BAB 1

Drama Completed 445

GEBAR ditarik menutup seluruh tubuh. Suara mummy langsung tak bagi
kesan malah tak ubah seakan alunan biola yang mengasyikkan hingga dia
kembali terlena.
“Bangunlah, Andra !” Mummy geleng kepala tak puas hati. Rasa nak
disimbah air tapi sisa sabarnya masih ada. Dah menipis dan sedikit lagi
pasti koyak. “Andra tak bangun nanti, mummy simbah air!”
“Yalah...” Andra memisat mata. Pedihnya nak angkat kelopak mata.
Semalam dahlah balik lewat. Tiba-tiba bos panggil masuk kerja lewat
malam sebab ada kes runtuhan jalan dekat Jalan Imbi. Rasa nak menangis
bila berpanas dalam bulan Ramadan ni.
Kaki maju ke bilik air tapi terhenti bila suara rengekan anak bujang
menyapa telinga. Terus berpaling dengan senyuman puas hati tapi wajah
anak kelat tak berperisa.
“Payah betul kalau mummy kejut bangun. Macam mana nak kahwin kalau
kemain liat nak bangkit ni...” Mummy terus membebel. Yalah, dah 30
tahun tapi masih membujang, masih melepak dan buang masa dengan
kawan-kawan yang lain. Padahal ada antaranya dah kahwin.
Andra sengih. Kepala tak gatal digaru. Sebut pasal kahwin, mata layu
menjadi segar. Bagai dititis eye-mo. “Ala, nanti dah kahwin lagi
senang bangkit sebab yang di sisi kejutkan...” Loyar buruk!
“Iyalah tu...” Mummy mencebek lebar. Anak lelakinya, ada saja
jawapan. Tak pernah tak kalah. “...Patutnya Andra yang kejutkan isteri
bangkit solat segala. Andra bakal jadi ketua keluarga...”
“Andra tahu... tapi tak jadi lagi. Sekarang ni...” Dia mengesot
mendekati mummy. Dipeluk pinggang mummy erat. Itulah rutin setiap pagi
bila mummy kejutkan dengan bebelan. “...Andra anak mummy. Andra ada
mummy je. Mummylah kejutkan dulu. Apa salahnya, kan?” Serentak itu
dia mendongak. Sengih dengan mata yang kembali terasa berat. Macam
ada magnet berlainan kutub pada kelopak matanya.
“Erm...” Mummy hilang kata-kata bila dibeli dengan ayat manis anak.
Kepala Andra diusap lembut. “Dah, pergi gosok gigi cuci muka. Dah nak
habis waktu sahur ni. Rugi tak dapat pahala...,” suruh mummy dan Andra
hanya angguk.
Terus berlalu ke bilik air. Penat bagaimanapun, dia tak akan lepaskan
waktu bersahur. Untuk tenaga di siang hari dan untuk keberkatan serta
tak nak lepaskan peluang melakukan yang sunat sebelum azan Subuh
berkumandang.
“Ni mummy nak tanya...” Suasana sepi di meja makan dipecahkan dengan
suara mummy. “Andra bila lagi nak berdua. Makan berdua, puasa berdua,
raya berdua. Ada rezeki insyaALLAH bertiga pulak?”
Aiseh... soalan mummy buat buat selera padam. Dia pandang sardin yang
tergolek dalam pinggan. Hidangan dia senang. Telur dadar dan masak
sardin dah cukup. Dah cukup berselera.
“Mummy tanya pagi-pagi ni, otak tepulah, mummy. Tak ada jawapan...”
Andra sengih dan terus suapkan nasi ke mulut.
“Andra tu tak nak usaha gamaknya,” tepis mummy. “Gamaknya sampai tutup
mata pun mummy tak merasa ada menantu. Dahlah mummy ada Andra sorang
je. Hai...” Saja buat-buat mengeluh.
“Alaa....” Ini yang dia lemah ni bila mummy mengeluh. “Jodoh tak
sampai lagi, mummy...”
“Doalah lagi...”
Andra senyum senget. Tipis tapi cukup bermakna. Memang dia kurang
meminta akan urusan jodoh kerana padanya jodoh akan datang sendiri.
Lagipun, rezeki dalam bentuk lain banyak yang dianugerahkan. Lagipun,
dia dah letih mencari. Ada yang cantik tapi tak menjentik hati. Ada
yang sopan tapi tak terlastik jiwanya. Dah tu macam mana?!
“Bulan puasa inilah nak doa apa saja, banyak-banyak. Sebab doa-doa
adalah sangat mustajab. Nak-nak sebelum waktu berbuka tu. Sebelum
berbuka tu, tadah tangan – mohon pada Allah moga dipercepatkan pertemuan
jodoh. Ini, Andra yang tak nak kot. Sebab tu Allah tak bagi. Allah
bagi ni selari dengan kesungguhan hamba-hambaNYA meminta. Kalau tak
minta, tak bersungguh tu...”
Dah, mummy dah mula tazkirah sahur. Andra lepaskan tawa kecil. Dia
suapkan lagi makanan.
“Jodohkan Allah dah tentukan sejak azali...”
“Tapi, kena usaha. Lepas tu berdoa dan tawakal. Bukan menanti. Kalau
Andra perempuan itu lain cerita. Tapi lelaki. Ikut sunnah Rasullullah
memanglah baginda dipinang oleh Saidatina Khadijah tapi masyarakat
sekarang tak macam tu. Lelaki mesti pinang perempuan. Andra kenalah
usaha. Atau nak mummy carikan?”
“Oh, tidak...” Laju Andra geleng kepala dengan cadangan mummy. Dia
bukan tak tahu taste mummy. Mesti ustazah sedangkan dia hanya dambakan
wanita yang boleh damaikan resah hati dan batinnya biarpun sekadar
wanita biasa. Janji punyai iman dan agama biar mereka sama-sama usaha
dalam mencari jalan ke syurga. Kerana dia tahu dia tak sehebat mana
untuk dapatkan gadis yang hebat.
“Andra cari sendirilah. Nanti Andra cari dekat bazaar Ramadan. Musim
sekarang ramai anak dara dekat sana...” Dia gelak berdekah-dekah dapat
kenakan mummy.
Muncung mummy keluar dua inci. Ada budak nak kena cubit ni. Mata mummy
mencerlung tajam. “Kalau yang kualiti dijamin, tak apalah jumpa dekat
mana-mana pun. Kalau tidak...” Mummy bangkit. Dah siap makan.
“...nauzubillah...”
Bibir Andra lebar dengan senyuman. Lucu pagi-pagi bersembang urusan
jodoh. Ya, dia akui. Dia dah agak tua untuk menjadi bujang. Tiga
puluh tahun dikira terlalu tua dalam kaum kerabatnya bila masih
membujang kerana rata-rata sepupu sepapat umur sepertinya dah ada dua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience