Pandanganku kosong tatkala menatap laptop yang berada di hadapanku. Beberapa minit yang lalu aku punyalah teruja saat melihat nama yang tertera pada kiriman emel tersebut namun semua perasaan tadi lenyap sebaik membuka kandungan emel yang dikirimkan.
Berbulan-bulan dia mendiamkan diri, dan ini pengakhirannya?
#Kita putus. Jangan cari saya lagi.
Air mata hanya bertakung di tubir mata ketika itu. Pertama sekali soalan yang menerjah di mindaku, kenapa?
Adakah kerana aku jauh dari matanya, membuatkan dia berpaling tadah? Di mana janjinya ingin menunggu kepulanganku?
Sesak nafasku ketika ini. Sudahlah aku sedang bertarung peperiksaan akhir semester ketika ini.
Akhirnya, air mata yang ku tahan, jatuh. Hancur lumat hatiku ketika ini.
Apa dosaku? Apakah kesalahanku? Dia sudah ada teman baru? Apa kurangnya aku dan dia? Pelbagai persoalan negative muncul ketika ini.
Emel itu ku pandang sepi. Aku mencapai telefonku dan terus mencari sebaris namanya. Aku ingin meminta penjelasan darinya.
“Harap maaf. Talian yang anda hubungi, tiada dalam perkhidmatan” Aku mengetap bibir. Sampai begitu sekali dia membuangku? Kenapa Asyraff? Kenapa?
Aku memanjat katilku. Tidak betah untuk aku meneruskan mengulang kaji pelajaran. Aku memeluk lutut, soalan yang bermain-main di mindaku menyesakkanku. Aku menyembamkan muka ke lutut.
Teresak-esak aku menangis ketika ini. Tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Bukannya dekat untuk aku balik ke Malaysia, semata-mata ingin meminta jawapan darinya.
Pintu bilikku diketuk. Terjengul wajah sahabat baikku sejak dari bangku sekolah. Dia memandangku pelik, dan terus menerpa ke arahku.
“Zuyyin.. Kau okay?” Kelam kabut dia melihat aku menangis. Aku pasti mataku sudah bengkak.
“Zuyyin. Kau kenapa. Hey.. Hey.. Look at me. Kenapa menangis ni?” Kifayah bertanya lembut. Dia memegang daguku ketika aku cuba menundukkan kembali wajahku.
“Asyraff..” Aku hanya mampu menyebut sebaris nama itu.
“Hah.. Asyraff. Kenapa dengan dia?” Tanya Kifayah terus. Bukan aku seorang sahaja, Kifayah juga turut bersahabat baik dengan Asyraff. Wajahnya beriak risau.
“Dia dah tinggalkan…” Belum sempat aku menyambung ayatku, Kifayah terus duduk di sebelahku dan memelukku.
“Innalillah.. Sabar Zuyyin. Sabar.. Aku faham perasaan kau. Kau jangan menangis sampai macam ni. Aku yakin Asyraff tak suka tengok kau menangis begini. Lepaskan dia pergi, semoga dia aman di sana. Aku turut bersimpati apa yang terjadi” Ucap Kifayah lurus sambil berjujuran air mati. Aku mengetap bibir.
Dalam tangisku, aku ingin tergelak melihat reaksi Kifayah yang begitu. Aku menggelengkan kepala menidakkan sangkaannya. Kifayah memandangku pelik.
“Tak. Bukan..” Kifayah yang ketika itu sedang menangis sama, terdiam. Aku rasa kalau dia tahu, mahu air matanya masuk semula ke dalam mata.
“Maksud kau?” Soalnya tidak berpuas hati.
“Kami dah putus…” Kifayah terlopong mendengar jawapan dariku. Dia yang tadinya duduk di sebelahku, bingkas bangun, dan lagaknya kini seperti mahu menyoal siasat aku. Tangannya di silangkan.
Ketika itu air mataku mengalir semula. Mungkin sahaja kerana imanku masih ada dalam jiwa, membuatkan aku tidak bertindak bodoh kerana cinta.
“What the hell of that guy?! Berapa lama kau berkawan dan bercinta dengan dia. Boleh dia minta putus? Apa alasan dia?” Kali ini wajah yang ku lihat sedih sebentar tadi, bertukar garang. Aku terdiam. Alasan??
“Zuyyin. Tell me, apa sebab Asyraff minta putus?” Kifayah mula mengendurkan suara dan bertanya dengan lembut. Aku menggelengkan kepalaku.
Share this novel