DEBARAN di dada Ammara kian memuncak apabila namanya telah dipanggil untuk sesi temuduga. Ini merupakan temuduga pertama yang dia hadiri sejak tamat pengajian Ijazah Sarjana Mudanya. Walaupun syarikat yang dia mohon ini masih baru bertapak tetapi dia tidak peduli akan hal tersebut kerana yang penting baginya adalah dapat mencari pekerjaan yang halal. Dia mengetuk pintu bilik temuduga. Apabila terdengar kebenaran masuk dilaungkan dari dalam bilik, dengan penuh tertib Ammara membuka pintu bilik temuduga. Setelah dia masuk, pintu ditutupnya semula. Dia bergerak menghampiri sebuah kerusi yang terletak di tengah-tengah bilik tersebut. Tidak jauh dari kerusi itu terdapat sebuah meja panjang yang menempatkan tiga kerusi tetapi hanya dua kerusi berpenghuni. Kerusi di tengah-tengah itu kosong.
“Awak boleh bagi resume dan fail awak pada saya dan awak boleh duduk.” Kata salah seorang penemuduga. Ammara bergerak menghulur resume berserta failnya lalu dia kembali ke kerusi di tengah-tengah dan dia duduk dengan penuh tertib.
“Saya Aina dari bahagian HR, yang itu Rahmat dari bahagian teknikal dan bos, Encik Azzam tengah jawab call sekejap dalam bilik tu. Bos kami memang akan join sesi temuduga sebab dia memang nak dia sendiri terlibat dalam pemilihan staf. Lagi pula syarikat ni baru beroperasi dalam dua tahun jadi Encik Azzam sangat mengambil berat siapa yang akan diambil bekerja. Kita boleh teruskan sesi ni, nanti Encik Azzam akan join.” Kata Aina seraya menuding ke arah sebuah bilik kecil yang tertutup. Ammara hanya mengangguk dan tersenyum bagi menutup debaran. Secara kebetulan, pintu bilik kecil dikuak dan Encik Azzam berjalan mengambil tempat duduk di tempat yang kosong sebentar tadi. Sewaktu hendak duduk, sempat dia pandang calon seterusnya yang akan ditemu duga.
“Okey, kebetulan Encik Azzam pun dah ada ni. Encik Azzam, you nak mulakan dulu ke macam mana?” tanya Aina. Encik Azzam sudah mengangguk dan dia meminta fail Ammara dari Rahmat. Ammara berdebar menanti soalan yang bakal diajukan kepadanya. Sedaya upaya dia cuba mengawal riak muka. Encik Azzam dilihat begitu fokus menyelak helaian demi helaian sijil-sijil yang berada di dalam fail tersebut. Dia berhenti apabila dia tiba di sijil terakhir.
Apa rasionalnya dia letak sijil ni dekat sini? Macam tak relevan je dengan jawatan yang dia minta. Encik Azzam bermonolog sendiri.
“So Ammara , right?” tanya Encik Azzam.
“Yes sir, Ammara .” Jawab Ammara .
“Awak dah kahwin?” tanya Encik Azzam. Ammara tidak begitu terkejut dengan soalan itu kerana memang ada sesetengah majikan yang akan mengambil pekerja yang bujang. Ammara tersenyum segaris dan dengan sopan dia menjawab, “Belum lagi Encik Azzam.”
“Awak dah bertunang?” tanya Encik Azzam lagi.
Okey, kali ini Ammara sedikit terkejut. Dia boleh terima jika majikan mengutamakan untuk pengambil pekerja yang masih bujang tetapi takkanlah sampai bertunang pun tak boleh? Riak mukanya masih terkawal walaupun masih terkejut. “Belum lagi Encik Azzam.” Jawapan yang sama diberikan oleh Ammara .
“Awak ada boyfriend?” tanya Encik Azzam sekali lagi.
Aiseh! Ini sudah lebih. Kalau betul aku ada boyfriend takkan aku tak boleh nak dapat jawatan ni? Ini langgar labour law tak? Mana nak tahu, labour law pun aku tak khatam! Sepatutnya labour law ni kena khatam supaya kita tahu apa hak-hak kita sebagai pekerja.
“Setakat ni saya takde boyfriend dan insya Allah takkan ada boyfriend. Bukan apa Encik Azzam, bila couple ni, kita sebenarnya dah selangkah ke arah zina. Allah dah pesan supaya kita jangan hampiri zina. Kenapa dalam ayat tu Allah sebut jangan hampiri zina bukannya jangan berzina? Sebab zina tu sendiri takkan berlaku dengan sendiri tanpa kita lalui jalan-jalan yang membuatkan kita menghampiri zina. Jadi kita perlu kenal pasti jalan yang menuju ke arah zina dan jalan tu sendiri kita kena hindari.” Jawab Ammara . Sempat memberi tazkirah pendek. Geram sebenarnya. Kalau betullah company ni memang tak ambil pekerja yang sudah kahwin, bertunang mahupun ada boyfriend, memang diskriminasi betul! Kalau aku tahu dari awal lagi memang aku tak apply company ni.
Selepas tersedar dengan kemarahan yang mula menyala, Ammara mula beristighfar di dalam hati. Dia cuba menenangkan diri. Tidak mahu api kemarahan terus menyala. Jika dia ikut kemarahan itu nescaya dia telah memberi kemenangan kepada syaitan. Bersangka baik Ammara , bersangka baik. Mungkin ini memang soalan wajib Encik Bos tapi sebenarnya company ni tak kisah nak hire sesiapa. Bukan berdasarkan status perhubungan. Ammara pandang muka Encik Azzam. Riak Encik Bos itu seperti tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. Ataupun Encik Bos tersentap? Tiada langsung senyuman di wajahnya sejak temuduga ini berjalan. Mungkin ini kali pertama kes calon memberi takzirah kepada panel penemuduga.
“Okey, awak berjaya. Bila family saya boleh masuk meminang?” tanya Encik Azzam. Ammara sudah buntang mata mendengar apa yang baru Encik Azzam tuturkan. Apa kaitannya aku berjaya dapat jawatan ni dengan family Encik Bos masuk meminang? Aina dan Rahmat sudah memandang bos mereka dengan pandangan tidak percaya.
“Err, Encik Azzam, maksud encik saya berjaya dapat jawatan ni? Tapi apa kaitan pula dengan masuk meminang?” tanya Ammara lambat-lambat.
“Tak, awak tak dapat jawatan yang awak apply ni tapi awak dapat jawatan sebagai isteri dan ibu kepada bakal anak-anak saya jadinya family saya kenalah pergi meminang awak.” Jawab Encik Azzam tenang. Masih dengan wajah yang langsung tiada senyuman. Aina dan Rahmat yang memandang pelik dirinya tidak dia hiraukan. Ammara sudah menggaru-garu kepalanya yang dilitupi tudung.
“Encik Azzam, saya tanya ni encik jawab dengan jujur ya. Encik Azzam playboy tak?” Meletus tawa Encik Azzam dengan pertanyaan polos dari Ammara itu.
Share this novel