INDEED 01 | Malam

Romance Series 6216

"Indeed, he's the perfect creature ever."

SEBUAH teksi yang kunaiki berhenti di tepi jalan, dekat dengan sebuah pusat beli-belah yang kuagak terkenal di kawasan ini. Suasana agak sunyi namun sekelilingnya cerah dengan suluhan lampu jalan yang bersusun di sepanjang jalan tar; menerangi alam yang sudah melabuhkan tirai malamnya.

"Cik, betul ke nak berhenti di sini?" Seorang lelaki berumur separuh abad berkalih memandangku yang duduk di tempat duduk penumpang belakang. Dialah yang memandu teksi dari jalan besar sampai ke sini.

"Err... ya." Aku jawab bersama anggukan sekali. Acah yakin walaupun jantungku sendiri berdebar-debar risau.

Bila sudah keluar dari kampung halaman sendiri, keselamatan tak lagi terjamin. Apa-apa boleh berlaku. Tambahan pula, aku tak berapa tahu selok-belok di negeri ini.

"Betul ni? Saya turunkan cik di sini ya?" Lagi sekali pak cik pemandu tadi bertanya. Dia pun naik risau nak meninggalkan gadis berbaju kurung lusuh ini. Sudahlah waktu malam.

"Ya. Terima kasih, pak cik." Aku mengucapkan penghargaan seraya menghulurkan sejumlah wang bagi membayar tambang perkhidmatannya.

Saat sebelah kakiku sudah menapak keluar dari kereta Saga itu, seruan pak cik pemandu tadi menjedakan langkahku.

"Err... cik. Hati-hati ya? Malam-malam ni, saya risau apa-apa jadi pada cik."

Senyuman nipis kulayangkan kepadanya lantas kuteruskan semula langkahanku. Pintu dihempas perlahan dan tak tunggu lama, teksi itu sudah menderum pergi.

Mataku memandang sekeliling dan meneliti bangunan besar yang tersergam indah itu. Masih banyak kereta-kereta bersusun di tempat parkir biarpun jam sudah pun menunjukkan pukul 1 pagi.

Lumrah kota.

Beg baju hitam berjenama murah itu dikelekku dan aku berjalan masuk ke dalam pusat beli-belah. Ada baiknya aku mengisi perut dulu sebelum mula mencari tempat tinggal untuk diinap semalaman. Lagipun perutku tak berisi sejak petang tadi; waktuku keluar dari kampung halaman.

---

   NAFAS berat kuhela perlahan. Pinggan yang sudah kosong itu ditolak dan sisa-sisa makanan dikutip masuk ke dalam pinggan kotor tadi. Minuman yang terhidang kusedut laju.

Sesaat aku terbatuk-batuk teruk sampai hidungku memerah bersama mata yang berair. Terkejut dengan ledakan gas daripada minumanku.

"Air apa ni?" Gumamku perlahan.

Aku mengisi perut dengan ayam KFC lantaran cuma itu yang kunampak dan untungnya, francais makanan itu bekerja 24 jam sehari. Air gas itu pun kuperoleh melalui tempahan set tadi. Si lelaki pelayan ada bertanya sama ada aku mahu menukar minuman atau tak namun kupilih tidak. Manalah tahu air gas!

Cawan kertas itu kutolak ke tengah meja. Tak berselera lagi untuk kuhabiskan. Terbelit usus minum air bersoda lantaran aku tak biasa.

Tiba-tiba baru aku teringat yang aku masih belum membuat sebarang tempahan inapan. Ya Allah!

Macam mana ni? Aku tak tahu bagaimana mahu mencari inapan lantaran telefon bimbit yang kupakai cumalah Nokia tekan-tekan. Tak boleh nak mengGoogle.

Dahi kutepuk perlahan; sebal dengan diriku yang tak berfikir lebih awal sebelum datang ke sini.

Saudara-mara?

Tiada. Aku tiada saudara-mara yang tinggal di negeri ini. Bibir bawah kugigit perlahan. Resah bila memikirkan di mana aku mahu bermalam.

"Apehal kau cerdik sangat oi?" Tangan kanan memangku wajah sementara anak mataku bergerak liar memerhati para pekerja francais ini bekerja. Fikiranku pula ligat bekerja mencari jalan keluar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience