BAB 11

Drama Completed 445

SEHARI hari berbaki. Mummy nampak makin resah. Ana juga dia tak
temui. Hari ini raya dan esok mereka akan disatukan. Segalanya telah
siap serba-serbi dan mengikut kehendak bakal isteri, segalanya adalah
seada saja. Majlis akad nikah yang akan diadakan di dalam masjid dan
dihadiri oleh teman-teman rapat saja. Sedikit majlis kesyukuran dan
tahlil. Sepasang pakaian pengantin berona putih mutiara dan sebentuk
cincin. Itupun cincin daripada jari mummy khas buat menantu tersayang.
Andra bukan tak mampu tapi itu hajat Ana dan keluarganya. Apa yang
penting adalah majlis akad. Dia dekati mummy yang sedang menilik
pakaian akad nikah miliknya setelah mereka balik daripada beraya di
rumah Ana.
“Tadi, Ana tak ada dekat rumah. Dia pergi mana, ya?” soal Andra dan
duduk di sisi mummy.
“Dia ke rumah saudara kan, ibu dia bagitahu...”
Andra angguk. “Pelik pulak sebab yang lain ada tapi lepas tu Andra
call, adik dia kata ibu dia pergi jenguk Ana. Ana pergi mana
sebenarnya? Jangan dia lari hari nak nikah sudah. Seram bila memikir,
mummy...”
Puan Anaili buat muka. “Cakap tu doa, tahu. Doa yang baik-baik je...”
Tapi, dia sendiri tak mampu nak memikir yang baik-baik saja. Rasa kejam
pula dia pada anak sendiri tapi, dia juga kasihan melihat kesungguhan
Andra dan ketulusan hati Ana.
“Andra dah lama gila rasa tak tengok Ana. Sejak Andra cakap Andra nak
pinang dia tu, terus tak nampak batang hidup. Malu sungguh dia, kan
mummy?” Wajah Andra terhias dengan senyuman.
Mummy angguk pasrah. “Dia memang budak baik. Mummy harap dia...” Tak
sempat meneruskan kata, telefon rumah berdering. Baru nak bangkit, Andra
melarang. Dia meluru memegang gagang. Seperti bulan jatuh ke riba,
suara Ana memberi salam.
Lemah.
Lelah.
“Awak okey?” tanya Andra risau.
“InsyaALLAH. Awak okey?”
“Berdebar...”
Ana gelak.
“Awak dekat mana? Saya pergi beraya pun awak tak ada ni...” Ayat kecewa.
Ana gelak lagi. “Saya ada je selagi tak dijemput untuk
dikembalikan...” Terus dia ketawa tapi Andra dah kerut kening.
“Awak okey kan, Ayana ?”
Suasana sepi. Soalan Andra dibiarkan tergantung beberapa saat sebelum
dia menjawab. “Andra , kalau saya menipu awak, buat awak sedih dan
kecewa, marah dan menderita, boleh ke awak maafkan saya?”
DUP!!! Jantung Andra bekerja lebih masa. Apa Ana tanya ni? “Awak
bukan nak batalkan majlis kita, kan?”
“Tak...” Penafian Ana buat Andra lega tapi tak lama. “...saya Cuma
harap masa tu menyebelahi kita, Andra . Saya Cuma harap saya ada waktu
yang cukup untuk bahagiakan awak. Untuk abadikan memori kita bersama
biarpun seketika...” Kata-kata Ana terhenti. Terhenti bersama talian
yang mati.
Andra cuba menelefon kembali tapi talian tak bersambung. Dia berpaling
dan nyata, mummy sedang mendengar dengan mata yang berair.
“Mummy ada sorok apa-apa?”
Airmata mummy jatuh. “Ana dekat hospital, kan? Dia sedang berusaha
untuk hidup, kan?”
“Hah?” Mata Andra berair. Wajah dia berkerut sana-sini. “Ana sakit?”
Mummy angguk. “Mummy minta maaf Andra . Sebab tu mummy kata tanya pada
Allah kerana segala jawapan ada pada-Nya. Jika jawapannya tak memihak
pada Andra , memang Allah nak jodohkan Andra dengan orang lain yang lebih
baik tapi bila Andra dan Ana sendiri kata jawapannya adalah kamu berdua,
boleh jadi Allah pilih Andra untuk bahagiakan Ana biarpun seketika...”
jawab mummy dengan airmata kian bertali arus.
Allahu... Andra terduduk di atas permaidani. Melutut dan meraup
wajah. “Gamaknya, sebab inilah Ana pernah menafi cinta dia pada Andra
dulu. Sebab inilah ibu Ana berat hati nak terima pinangan Andra dan
sebab inilah, Andra dah dua agak lama tak jumpa Ana dan sebab inilah Ana
tak ada dekat rumah sekarang...”
Airmata rasa bergantungan di birai mata. Jika airmatanya menitis
sekarang, dia tak malu. Malah dia rasa mahu meraung tapi dia masih
punyai iman. Pada Allah disandarkan segalanya. Berharap pada ketabahan
dalam menghadapi ketentuan.
“Kenapalah Andra baru tahu...” Dia mengeluh lebih pada diri sendiri.
Tidak salah mummy atau sesiapa saja Cuma ralat itu tetap ada sebagai
menusia biasa.
“Mummy minta maaf, Andra . Ini permintaan Ana. Dia yakin dia mampu
berdiri sehingga kamu berdua jadi suami isteri tapi nyata, dia makin
lemah setelah penat bertarung dengan sakit kanser tulang dia tu...”
terang mummy. “Dia dah penat nak jalani rawatan. Dia dah tak bermaya.
Dia berjuang setiap saat hidupnya tapi jika Allah lebih sayangkan Ana,
mana mungkin kita mempersoal?”
Andra angguk. Rasa bagai dihempap langit. Rasa hilang daya untuk dia
berdiri. Patutnya Ana nampak pucat setiap kali. Namun, digagahkan kaki
untuk bangkit. Dipegang tangan mummy. Aidilfitri ini adalah aidilfitri
berdarah rasanya.
“Kita cari Ana...”
“Dia tak nak. Dia dah pesan dekat mummy. Dia tak nak Andra tengok dia
macam tu. Dia nak Andra tengok dia sebagai pengantin yang berseri. Dia
kata, Andra kena sabar tunggu esok...”
Mendengarkan kata-kata mummy, Andra longlai lagi. “Allah... kenapa
buat saya macam ni, Ayana ? Kenapa?” Setitis airmatanya gugur jua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience