BAB 13

Drama Completed 445

WAJAH Ana pucat. Wajah Ana yang comel. Wajah Ana yang mulus. Wajah
Ana yang berseri dengan seri pengantin. Solat sunatnya semalam sedikit
goyah, bimbang Ana rebah tapi syukurlah masih diberi kesempatan hingga
ke subuh hari.
Andra mendekati isterinya. Ramai yang menasihati agar dia membatalkan
pernikahan tapi suara mummy terngiang. Boleh jadi Allah mahu dia
bahagiakan Ana sementara punyai masa. Lantas, mereka di sini.
“Ayana , sikit kejap...” Andra tepuk tilam di sisinya bila Ana baru
keluar daripada bilik air, membersihkan diri. Langkah Ana pun dah tak
seperti biasa.
“Ana bahagia?”
Ana angguk. “Awak?”
“Sangat...” Tanpa silu dipaut tubuh Ana kemas. Bagai tak mahu
dilepaskan lagi.
“Ana ada air wudhuk ni...”
Tapi, Andra tetap buat tak tahu. Dia pun tak mandi lagi. Dibiarkan
Ana mandi dulu setelah melalui malam yang indah bersama. Tanggungjawab
pada Ana buat pertama kalinya dan damainya resah batin selama ini dengan
kehadiran seorang isteri bernama, Ayana .
“Abang nak peluk Ana...” Waktu ini nada suara Andra berubah.
“Ana sayang abang...” Ana membalas pelukan erat. “Tapi, kita adalah
jaminan untuk dikembalikan...” Bahu Andra ditolak lembut.
Mata bertentangan. Semalam dia telah jadikan dirinya benar-benar
bahagia dalam pelukan lelaki ini. Indah dan sedia terakam momen itu
dalam kepala untuk selamanya.
“Ana harap Ana ada jaminan yang cukup jika dikembalikan...” Birai mata
Ana basah.
Airmata Andra sudah jatuh menitis. Dia dah tak malu. Katalah apa saja
tapi dia tak mampu menahan lagi. Airmata dia terlalu menujah gagah.
“Abang...” Andra geleng. Dia tak mampu nak hadapi kehilangan tapi
jika ini ketentuan. “InsyaALLAH, abang doakan moga jaminan kita
mencukupi. Sebab jika kita dah sedia untuk dikembalikan, tiada lagi
jaminan pulangan wang seperti beli kuih. Tak ada lagi jaminan untuk
pulang bernyawa kerana hidup hanya sekali. Kan sayang?”
Kepala Ana jatuh sekali. Andra tanpa silu, memaut tubuh lemahnya
sekali lagi. Di luar sana, suara iqamat beralun indah. Boleh jadi
iqamat terakhir yang dia dengar.
“Ampunkan Ana, abang sebab tak mampu bahagiakan abang...”
“Abang bahagia selama mana Ana bahagia...,” balas Andra . Pelukan
terlerai. Kucupan kudus hinggap tepat di tengah dahi isteri lantas
jatuh ke bibir kering Ana lama dan terlalu lama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience