dengan wajahnya.

"T...Tak mungkin!"Dahlia menafikan.

Perempuan itu menghemburkan tawanya tatkala mendengar kata-kata Dahlia.

"Kamu tidak boleh menafikannya,Dahlia.Satu hari nanti kamu akan menerimanya juga.Saat itu pasti tiba."Ujar perempuan itu lagi.

Bunga cempaka biru yang berada di telapak tangan Dahlia mula terapung di udara.Bunga itu bergerak mendekati Dahlia.Dalam sekelip mata bunga cempaka biru itu sudah terselit elok di rambutnya.Apa yang terjadi di hadapan matanya kini benar-benar di luar jangkauan waras akal fikirannya.

"Semendarasa wilis alanganku buat mu.Anugerah bahari permana untuk mu."Ujar perempuan itu lagi.

Saat kata-kata itu meniti di bibir perempuan itu,bayangannya terus hilang dari pandangan mata Dahlia.Dahlia mencari-cari susuk tubuh perempuan itu.Namun,tidak kelihatan di mana-mana.Nama perempuan itu dilaung beberapa kali.

"Puteri!Puteri!Puteri!!"

Dahlia tersedar dari lenanya.Dia bingkas bangun dari perbaringan.Belakang tubuhnya diusap lembut oleh seseorang.Dengan keadaan separuh sedar,terdengar namanya diseru.Dahlia menoleh ke sisinya.Kelihatan wajah Zarina yang beriak risau.

"Lia,kau ok tak ni?"Soal Zarina.

Zarina yang baru sahaja masuk ke bilik terkejut tatkala melihat keadaan Dahlia yang meracau-meracau.Puas dia mengejutkan Dahlia.Namun,Dahlia tidak juga sedar.Sehinggalah akhirnya Dahlia menjerit nama seseorang sebelum kelopak matanya terbuka semula.

"Hei,Lia.Kau ok tak ni?Risau aku tengok keadaan kau macam ni."Soal Zarina.

"Mana Puteri tu,Rina?Mana dia?"Soal Dahlia sambil matanya meliar ke arah kiri dan kanan.

Kening Zarina berkerut.

"Puteri?Puteri mana pula,kau ni?Mana ada puteri dekat sini."Balas Zarina yang semakin pelik dengan kelakuan sahabatnya itu.

Dahlia terdiam seketika.Dia cuba menenangkan fikirannya.Nampaknya apa yang dia alami tadi hanyalah mimpi sahaja.Dahlia menghela nafas panjang.

"Sorry,Rina.Kalau aku buat kau risau.Aku ok.Tadi aku cuma bermimpi je.Sampai terbawa-bawa bila aku sedar.Dah pukul berapa sekarang ni?"

Zarina melirik ke arah jam di dinding.

"Pukul 11 malam.Dahlah.Kau berehatlah.Sambung tidur.Aku pun dah mengantuk ni.Kejap,aku tutup lampu dulu."

Baru sahaja Zarina ingin turun dari katil,tangannya dilelar.Zarina menoleh semula ke arah Dahlia.

"Kenapa?"Soal Zarina.

"Malam ni kita tak payah tidur dalam gelap boleh?Aku tak selesa."Ujar Dahlia.

Zarina tersenyum nipis.Kepalanya diangguk kecil.

"Mesti kau mimpi buruk tadikan?Tak apalah.Aku ok je tidur dalam terang.Dahlah.Jom tidur.Esok dah nak balik."Balas Zarina.

Zarina dan Dahlia melayangkan tubuh mereka di atas katil.Selimut ditarik menutupi separuh tubuh mereka.Dahlia mengerengkan tubuhnya.Tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu di dalam genggaman tangannya.Genggaman tangannya dibuka.Sekuntum bunga cempaka biru yang seakan sama di dalam mimipinya kini berada di atas telapak tangannya.Dahlia mula berteka-teki sendiri.Kerana lelah berfikir,akhirnya Dahlia kembali dijemput lena.

Share this novel

DHIA AMIRA
2024-04-18 18:39:38 

apa mksud semen ....tu


NovelPlus Premium

The best ads free experience