BAB 3

Romance Completed 13565

Aimani tergesa-gesa memasukkan segala dokumen ke dalam beg sandangnya. Sudahlah dia sudah lambat untuk pulang, dan dia tidak mahu ketinggalan basnya. Jarum jam yang tepat menunjukkan jam lapan malam benar-benar membuatkan jantungnya bekerja over time.

“Aimani, kenapa tak balik lagi ni?” tanya Syakir yang kebetulan mahu mengunci pintu biliknya. Pandangannya kini tertumpu kepada wajah gadis itu.

“Err… dah nak balik dah ni,” terangnya dan cuba untuk melarikan diri. Namun, lengannya dipaut erat oleh lelaki itu. “Awak nak balik naik apa ni? Teksi?” teka Syakir lagi.

Melihat Aimani menganggukkan kepalanya, dia tersenyum nipis. “It’s okay, saya hantar awak balik. Dahlah, jom…”

Mahu atau tidak, terpaksalah dia mengikut segala arahan daripada lelaki itu. Sesekali Aimani menjeling wajah lelaki itu dari tepi, dan dia perasan wajah itu amat putih dan bersih. Rambut Syakir yang dipacakkan itu menyerlahkan lagi ketampanannya sebagai seorang lelaki yang bekerjaya.

“Curi-curi tengok muka saya ke, Aimani?” ujar Syakir tanpa menoleh.

Zupp! Panas muka Aimani dibuatnya. Dia sengaja bernyanyi-nyanyi kecil kerana mahu menutup rasa malu. Aduh, kenapalah aku duk pandang muka dia tu lama sangat? Kan dah kena perli?

Syakir tersenyum manis. Dia kemudian menghampiri seorang lelaki yang agak tua daripadanya. Aimani berlari-lari anak mengejar bossnya yang agak jauh ke hadapan. Kasut tumit tinggi menyukarkan lagi pergerakannya tatkala itu. “Boss!” panggilnya.

Kelihatan mereka berdua sedang berbual-bual dan kening Aimani bertaut untuk seketika. Dia tercungap-cungap berdiri di sisi Syakir. Dalam hati, sudah berbakul-bakul dia merungut kerana lelaki itu meninggalkannya di belakang. Sudahlah hanya tinggal mereka bertiga sahaja di dalam pejabat, kalau apa-apa benda buruk terjadi macam mana?

“Kir dah ambil pekerja baru?”

Gadis itu mendongak kerana dia tahu topik perbualan Syakir dan lelaki tersebut mesti ada kena mengena dengan dirinya.

“Yes, papa. Her name is Alya Aimani…” Syakir memperkenalkan Aimani kepada ‘papa’nya. Aimani hampir-hampir sahaja membulatkan matanya kerana tidak menyangka dapat berjumpa dengan pengurus syarikat itu. Hehe, nak dapatkan autograf boleh tak, Datuk?

Datuk Syuib masih lagi dengan wajah seriusnya. “Really? Setahu papa, bukankah pekerja dalam syarikat kita tak perlukan mana-mana pekerja baharu?” Soalan itu agak menghiris hati kecil Aimani. Syakir yang perasan akan riak muka pekerjanya yang sudah berubah itu cepat-cepat berdehem.

“Papa, kan Kak Min dah pindah ke Johor? Jadi kerja dia diambil alih oleh Aimani…” terangnya.

Datuk Syuib yang seakan-akan baru teringat akan hal itu mengangguk-angguk. “Maafkan saya, saya tak ingat pasal tu. Aimani, saya betul-betul minta maaf.”

Aimani tersenyum hambar. Dia banyak mendiamkan diri apabila mereka berada di dalam lif. Datuk Syuib terpaksa pulang ke rumah, jadi hanya tinggal dia dan Syakir sahaja di tempat letak kereta itu. “Err… boss… saya balik dulu,” ujarnya.

Sekali lagi lengannya dipaut dari belakang. Hish, memaut lengan orang memang kerja boss ke? “Aimani, awak nak pergi mana tu? Kereta saya kan ada dekat sana?” suara Syakir kedengaran di telinganya.

Erk…! Aimani menelan air liurnya. Dia tahu apa maksud Syakir, tetapi dia malu untuk menumpang lelaki itu! Sudahlah itu bossnya, namun boleh pula Syakir menghantar pekerja sepertinya hingga ke rumah? Tak masuk dek akal!

“Emm… saya boleh jalan kaki.”

“Dengan siapa?”

“Dengan… dengan kaki sayalah!” Aimani mengalihkan pandangan terhadap deretan kereta Ferrari yang terparkir di bangunan sebelah. Al-maklum, pejabatnya terletak di sebelah kanan vila bagi jutawan terkenal, jadi tidak hairanlah jika dia terdengar deruman enjin kereta Ferrari setiap pagi.

Syakir tidak membalas, sebaliknya menarik Aimani untuk masuk ke dalam keretanya. Aimani terkedu apabila pintu kereta dibukakan oleh lelaki itu, namun dia tidak berani untuk bersuara. Apa Freya akan cakap kalau dia nampak boyfriend dia berpelakuan sebegini terhadapnya? Dia tidak mahu Freya tersalah anggap, kerana hubungan mereka berdua tidak lebih dari seorang kawan.

Kawan? Sejak bila aku berkawan dengan dia ni? Aimani mengetuk-ngetuk kepalanya, dan seperti biasa Syakir turut sama mengetuk kepala gadis itu.

“Boss!!”

“Apa?” tanya Syakir dengan riak yang selamba.

Muncung Aimani panjang sedepa. Boss ni memang mengidam nak makan selipar Jepun orang ke? “Kan saya dah cakap yang saya tak suka boss ketuk kepala saya! Boss ni, teruklah!” dia menjelirkan lidah. Tangannya mengusap-usap tempat di mana tangan lelaki itu hinggap di kepalanya sebentar tadi.

Syakir tergelak dan dia menjeling memandang wajah merah menyala gadis di sebelahnya. “Kalau awak tak nak saya buat macam tu lagi, awak kena panggil saya Kir!”

“Hah?” Aimani terkebil-kebil memandang sepasang anak mata lelaki itu. “Boss jangan nak main-main dengan sayalah!”

“Siapa cakap saya main-main? I’m serious,” Syakir bersuara tenang. Cermin mata yang tersarung di mukanya makin membuatkan dada Aimani mengikut irama pop yeah yeah betul! Aimani membisu dan membuang pandangannya terhadap lampu-lampu di sepanjang jalan raya. Sesekali dia menggosok-gosokkan tangannya dek sejuk dengan penghawa dingin yang terpasang di dalam kereta itu. Berapa darjah celcius air-cond dia ni?

Jaket hitam yang tiba-tiba disarungkan ke tubuhnya membuatkan gadis itu tersentak. Bebola matanya memerhati segala perlakuan mengejut Syakir yang entah bila memberhentikan kereta di tepi jalan.

“Now, awak dah tak sejuk dah kan?” tanya Syakir lalu meneruskan pemanduan.

“Da.. Dah o.. okey dah,” tergagap-gagap dia mahu menjawab. Ya Allah, kenapalah dia ni buat semua ni? Jangan ada udang di sebalik mi goreng mamak sudahlah…

Lagu Maher Zain yang dimainkan di radio membuatkan senyuman di bibir Aimani semakin lebar. Dia amat meminati Maher Zain kerana lagu-lagu lelaki itu semuanya amat bagus dan sesuai untuk didengari. Lagu ‘I Love You So’ dan ‘Number One For Me’ adalah di antara lagu-lagu yang selalu dimainkan olehnya sebelum masuk tidur.

Tanpa dia sedari, Aimani bernyanyi-nyanyi di dalam kereta. Tangannya sesekali mengikut rentak irama lagu yang didengarinya. Syakir tergeleng-geleng melihat reaksi gadis itu. “Awak suka Maher Zain ke?” Syakir mengajukan soalan.

Aimani tidak menjawab. Dia masih asyik mendengar melodi lagu itu. Lelaki itu terus sahaja menekan punat off dan Aimani berhenti menyanyi.

“Alaa, boss!”

“Awak tak dengar ke apa yang saya cakap tadi?”

“Apa yang boss cakap?”

Syakir menepuk dahi. “Saya tanya, awak suka Maher Zain ke?”

“Taklah, saya tak sukakan dia. Saya suka lagu-lagu dia aje,” nakal Aimani menjawab. Syakir menjelingnya, namun dia masih sempat lagi tersenyum. Syakir… kenapa kau ni selalu je tersenyum macam tu? Aimani menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal kerana suasana sudah bertukar menjadi sepi. Aku tersalah cakap ke tadi?

‘Kreookkk…’ Alamak! Aimani memegang perutnya yang tiba-tiba sahaja berbunyi minta diisi dengan makanan. Dia terlupa untuk mengalas perutnya sebelum pulang. Mana ada kedai makan yang beroperasi pada waktu malam sebegini? Sudahlah tirai malam dibuka, jadi satu-satu tempat yang ada makanan untuk dibedal ialah rumahnya sahaja.

Tawanya ditahan daripada meletus. Syakir meraupkan wajahnya sebelum membelok ke kanan. “Eh, rumah saya dekat sebelah sanalah, boss…” kata Aimani yang sudah mula menghalakan jari telunjuk ke arah kawasan perumahannya. Boss, kalau boss lupa apa kata boss beli GPS? Haha, Alya Aimani, apalah yang kau merepek ni?

“Saya tahu,” jawab lelaki itu.

“Habis tu? Kenapa boss belok kanan?”

“Awak lapar kan?” nakal dia bertanya. Muka Aimani merona merah sebelum dia menggeleng-geleng. “Ma.. mana ada saya laparlah! Tadi, dua pinggan nasi goreng saya hentam dekat restoran!”

“Yang bunyi ‘kreookkk..’ tadi tu apa?”

Aimani mencebik. Kurang asam tul boss ni! Dia mendengus kecil sebelum bersuara, “Yelah, yelah! Saya lapar sebab tadi lupa nak makan, puas hati?”

Senyuman kemenangan terukir di bibir lelaki itu. Dia membelek-belek iPhone kepunyaannya sebelum senyumannya semakin melebar. “Hello, Freya! Awak dah tidur dah ke?”

“Yes, sweetheart. Saya baru aje balik dari kerja. Sekarang ni saya on the way nak makan dekat restoran… Dear, janganlah nak risaukan saya sampai macam tu sekali. I’m okay, lepas ni saya akan terus balik ke rumah… Okay, nite!”

Restoran? Sejak bila aku bersetuju nak makan dengan dia hari ni? Aimani menggelengkan kepalanya laju sebelum memejamkan matanya. Untunglah ada boyfriend yang prihatin macam boss, tapi kenapa macam ada sesuatu yang tak kena dengan Freya tu ya?

Lengannya sekali lagi ditarik oleh Syakir. Mata Aimani terpaku melihat bangunan yang ada di hadapan matanya. “Boss, kata nak pergi restoran?”

“Then?”

“Ini bukannya restoran, tapi ini…” Lidahnya kelu untuk menyambung semula kata-katanya. Sesungguhnya dia berasa janggal untuk makan di hotel mewah sebegitu. Patutnya boss kena bawak Si Freya tu datang ke sini, kenapa bawa aku pula? Ke… boss ni rabun dan ingat yang aku ni Freya? Eh, tapi tadi kan Freya ada call boss? Adus, peningnya!!

Fish and chips dipesan oleh Aimani manakala Syakir hanya mengcopy paste apa yang diorder oleh gadis itu. Apabila Aimani menyedut sedikit air fresh orange, lelaki itu turut minum dan apabila dia menguap, Syakir akan meniru perbuatannya.

“Eee… janganlah buat macam tu, boss! Rimaslah!” adunya.

“Buat apa?”

Eh eh, buat-buat tak tahu pula? Aimani mengetap bibirnya, geram. Dia menendang kaki lelaki itu tanpa dia sedari dan seketika kemudian, dia tergamam. Ops, habislah aku! Berani betul aku tendang kaki boss aku yang baru sahaja aku kenal dalam masa seminggu ni kan? Aimani, kau memang tengah cari pasal…

Tidak seperti boss-boss yang lain, Syakir sempat tergelak lalu menghadiahkan satu pandangan redup untuk gadis itu. Jantung Aimani mulalah memainkan pelbagai jenis rentak, dan dia sengaja bermain-main dengan sudu dan garfu di tangan.

Kedatangan pelayan membuatkan hatinya sedikit lega. Fuh, bolehlah aku melantak! Hehehe, sabar ya perut? Kejap lagi, mesti kau akan jadi full tank mengalahkan tangki minyak di stesen-stesen minyak!

“So, Aimani…”

Aimani sengaja memekakkan telinga. Ah, malas dia mahu melayan kerenah lelaki itu. Namun, disebabkan Syakir banyak berjasa kepadanya, dia mendongak juga setelah memasukkan kentang goreng ke dalam mulut. “Hmm… aha hia..? (Hmm.. apa dia?)”

Tergeleng-geleng Syakir melihat Aimani. “Tsk.. tsk.. tsk.. buruknya rupa kalau bercakap dengan mulut yang penuh macam tu! Ingat tak, tak elok bercakap dengan mulut yang penuh tau!” Dia menghulurkan airnya dan lambat-lambat Aimani menyambut hulurannya.

‘Bukan ke dia yang panggil aku tadi?’ Aimani bermonolog sendirian. “Err… hehehe, sorry boss!”

“Macam-macamlah awak ni,” Syakir menggumam perlahan.

Sapu tangan putih digunakan untuk mengesat mulutnya. Aimani berkira-kira untuk memberitahu Syakir mengenai sesuatu, tetapi dia takut jika soalan ini akan menimbulkan kemarahan di dalam hati lelaki tersebut. Nur sendiri pernah cakap, yang Syakir amat sensitif jika ada orang yang membangkitkan hal teman wanitanya aka Freya.

“Err… boss,” panggil gadis itu. Lelaki itu mendongak, keningnya diangkat sebelah.

“Boss.. boss pernah tak bawa mana-mana perempuan ke tempat-tempat yang macam ni?” tanya Aimani dan menoleh ke kiri dan ke kanan. Iyalah, hotel ini dihias dengan cantik dan agaknya sesuai untuk pasangan kekasih yang sedang berdating bagai tu! Dia… dan boss? Dating? Oh, memang tak logik!

Sudu dan garfu diletakkan di tepi pinggan. “Apa maksud awak, Aimani?”

“Maksud saya, boss pernah tak bawa Freya datang ke sini?”

Ternyata tekaannya betul. Syakir langsung tidak menjawab pertanyaannya yang agak ‘sulit’ seperti soalan sulit yang selalu diajukan di dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM itu. Gadis itu menunduk dan meneguk fresh orange, tidak berani bertentang mata dengan bossnya.

Aimani, kau memang tengah cari pasal dengan boss! Kalau perang dunia III meletus selepas ini, memang masaklah kau!! Hatinya sudah diulit rasa resah. Ya Allah, permudahkanlah urusanku selepas ini…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience