BAB 5

Drama Completed 445

“ASSALAMUALAIKUM...” Tangan diangkat separuh. Tanda menyapa.
Ana kerut kening. Setelah itu barulah dia senyum dan menjawab salam.
Seperti biasa, pelanggan pertamanya. Pelanggan yang sama.
“Awal hari ni?” soal Ana lembut. Tangannya masih ligat mengemas apa
yang perlu.
Andra angguk. Dia garu kepala. Tak tahu nak kata apa lagi. “Err...
hari ni awak sorang? Mak awak mana?” Akhirnya, ada topik.
Tanpa memandang, Ana menjawab. “Ibu saya tak sihat. Lagipun, adik
saya tak sekolah hari ni. Jadinya tak ada orang nak jaga adik-adik.
Itu yang saya sorang je...”
“Tak apa ke sorang? Sempat nak buat semua?” soal Andra .
“Eh, sempat. InsyaALLAH. Saya ada dua tangan ni haa. Orang lain pun
dua tangan jugak. Kita semua sama. Malah ada yang lebih malang tak ada
tangan atau tak cukup,” balas Ana. Tapi, renungan lelaki ini langsung
tak patah.
“Ni awak nak beli apa?” Dia dah malas nak biarkan dirinya direnung
lelaki yang dia tak tahu siapa dan apa namanya. “Nasi? Ke sardin
gulung?”
“Err... saya nak beli tapi bukan sekarang.”
Ana kerut kening. “Okey, tak apa...” Nada itu berbaur kecewa. Bukan
rezeki. “Awak pergilah pusing-pusing, kot-kot ada yang sangkut. Boleh
beli. Lepas tu kot teringin nak beli dekat gerai saya, datang balik,”
suruh Ana.
Andra simpan senyum. Dia dekati gerai. Nampak dah siap dan bersedia nak
berniaga. “Saya dah puas pusing tapi akhirnya saya sangkut dekat sini,”
balas Andra penuh makna. “...lagipun, saya nak tolong awak dulu
sekarang. Lepas dah habis tolong saya beli...”
“Hah?” Rahang Ana macam nak tertanggal. Kenal pun tidak, nak tolong?
Dia pandang lelaki itu atas bawah. /Pervert/ ke apa? Ana geleng kepala
laju. “Terima kasih jelah, awak. Saya boleh buat sendiri,” tolak Ana
dan perbualan itu terhenti bila ada beberapa orang pelanggan singgah.
Nyata, Ana tak menang tangan sedangkan Andra masih merenung tingkahnya
yang kalut itu di sisi gerai.
“Dik, cepat sikit...” gesa seorang pelanggan sambil memerhati pada jam.
“Ya, kak...” Ana pandang lelaki itu. Mengerutkan kening dan menggigit
bibir. Bagai menghantar isyarat minta pertolongan. “Tolong awak...”
Andra ukir senyuman sinis. Dia menapak juga duduk di belakang gerai.
Dihulur tangan lantas Ana letak bungkusan lauk di atas tangan. Andra
terus letakkan dalam plastik dan bila Ana bagitahu harga, dia sekarang
mengambil bayaran dan memulangkan baki.
6.30 petang. Pengunjung makin beransur malah hampir kesemua lauk
habis. Ana pandang lelaki yang duduk agak jauh di kirinya.
“Terima kasih, awak...” ucap Ana lembut. Malu pun ada sebab pada
mulanya jual mahal tapi terpaksa minta bantuan saat-saat terdesak.
“Sama-sama,” balas Andra dan dia bangkit. “Saya nak balik dah ni. Ada
apa untuk saya beli lagi?” Matanya memandang. Kesemua bekas hampir
kosong. Dipandang kuih, sardin gulung pun licin.
“Sardin gulung pun dah habis...” Dia pandang gadis ini. Pandangan
kecewa. “Tak apalah. Saya balik dulu. Terima kasih bagi saya tolong
awak,” ucapnya dan saat mahu berlalu, suara gadis itu menyeru.
“Saya yang patut berterima kasih pada awak...” Sengaja dileretkan suara
agar lelaki itu tahu dia mahu tahu namanya.
“Andra ,” sambung Andra tenang.
Ana angguk dan menapak dengan tangan tersorok ke belakang. Dia ukir
senyuman lebar. Nampak manis biarpun sedikit pucat.
“Saya ada upah untuk awak ni, Andra ...”
“Kalau duit...” Kening Andra berkerut.
Pantas Ana geleng. “Duit tak boleh lagi sebab itu hak ibu saya. Saya
pegang amanah je. Nanti lepas saya bagitahu ibu awak tolong, mana upah
ibu bagi, esok saya bagi dekat awak, ya? Tapi ini...” Disuakan plastik
di depan Andra . “...saya tahu awak nak cari ni. saya dah simpan untuk
awak tiga. Harap cukuplah, ya?”
Andra bulat mata. Plastik bertukar tangan. Rasa tersentuh hatinya.
Betapa gadis ini amanah pada pesanan ibu. Tenang dan bersahaja. Betapa
pemberian yang kecil tapi ikhlas itu mampu membuatkan dia terharu.
“Awak buat, ya?”
Ana angguk. “Kalau tak sedap, jaminan wang dikembalikan...” Terus
mereka gelak.
“Nak minta upah satu lagi,” pinta Andra tiba-tiba.
Ana kerut kening. “Apa?”
“Nama awak?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience