BAB 11

Romance Completed 13246

“Angah, Adik. Mari makan. Adik, tutuplah dulu tv tu kalau ya pun.” Laung Hajah Salmah dari meja makan.

“Kalau tak nak makan, abang boleh tolong makankan.” tambah Amirul memerli adik-adiknya yang masih belum menapak ke meja makan.

“Siapa kata adik tak nak makan. Mesti la nakkk… Uii sedapnya bau. Banyaknya mak masak. Ni mesti nak celebrate sempena adik dapat result hari ni kan, kan?” Aleef menayang gigi sambil menarik kerusi.

“Tak payah nak perasan. Dah la tak dapat straight A’s. Tu lah asyik tengok tv je.” Amirul meluku kepala adik bongsunya. Aleef mengaduh sambil menggosok-gosok kepalanya.

“Alah satu je B. Lagipun adik bukan nak jadi doktor macam abang. Tak ada life.” Ayat terakhir sengaja diperlahankan. Bimbang kepalanya akan mendapat habuan sekali lagi. Namun Amirul masih dapat menangkapnya. Dia mencekik leher Aleef menggunakan lengannya.

“Arghhh. Mak tengok lah abang ni.” Aleef cuba melepaskan diri namun pegangan Amirul kemas. Suka dia membuli adik bongsunya itu.

“Apa di buat adik macam tu, Along?” Hajah Salmah yang sedang menyenduk nasi ke dalam pinggan hanya mampu menggeleng kepala. Faham benar perangai anak-anak lelakinya.

“Dah la degil, bercakap pandai saja. Nak kena ni.” Aleef masih meronta-ronta minta dilepaskan. Amirul ketawa membuli adiknya.

“Mak, ada lipas besar bawah meja!!” pekik Aqib yang sedang berdiri di belakang ibunya. Reaksi spontan Hajah Salmah yang melatah terus berpaling dan mengetuk kepala anak keduanya itu dengan senduk di tangan. Meledak tawa seluruh isi rumah termasuk Haji Khaidir yang baru menapak ke meja makan. Amirul juga sudah melepaskan Aleef kerana mentertawakan Aqib.

“Kan dah kena. Saja nak kenakan mak, ye? Hajah Salmah mengetap bibir geram. Kedua-dua tangan Aqib memegang kepalanya sambil mulut mengaduh.

“Sedap tak makan senduk?” Haji Khaidir masih bersisa ketawanya. Dia sudah menjangkakan keadaan itu ketika melihat Aqib berjalan perlahan-lahan dan mengisyaratkan supaya diam.

“Mak ni. Kalau ya pun letaklah senduk tu dulu. Benjol kepala Angah.”

“Sudah, duduk. Kita nak makan dah ni.” Hajah Salmah menggosok juga kepala anak bujangnya itu. Tersungging juga ketawa kecilnya melayan perangai anak-anaknya. Aqib yang sedang bercuti semester jarang-jarang ada di rumah.Tapi kalau balik mesti ada saja yang nak dikenakannya.

“Esok, Angah dengan adik jangan pergi mana-mana.” Terhenti suapan dua beradik itu mendengar perintah yang baru diturunkan oleh Amirul.

“Kenapa?” Serentak Aqib dan Aleef bertanya. Mata mereka melekat pada wajah Amirul. Amirul hanya tersenyum lalu meneruskan suapan.

“Kenapa, mak?” Aqib menoleh ke arah ibunya.

“Kenapa, abah?” Aleef memandang bapanya.

“Makan sajalah.” Haji Khaidir memberi kata putus. Senyuman di antara Amirul dengan ibu bapanya berbalas. Menambahkan kerutan di dahi adik-adiknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience