BAB 12

Romance Completed 29066

SETELAH jam menunjukkan pukul 2 petang, barulah Nadzmie tersedar. Nadzmie lihat sekelilingnya dan tahulah dia yang dia ada di rumahnya sendiri. Beberapa hari yang lalu, rakan Puan Aida, Puan Hayati terdesak mahu menjual rumahnya. Puan Hayati memerlukan duit bagi membayar hutang suaminya kepada lintah darat. Puan Aida pula segera mencadangkan Nadzmie agar membeli rumah itu dengan membayar tunai. Dan Nadzmie pula, hanya bersetuju dengan idea Puan Aida.

Nadzmie memegang tuala yang terletak elok di dahinya. Kemudian matanya tertancap pada comforter yang membaluti tubuh. “Syiqin!”

“Syiqin!” Nadzmie cuba untuk berlari namun keadaan tubuhnya yang lemah menghalang. Nadzmie rebah tiba-tiba.

Syiqin naik ke tingkat atas bersama dulang yang berisi bubur ayam. Sebaik terpandangkan tubuh Nadzmie, terjerit Syiqin dibuatnya. “Nadzmie! Ya Allah, kenapa dengan awak ni?” Syiqin segera meletak dulangnya ke bawah lalu mendekati Nadzmie. Dengan sepenuh kudrat yang ada, Syiqin membantu Nadzmie untuk berdiri. Perlahan-lahan, Syiqin memapah Nadzmie ke katilnya.

“Saya ingat awak dah takde.” Kata Nadzmie lemah. Syiqin menggeleng perlahan. Mustahil dia akan tinggalkan Nadzmie dalam keadaannya begini. Syiqin mengambil semula dulang tadi lalu diletakkan di atas meja.

Semalam, Nadzmie bertengkar dengan Puan Aida. Nadzmie berkeras mahu batalkan perkahwinan tapi Puan Aida pula memaksanya untuk teruskan jua. Bila sama-sama panas, mulalah Nadzmie mengungkit kisah Puan Aida, Encik Saiful dan Encik Hadi. Sudahnya, Encik Saiful yang jadi penyelamat. Dia suruh Nadzmie keluar untuk tenangkan fikiran, manakala Puan Aida pula disuruh berfikir dengan baik. Sebelum keluar, sempat Nadzmie mencium tangan Puan Aida, meminta maaf kepadanya atas ketelanjuran sikapnya.

“Takkanlah saya nak tinggalkan awak bila awak lemah macam ni.” Jawapan Syiqin buat Nadzmie tersenyum.

“Saya suapkan awak bubur ni. Makan sikit, eh ?”

Seperti anak kecil, Nadzmie sekadar menurut. Dia membuka mulut selepas membaca doa makan. Satu suap.. Dua suap.. Suapan Syiqin dirasakannya penuh kasih sayang.

“Saya takut awak tinggalkan saya.”

“Kenapa pulak saya nak tinggalkan awak?”

“Sebab semalam.” Jawab Nadzmie pendek. Terbantut terus niat Syiqin untuk menyuap Nadzmie. Semalam ? Ya, semalam telah membongkar satu kisah Nadzmie yang tak pernah diduga olehnya.

Baru semalam Syiqin dapat tahu yang Encik Saiful bukanlah bapa kandung Nadzmie, sebaliknya bapa tiri. Dulu, Encik Saiful hanyalah pembantu peribadi keluarga Puan Aida. Di usia muda, Puan Aida bertemu dengan Joe West, atau nama Islamnya Hadi Abdullah. Encik Hadi yang berasal dari United Kingdom tinggal di Malaysia bagi urusan bisnes.

Selepas belasan tahun berkahwin, bapa Puan Aida, merangkap datuk Nadzmie terkena serangan angin ahmar. Waktu itulah perkahwinan Puan Aida dan Encik Hadi diduga. Encik Hadi menggunakan alasan bisnes untuk mengelak dari menjaganya. Mujurlah Encik Saiful ada, dia yang menguruskan makan pakai orang tua itu.

Lama-kelamaan, Puan Aida jatuh hati dengan Encik Saiful yang sememangnya mencintainya. Puan Aida berterus-terang pada Encik Hadi dan minta dilepaskan. Dek kerana egonya yang tewas pada seorang pembantu, Encik Hadi enggan memujuk Puan Aida sama sekali. Dia melafazkan cerai talak satu dan terus pulang ke United Kingdom.

Pada awalnya, hak penjagaan jatuh pada Puan Aida. Nadzmie yang baru berusia 17 tahun pula tidak dapat menerima perubahan hidupnya. Bersama Encik Hadi, hidupnya senang-lenang. Apa sahaja yang dia mahu, pasti Encik Hadi akan tunaikan. Tapi selepas Puan Aida bernikah dengan Encik Saiful, Nadzmie mulai tidak gembira.

Dia mula menyalahkan Encik Saiful dan membenci lelaki itu. Nadzmie merayu kepada Puan Aida, agar membenarkannya ke United Kingdom untuk tinggal bersama Encik Hadi. Kerana kasihnya kepada anak, Puan Aida turutkan. Itupun dengan syarat – Nadzmie mesti selalu berkomunikasi dengannya agar pertalian mereka tidak terputus.

“Mesti awak rasa saya anak derhaka, kan?” tebak Nadzmie rambang.

“Taklah.. Kenapa saya nak fikir macam tu pulak?”

Nadzmie menjawab, “Sebab saya bukannya anak yang baik macam awak..” Sekali lagi tindakan Syiqin terbantut. Anak yang baik? Dia bertanya pada dirinya sendiri.

Kalau dia anak yang baik, dia takkan marah bila ibu bapanya menerima pinangan Puan Aida untuk Laila. Kalau dia anak yang baik, dia takkan menyimpan perasaan pada lelaki yang bakal menjadi abang iparnya. Kalau dia anak yang baik, dia takkan bermalam di rumah lelaki bukan mahramnya. Dan kalau dia anak yang baik, dia takkan mempunyai hasrat untuk merampas Nadzmie dari Laila.

“Saya pun bukannya anak yang baik.” Kata Syiqin dengan air muka yang kelat. Kemudian, Syiqin cuba memaniskan wajahnya. “Awak makanlah dulu. Saya suapkan awak. Sedap tau bubur ni!” Sebab saya buat dengan penuh kasih sayang dan rasa cinta! Ikutkan perasaan, ingin sahaja Syiqin ucapkan ayat terakhir itu tapi dia cepat mengingatkan diri sendiri. Dia telah berjanji dengan seseorang, dan tak mungkin dia akan memungkiri janji itu.

Dengan senang hati, Nadzmie membuka mulutnya lagi. Kalaulah tiap-tiap hari Syiqin menjaganya begini, Nadzmie lebih rela terlantar di atas katil!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience