BAB 7

Drama Completed 445

IBU diam. Dia juga. Soalan tadi dibiarkan tak bersambut. Entah apa
yang patut dia jawab, dia tak tahu. Andra suka dia, itu satu pengakuan
yang langsung tak mengejutkan. Dah dapat jangka pun. Dan kerisauan ibu
juga buat dia langsung kehilangan kata.
“Andra tu anak orang senang, Ana. Dia tak sesuai untuk Ana...” Tangan
dibasuh. Dah siap basuh semua bekas buat berniaga.
Ana pandang ibu. “Ana tahu, ibu. Sebab tu Ana cakap Ana suka dia
sebagai kawan je. Lagipun, entah berapa lama lagi kami boleh berkawan,
kan?” soal Ana lebih pada diri sendiri.
Dia pandang ibu dan senyum. Telapak tanan ibu naik menyentuh bahunya.
Diusap lembut. “Setiap saat itu milik Allah, Ana. Kita hanya perlu
gunakan dengan baik. Moga kita tak menjadi manusia yang rugi,” nasihat
ibu agar anak mengerti.
Kepala Ana jatuh. Tapi, hatinya juga mula terasa rindu pada lelaki
itu. Lelaki yang saban masa menemaninya berniaga jika ibu tiada. Hari
ke hari melalui Ramadan bersama biarpun hanya untuk sejam dua, dia
rasakan waktu itu terlalu bermakna. Bagai mahu diminta moga saat itu
terhenti buat selamanya. Biar abadi di atas sekeping kanvas, moga ada
kenangan dan memori indah bila waktu kembali berdetik.
Ana pandang wajah dua orang adik yang lena. Terasa belas. Ibu sudah
banyak berhempas-pulas, dan berkorban jiwa raga untuk dia. Segalanya. Hingga ada masa keperluan adik beradik lain terabai. Sudah lama keluarga memikirkan tentangnya dan sampai masa dia memikirkan tentang keluarga. Tapi kehadiran jejaka bernama Andra benar-benar buat kehidupannya, jiwa dan raganya tak keruan.
Segala sesuatu itu bersebab dan Andra boleh jadi sebab untuk dia merasa
hati berbunga buat seketika. Dia pandang langit. Nampak kelam. Boleh
jadi nak hujan. Kata-kata Andra menyerang kepala. Andra yang bagai
tak kenal erti putus asa.
“Saya suka awak lebih daripada suka, Ayana ...”
Ana tergelak halus. “Ayat awak pelik. Macam awak...” Tawanya
bersambung. Tapi, wajah Andra kelam.
“Saya cintakan awak, Ayana . Cinta awak kerana Allah telah tiupkan
rasa cinta tu dalam hati saya, hanya untuk awak...”
Mata Ana tak berkelip. Dia kaku sendiri. Tak jadi dia nak mengemas
barang petang semalam. Sudahlah hari ini habis agak lewat. Nampak gaya
tak sempat nak berbuka dengan ibu.
Liur ditelan berkali-kali. Ana pandang Andra di sisi. “Cinta saya tak
akan bagi awak kebahagian, Andra ...” Lembut Ana menolak. Dia larikan
pandangan.
“Tapi, saya cinta awak untuk kita sama-sama mencintai Pencipta Cinta,
Ayana . Saya tak tahu nak kata apa tapi jujurnya, saya ikhlas...”
“Keikhlasan itu ibarat seekor semut hitam di atas batu yang hitam di
bawah malam yang pekat kelam, Andra ,” selar Ana. Walaupun dia nampak
kesungguhan Andra tapi dia tak boleh nak rosakkan bahagia Andra .
“Kalau gitu, izinkan saya buktikan...” Jiwa Andra bergelodak tiba-tiba.
Dia lelaki yang dikurniakan satu rasa ingin mencintai dan dicintai dan
dia tak malu nak mengaku dia mahu mereka sama-sama mencari pencipta
cinta. Sebelum ini dia kerap dengan urusan sendiri namun cinta fitrah
itu hadir tiba-tiba dalam waktu dia sendiri tak duga.
“Lepas raya kita kahwin terus. Masa tu, saya buktikan betapa ikhlasnya
saya...”
“Awak akan menderita, Andra ...” Ya, seperti arwah ayah dan ibu serta
adik-adik saya pernah menderita. Malah masih menderita. Hati Ana ingin
bersuara tapi tertahan dalam dada.
“Awak tak cinta saya?”
“Cinta saya pada Tuhan melebihi segalanya...”
“Dan bawa saya bersama awak dalam mencintai Tuhan, Ayana ...” balas
Andra laju.
Ana terdiam. Kaku dibuatnya. Di tengah kekalutan, azan Maghrib
berkumandang. Dia bagai tersedar. Cepat-cepat dia mencapai bekas kurma
dan botol minuman. Sebiji disua pada Andra dan sebiji disuap ke mulut.
“Kita berbuka dulu...” Sungguh dia malu lepas daripada berbicara tentang
ini. Dia tak mampu.
Andra senyum. “Sekarang kat sini. Tahun depan, insyaALLAH dalam rumah
kita, berdua. Dan andai ada rezeki, bertiga berempat berlima malah
sedozen pun...” Andra kenyit mata. Dia sua kurma dengan senang hati.
Sedangkan pandangan mata Ana sedang berkaca-kaca.
“Siapa semua tu?”
“Khalifah-khalifah kita. InsyaALLAH...”
Hati Ana terasa nak ketawa akibat rasa bahagia tapi kenapa juring
matanya basah dengan airmata?
“Ana cinta dia?” Soalan ibu menyentak lamunan.
Cepat-cepat Ana geleng. “Ana ni hidup hanya untuk ibu, adik-adik dan
Tuhan semata-mata, ibu...”
“Betul tu. Sejak saat itu lagi yang Ana cakap. Tapi, bila difikirkan
balik Allah masih sayangkan Ana. Dia nak Ana bahagia. Bahagia dengan
cinta dan lelaki bergelar suami. Sebagai ibu, ibu tak patut nafikan
jodoh yang sedang hadir dalam diri anak ibu. Cuma kerisauan ibu
melebihi segalanya. Ibu risau penerimaan Andra dan keluarganya. Ibu
risaukan Ana sendiri...”
“Ibu...” Ana cantas suara ibu. “...jangan cakap hal ni lagi. Ana baru
25 tahun, bu. Andra tu yang kena kahwin cepat dah 30 tahun. Jangan
risaulah. Jodoh bukan untuk kami. Cukuplah dia bantu Ana masa ibu tak
sihat...” pujuk Ana dalam senyuman. Moga ada balasan dan jodoh yang
lebih baik buat Andra .
Puan Shikin angguk. Dia nampak cinta yang menyala dalam mata anaknya
tapi malap tak beberapa lama.
Tuhan... biarkan dia bahagia selama mana Kau izinkannya. Telapak tangan
diraup ke wajah dan dia berlalu meninggalkan Ana sendiri memerhatikan
langit yang kian kelam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience