BAB 3

Drama Completed 445

TAK banyak juadah. Tapi, bolehlah untuk menampung pendapatan harian.
Semalam pelanggan tak ramai. Rezeki ada tapi tak banyak. Hari ini, dia
masak sikit je. Risau membazir. Ini pun separuh dah disedekahkan ke
masjid.
“Apron mana?”
Ana pandang ibu yang menegur. Dia sengih. Terus dicapai apron dan
dipakai kemas. Dah sedia nak berniaga.
“Harap hari ni habis semua makan, kan bu?” Dalam hati, kecewa juga tapi
dia tahu ibu lebih lagi kecewa. Masak dengan penuh ikhlas untuk mencari
rezeki buat keluarga tapi nyata, Tuhan masih tak makbulkan lagi lantas
mereka perlu lebih gigih berusaha.
“InsyaALLAH. Kalau kata tak habis jugak, kita simpan dalam peti untuk
kita berbuka dan sahur...” balas ibu lembut.
Ana angguk. Dia melemparkan pandangan ke sekeliling. Setiap gerai
meriah dengan pelanggan tapi gerai mereka, masih tak ada. Padahal
masakan ibu sedap dan harga pun berpatutan.
Allah... Ya Razzak. Engkau pemberi rezeki. Engkau menentukannya sejak
azali. Dan, kami berusaha, lantas kepada Engkau kami bertawakal. Jika
tidak buatku, cukuplah buat ibu. Hati Ana berdoa bersungguh-sungguh.
Dia pandang wajah ibu. Nampak peluh kecil merenik di dahi lantas dia
mendekati dan dilap perlahan.
Puan Syikin senyum tipis. Senyuman lelah. “Terima kasih...”
Ana angguk tapi tak sempat bersuara, ada suara menegur. Terus dia
berpaling dan berdiri mendekati gerai.
“Assalamualaikum. Nak beli apa ya, encik?” soal Ana lembut.
Mata lelaki itu merenung Ana dua saat sebelum jatuh pada bekas makanan.
Ada lauk-pauk dan juga kuih. Dia senyum memandang kuih tersebut. Dah
lama tak jumpa. Boleh jadi dah tak ramai orang nak buat tapi kat sini
ada.
“Ini sardin gulung, ya?”
“Ya...” Ana angguk. “Nak ke?”
Lelaki itu angguk. “Bagi semua...” Rasanya tak banyak mana. Dalam 20
je pun. sekali dia hadap, boleh habis.
“Eh... tak banyak ke?” Ana kerut kening tapi dicapai plastik dan
penyepit. Alang-alang orang nak, jangan dipersoalkan. “Ini memang
sedap. InsyaALLAH. Kalau rasa tak sedap, boleh datang esok. Jaminan
wang dikembalikan,” sambung Ana.
Lelaki tadi kerut kening. Dia pandang kawan yang sedang mengangkat
kening. Boleh tahan petahnya. Ada lucu dalam kata-kata. Wajah pun
boleh buat orang terpaku beberapa saat merenung.
Dia sengih sendiri. Tunduk menjaga pandangan. Dada dia berdebar
tiba-tiba. Terus dilekapkan telapak tangan di situ. Kening sedikit
berkerut. Dia angkat mata. Gadis itu senyum lagi. Tipis tapi cukup
manis. Diakah?
“Kalau kata penjual yang comel kata sedap, haruslah sedap...” Lelaki
itu sekadar mengoyak senyuman tipis. Mengusik. Buat Ana kerut kening
sambil mengerling ibunya.
Bungkusan bertukar tangan. Duit juga. Tapi dek kerana rasa debar tak
sudah, dia berpaling dan berlalu. Ana pandang ibu terkebil-kebil. Tak
sempat dihulur duit baki. Ibu juga kerut dahi. Tajam sangat ke aku
renung budak tu? “Ana, pergi pulang duit orang...” arah Puan Shikin
dan Ana tak berkata apa, terus berlari mendapatkan pelanggan tadi.
“Awak, ni duit baki...”
Lelaki itu berhenti melangkah. Dia berpaling dan wajah putih itu senyum
sambil menghulurkan not berwarna hijau muda. “Ibu tak nak kami ambik
duit macam ni. Nah...” dihulur lagi tapi mata lelaki itu hanya
merenungnya saja.
Ditengah ramai-ramai kenapa terasa heningnya hati? Bibirnya terkatup
rapat. Tubuhnya kaku mengeras. Matanya yang jarang berkedip tapi anak
mata itu kian tajam merenung gadis polos berbaju kurung dan selendang
melilit kepala.
“Ambiklah awak. Nanti ibu saya bising...” Ana masih tak putus asa
menyuruh. “Lagipun, saya nak balik ke gerai ni. Kesian ibu sorang...”
Dia berkalih dan nampak pelanggan agak ramai.
Melihatkan lelaki ini masih kaku, Ana terus memasukkan duit tersebut
dalam poket baju dan berlari laju ke gerai. Mahu dipandang belakang
sekali lagi tapi ditahan niat hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience