Bab 1

Fantasy Series 3187

Kerabat tertua di hilir negeri itu sakit tenat. Dari malam tadi kereta tidak henti henti memenuhi ruang halaman istana kayu itu. Ramai sekali orang ternama datang menziarahi kerabat tertua hilir negeri itu. Istana kayu bertanggam tidak berpaku itu dinaiki secara bergilir. Mereka risau ia akan tumbang menjengah bumi ekoran istana itu dibina hanya menggunakan tanggam.

"Kalau naik sekali ramai ni, mesti tumbang" bisik salah seorang wanita kaya yang berpakaian mewah. Bajunya berkelipan dan bibirnya merah menyala.

"Terpaksa bergilir ziarah Tok Ma" Balas yang lain sambil melihat rantai jam di tangannya. Mereka yang lain megangguk angguk tanda setuju.

"Dah lama Tok Ma sakit. Sudah berapa kali Tuanku bawa berubat ke England, tetapi Tok Ma sakit semula" Rungut salah seorang daripada mereka sambil menggeleng gelengkan kepala.

"Sakit tua Tok Ma tu.... "Jawab yang lain.

"Taola sakit tua, tapi kata kata Tok Ma banyak isinya. Dia minta Tuanku bina istana di sebuah hutan berhampiran anak sungai. Nama tempat tu Pulau Laut. Tuanku turutkan sahaja kehendak Tok Ma.... " Cerita Salah seorang daripada mereka.

"Selepas dibina, tiada siapa pula yang nak duduk di situ. Habis hulubalang dan dayang istana di hantar. Tapi Tok Ma cuma beritahu warisnya, anak cucunya akan tinggal di situ... "Sambung wanita yang lain pula.

"Siapa waris Tok Ma... bukankah Tok Ma tiada cucu. Suaminya yang pertama sudah lama meninggal. Khabarnya ghaib selepas selesai di kapankan. Anak dan menantunya telah mati di bunuh sewaktu mereka menaiki kapal laut ke sini. Cucunya hilang di dalam hutan tebal...... "cerita mereka lagi.

Masing masing menggelengkan kepala dengan sikap pelik Tok Ma. Tetapi Tuanku begitu taat dan menghormati Tok Ma. Tuanku juga begitu sayangkan Tok Ma. Seluruh istana menghormati Tok Ma, kerabat tertua hilir negeri itu.

Mereka tidak menganggap Tok Ma sakit. Mereka tidak menganggap Tok Ma nyanyuk. Tok Ma adalah kerabat tertua di hilir negeri. Tok Ma banyak mengubati keluarga istana yang sakit. Hanya dengan memberi air, keluarga di raja di situ sihat. Segalanya dengan izin Allah.Semua dengan berkat doa dan usaha Tok Ma. Jadi Tuanku begitu menyayangi Tok Ma. Walaupun Tok Ma hidup sebatang kara, halaman istana kayunya dipenuhi dengan orang ramai.

Tok Ma terbaring di atas tikar mengkuang berlapik kain batik lepas. Dia tidak mahu tilam yang empuk. Dia tidak mahu katil yang mewah berukir ukir. Dia tidak mahu dilayan gah. Cukuplah baginya tikar pembaringan dan bantal kekabu biasa untuk dirinya beristirehat. Tok Ma dihormati kerana sikap zuhudnya. Dia ahli kerabat DiRaja dan orang tertua negeri, tetapi dia tidak pernah menunjukkan keluasaannya. Dia kelihatan sungguh tenang dengan kehidupan yang serba sederhana. Jika orang yang tidak mengenalinya, datang ke istana kayu itu, pasti mereka tidak akan menyangka Tok Ma adalah kerabat DiRaja Tertua negeri itu. Dia hanya berkain batik, berbaju kurung dan bersanggul minangkabau di kepala.Jalannya sedikit tertunduk ke tanah. Bibirnya sentiasa mengukir senyuman walau hidupnya hanya sebatangkara.

Budi luhur keluarga Tok Ma dikenang Tuanku. Ketika Istana Kayu Tok Ma berada di hilir negeri, Tok Ma tinggal seorang diri. Tuanku tidak sanggup berulang alik menziarahi Tok Ma kerana terlalu jauh jarak istana kayu Tok Ma dengan istana tuanku. Tuanku di hulu, Tok Ma di hilir. Lalu kerana risaukan Tok Ma, tuanku mengarahkan orang orangnya membawa istana kayu Tok Ma ke hulu negeri. Tok Ma tidak mahu. Dia sayangkan tanah keluarganya. Tanah kelahiran milik keluarganya. Tetapi tuanku risaukan Tok Ma sakit bersendirian di dalam tanah hilir negeri milik keluarga Tok Ma itu. Tuanku tidak mahu terjadi sesuatu kepada Tok Ma saat baginda jauh berada di hulu negeri. Akhirnya seluruh panglima negeri dikumpulkan untuk membawa istana kayu Tok Ma ke hulu negeri. Saat itulah tuanku dan seluruh panglima negeri mengetahui istana kayu milik keluarga Tok Ma tidak menggunakan paku. Istana itu dibina hanya menggunakan ukiran dan tanggam. Tuanku juga berasa takjub dengan kelainan istana kayu milik Tok Ma. Senibina yang di buat benar benar seperti bukan kemahiran manusia biasa. Bagaimana cara ia di potong dengan begitu halus dan indah. Malah ukirannya begitu tepat diantara satu sama lain. Seluruh Panglima negeri berasa risau andai mereka menceraikan kayu istana Tok Ma itu. Mereka tidak dapat memasangnya semula.


Kerisauan itu diutarakan ketua Panglima negeri kepada tuanku. Mereka tidak yakin dapat memasang istana tuanku kembali setelah diceraikan dari binaan asalnya. Lalu tuanku bertemu Tok Ma untuk membuat keputusan.

"Tok Ma, Ku ada masalah sikit" Tuanku merapati telinga Tok Ma saat kerabat tertua itu menyedari kehadiran cucundanya.

"Ada apa Ku? "Nafas Tok Ma lemah. Tersekat sekat di kerongkongnya.
"Istana kayu Tok Ma"
"Kenapa dengan 'Kemuning Kekal'..?"
"Panglima negeri khuatir tidak dapat memasang istana kayu Tok Ma. Buatannya tidak terjangkau oleh akal fikiran mereka" Tuanku serba salah. Dia tahu, Tok Ma mengharap istana kayu itu bersama dirinya.Ia hajat Tok Ma sejak dia di bawa ke istana Raja Muda Hilir Negeri.

Tuanku terpaksa bersetuju dengan janji Tok Ma. Andai Istana kayu Tok Ma tidak dapat sampai ke hulu negeri, Tok Ma tidak mahu mengikut Tuanku ke sana. Buat sementara terpaksa tuanku menumpangkan Tok Ma di istana Raja Muda hilir negeri. Tuanku tahu, puteranya jarang berada di istana kerana belayar dan berburu. Maka Tok Ma selalu bersendirian di istana Raja Muda Hilir negeri. Tuanku sudah memujuk Tok Ma. Tetapi Tok Ma degil. Dia mahu istana kayunya sampai dahulu baru dia menuruti.

"Ku... "panggil Tok Ma. Dia tersenyum lemah.
"Ya Tok Ma" Tuanku menatap wajah Tok Ma. Hatinya sayu melihat Tok Ma.
"Namanya 'Kemuning Kekal'..bukan istana kayu.. "Ujar Tok Ma tersenyum.
"Maaf Tok Ma. Ku tidak tahu" jawab Tuanku. Walau tuanku seorang sultan, dia hormat kepada Tok Ma sebagai orang tua. Walau dia berkuasa, dia tunduk pada Tok Ma sebagai orang tua. Tuanku Raja yang rendah hati. Tuanku raja yang menambat hati Tok Ma. Sayang.... Tuanku juga tidak punya waris sendiri. Puteranya adalah anak angkat. Tetapi Tuanku dan Tok Ma sahaja yang mengetahui rahsia itu. Permaisurinya tidak dapat melahirkan anak lagi. Jika diketahui rakyat, negeri akan berpecah belah. Sultan tidak berwaris akan putus pemerintahan. Negeri akan huru hara. Jadi Tok Ma menasihati Tuanku mengambil anak angkat. Syaratnya Raja Muda tuanku harus dikahwinkan dengan waris Tok Ma. Tetapi Tok Ma tidak punya waris. Tuanku berasa sungguh pelik. Tok Ma menjelaskan pada tuanku dia ada waris seorang puteri.Namun Tuanku tidak pernah melihat puteri itu datang menziarahi Tok Ma sejak Tok Ma sakit.

"Ku.... "Tok memegang bahu tuanku.
"Ada apa Tok Ma? " tuanku tersenyum menggenggam tangan Tok Ma.
" Pindahkan Kemuning Kekal dengan segera.Tok tiada waktu lagi. Sudah terlihat Suami Tok Ma melambai" ucap Tok Ma. Hancur luluh hati tuanku mendengar kata kata Tok Ma.

" Tapi bagaimana Tok Ma. Ku tidak tahu jika Panglima mampu memasang Kemuning Kekal. Siapakah gerangannya yang membina Kemuning Kekal? Cuba Tok Ma beritahu Ku, mungkin dia dapat membantu Panglima negeri" Pujuk Tuanku sambil mengusap tangan Tok Ma.

"Mereka tidak dapat dilihat dengan mata kasar, Ku. Tapi kalau Ku mahu meminta pertolongan mereka kita terpaksa menurut syarat mereka" balas Tok Ma terbatuk batuk.

"Apakah syaratnya, Tok Ma. Ku boleh bayar berapa sahaja jika mereka mahu" tuanku bersungguh. Tok Ma tersenyum kelat.

"Syaratnya seluruh kerabat diRaja hulu tidak boleh minum air di hilir negeri sehingga waris Tok Ma berkahwin dengan Raja Muda di hilir negeri" Terang Tok Ma. Tuanku terkejut.Bermakna Raja Muda Hilir negeri terpaksa berpindah ke hulu. Maka akan kosonglah istana hilir negeri. Maka tiada lagilah Raja Di hilir negeri. Tuanku memandang Tok Ma. Hatinya sayu.

"Kerana Tok Ma, Ku bersetuju. Tetapi bilakah waris Tok Ma akan dikahwinkan dengan Raja Muda Dihilir? Ku tidak kenal puteri yang Tok Ma sering sebutkan ini" balas Tuanku.

"Itulah Tok meminta tuanku membina istana di Pulau Laut. Tidak lama lagi puteri itu akan lahir di sana" Terang Tok Ma terbatuk batuk.

"Ku tidak faham, Tok Ma. Siapa yang akan melahirkan puteri itu. Kerabat kita semua di sini. Mengapa pula ada di pulau laut" Tuanku mula musykil.

"Tok Ma tiada jawapan untuk itu, Ku. Istana di Pulau Laut itu milik waris Tok Ma. Janganlah diabaikan. Jika puteri itu tidak berkahwin dengan Raja Muda di Hilir, amanah ini tidak sampai. Kerabat tuanku akan gila jika terminum air dihilir. Sehinggalah seluruh keturunan puteri itu bersatu dengan kerabat tuanku, barulah segala janji ini tertunai" Pesan Tok Ma. Tuanku mula berfikir. Kata kata Tok Ma membuat tuanku resah. Maka seluruh kerabat tuanku yang berada dihilir negeri telah dipindahkan tuanku ke hulu negeri. Mereka tidak boleh pulang lagi ke hilir negeri.

Akhirnya istana kayu Tok Ma dapat di bina di hulu negeri. Mereka mengangkut ceraian kayu istana Tok Ma menaiki kapal. Keesokan harinya istana Tok Ma telah siap berdiri megah di pinggir bukit, berhampiran istana tuanku. Siapakah yang membina istana itu tiada seorang pun yang tahu kecuali Tok Ma dan tuanku. Kerabat tuanku dan rakyat berhampiran menjadi riuh akan berita pelik itu. Mana tidaknya, sebuah istana kayu telah terbina siap di subuh hari apabila mereka ingin turun ke sungai.Namun rahsia itu tuanku simpan dengan baik. Tuanku sudah mengeluarkan perintah kerabatnya tidak diizinkan ke hilir negeri.Lalu seluruh kerabat akur dengan perintah tuanku.

Tok Ma semakin tenat. Segala wasiat dan pesanannya telah disampaikan kepada tuanku. Kini sudah bertahun berlalu, tuanku masih tidak bertemu dengan puteri waris Tok Ma. Orang ramai sudah memenuhi ruang istana. Ada yang menziarah Tok Ma di istana kayunya. Dan ada yang datang untuk bertemu tuanku. Saudagar seluruh negeri juga datang singgah di istana kayu Tok Ma. Mereka lebih tertarik melihat istana Tok Ma yang menjadi terkenal sejak peristiwa ia terbina sendiri di pinggir sungai itu. Pelbagai orang datang mengambil peluang untuk melihat dari dekat istana kayu Tok Ma. Namun di balik pintu istana besar, tuanku mundar mandir kegelisahan kerana peristiwa seorang kerabatnya tiba tiba mengamuk di pekan sari. Setelah ditangkap dan diikat, bendahara istana memberitahu tuanku, kerabatnya itu telah hilang akal. Apabila diselidik, rupanya kerabat tuanku baru pulang dari berburu di Pulau laut. Dia telah tidur di pulau laut bersama kawan kawannya sambil membakar daging kijang dipinggir sungai. Selepas makan dan minum, dia menjadi hilang akal. Tuanku mula tidak sedap hati. Kata kata Tok Ma bermain di fikirannya. Disebalik jendela istana, tuanku mengintip orang ramai yang tidak putus putus menziarahi Tok Ma.
Kemuning Kekal tersergam indah menjadi tumpuan seluruh saudagar luar negeri. Tapi tuanku dan Tok Ma sahaja yang mengetahui rahsia dan janji tentang Kemuning Kekal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience