PROLOG

Romance Series 6216

"Indeed, he's the perfect creature ever."

   BEG baju sudah pun aku zipkan selepas selesai mengisinya dengan segala barang keperluan. Maklumat yang diperlukan juga telah dikumpulkan dalam satu fail. Semuanya telah tersedia.

Cukup dan sempurna namun cuma satu sahaja yang masih belum ada. Aku belum mendapat restu abah. Haih. Penat aku memujuk, tak juga jalan.

"Tak payahlah pergi, kak." Abah menghalang.

Dari dulu lagi, abah selalu menjaga diriku bagai menatang minyak yang penuh. Siapa kawan-kawanku, keadaan tempat belajar, keputusan peperiksaan, semuanya abah ambil tahu. Abah akan memastikan anak-anaknya dapat yang terbaik.

Tahap jagaan abah itu sampaikan aku meminta izin untuk membawa motor pun, ayah tak izinkan. Kata abah, abah tak mahu aku terjatuh sedangkan jatuh motor itu perkara biasa.

Abah bukan jenis yang akan menyatakan risaunya tapi abah takkan izinkan anak-anaknya pergi jauh daripadanya.

Kontra benar sikapnya dengan mak. Mak pula jenis yang suka mendidik anak-anak cara orang terdahulu. Lebih cepat matang dan boleh berdikari.

Pelik kan? Tetapi memang ada dan itulah mak dan abahku.

"Bah, kakak pergi ni nak mencari kerja. Nak sara adik-adik, tolong abah. Lagipun kita kena berusaha untuk pulihkan mata abah."

Aku tahu apalah sangat nilai gaji yang abah perolehi daripada pekerjaannya sebagai guru sekolah rendah? Nak membayar yuran sekolah menengah adik-adikku, nak menanggung kos aku belajar di universiti lagi.

Tak banyak. Itu pun digagahkan juga dengan bantuan mak yang menjual kuih-muih di gerai Pak Abu. Kalau tak, memang tak merasalah kami sekeluarga dapat kekal menetap di rumah teres ini.

Disebabkan itulah aku nekad berhenti belajar. Cukuplah takat diploma. Aku akan mencari kerja.

"Izinkan jelah, bang. Dia pun bukan kecil lagi. Dah nak kena belajar cara hidup dengan orang ramai." Mak menegur.

Ada betulnya juga teguran mak. Disebabkan terlalu dimanjakan oleh abah, aku jadi seorang yang pemalu dan tak yakin dengan diri sendiri.

Aku tak reti bergaul dengan orang ramai lantaran teman-temanku tak ramai. Itu pun selepas 'ditapis' oleh abah. Mujurlah masuk universiti, 'tapisan' abah sedikit longgar. Dapatlah aku berkawan dengan seorang dua berlainan jantina.

Sampai masa untuk aku menghadap dunia luar. Sampai masa untuk aku keluar daripada 'kepompong' buatan abah.

Mata beningku terarah kepada abah yang duduk santai di sofa ruang tamu, menanti restu abah. Lambat-lambat abah mengangguk dengan keluhan lemah.

Aku tahu abah terpaksa.

Share this novel

Cikbungawangi Cikbungawangi
2020-07-30 02:41:21 

Kenapa lama x update?? ☹️


NovelPlus Premium

The best ads free experience