“Dahlah Zuyyin. Mungkin tak ada jodoh kau dengan dia. Allah sedang mendidik kau untuk menjaga hati.” Secara tidak langsung dia menyelitkan kata-kata nasihat ketika itu.
Sejak kehadiran Kifayah, dia telah banyak mengubah sikapku. Bukan papa dan mama tidak menegurku. Waktu kecil aku diberikan didikan agama secukupnya. Cuma mungkin aku salah memilih kawan.
Dari tingkatan satu, sehingga tingkatan tiga, aku bersekolah agama. Walaupun aku seorang pelajar cemerlang di sekolah, tetapi aku mempunyai masalah disiplin yang teruk.
Sewaktu aku di tingkatan empat, aku merayu pada mama dan papa untuk menukar sekolah, memandangkan sekolah agama tersebut tidak ada aliran sains. Akhirnya mama dan papa bersetuju.
Di tingkatan empat itulah aku mula mengenali Kifayah. Dia tidak bersekolah agama, mahu pun juga mempunyai latar belakang agama. Tetapi dia sangat menjaga dirinya sebagai wanita muslim. Aku menjadi malu dengannya.
Di situ juga, aku mula mengenali Asyraff. Seorang pelajar yang cemerlang, kebanggaan para guru di MRSM Kubang Pasu, Kedah. Dia seorang yang sangat simple, membuatkan aku belajar mencintainya dalam diam.
“Hoi.. Hoi..” Aku tersedar dari lamunan. Kifayah melambai-lambaikan tangannya.
“Kau sempat lagi berangan ea. Ada aku tak dalam tu?” Kifayah membebel. Terkoyak senyumanku.
“Jom kita merayau nak.” Bulat mata Kifayah mendengar cadanganku. Dia memandang jam di pergelangan tangannya.
“Sekarang? Kau mereng? Dah pukul 2 pagi kot.” Balas Kifayah.
“Jomlah…” Rengekku.
“Esok sabtu. Kita overnight kat luar. Pergi pantai.. Eee. Bestnya.” Aku cuba membayangkan deruan ombak yang menenangkan jiwa, dan angin pantai yang menampar lembut wajahku. Membuntang mata Kifayah ketika itu.
“Tak payah nak buat kerja gila tengah-tengah malam buta macam ni. Kalau nak pergi, pagi-pagi esok. Dah siang terang tang-tang. Senang sikit aku nak pantau kau, kot-kot kau nak terjun laut.” Eee. Aku cepuk juga dia ni. Aku tak sebodoh tu lah.
“Ermm.. Zuyyin.. Aku gurau je. Aku tahu sahabat aku ni tak sebodoh macam tu.” Sambung Kifayah bila aku tidak memberi sebarang reaksi. Aku sekadar tersenyum.
Share this novel