USAI mendirikan fardhu Zohor, mereka semua mula bertolak balik. Sekali lagi Kartika , Ammara dan Masitah bertugas untuk mengedarkan air mineral di dalam bas. Makanan tengah hari sudah mereka nikmati semasa berhenti di air terjun. Walaupun keletihan namun masing-masing masih menunjukkan riak gembira terutamanya anak-anak yang dirai. Lebih gembira lagi apabila setiap kumpulan mendapat hadiah semasa sedikit aktiviti dijalankan di kawasan air terjun.
Ammara mengedarkan air mineral dan dia tidak lupa untuk senyum terutamanya kepada anak-anak yang dirai. Buat ahli kelab dan sukarelawan pula, senyuman serta terima kasih dia ucapkan semasa menghulur air mineral kerana dia sememangnya berterima kasih dengan kerjasama yang semua berikan. Program ini nescaya tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan pengorbanan semua.
Dean memandang setiap gerak-geri Ammara . Dia tahu bahawa Ammara masih tidak perasan akan dirinya yang sedang dipandang. Dean tersenyum. Tetapi hanya di dalam hati. Cukuplah senyumannya sewaktu pagi tadi tidak diendahkan oleh Ammara . Jika diingat kembali, dia sememangnya banyak tersenyum kepada Ammara tetapi tidak satu pun senyumannya berbalas. Susah betul nak senyum minah tu. Ataupun dengan aku je dia susah nak senyum?
Apabila tiba giliran Dean, dia cepat-cepat membuang pandang ke luar bas. Dia tahu sangat yang Ammara pasti akan mengabaikannya dan terus pulang ke tempat duduknya seperti pagi tadi. Sedang dia khusyuk memandang ke luar bas, dia dapat rasakan yang bahunya disentuh sesuatu. Dia menoleh ke arah bahunya. Sebotol air mineral. Alah Mas ni tak payahlah susah-susah nak bagi air mineral pada aku, yang dapat masa lunch tadi pun belum habis lagi. Dicapainya juga air mineral yang dihulurkan itu.
“Thanks for joining us. Really appreciate it.”
Suara tu! Aku salah dengar ke? Tak mungkinlah, itu memang suara dia. Dean memandang gerangan pemberi air mineral sebentar tadi. Dia terkesima. Tidak percaya yang Ammara baru sahaja menghulur sebotol air mineral kepadanya. Oh man, terlepas peluang! Kalau aku tahulah Ammara yang akan bagi mineral water ni tadi aku dah tatap puas-puas muka dia. Ingat peluang keemasan macam ni selalu muncul ke? Seribu tahun lagi pun belum tentu muncul tahu!
“My pleasure.” ujar Dean. Ammara senyum segaris dan berpusing menuju ke tempat duduknya. Dean sudah tersenyum lebar.
Ammara yang sudah duduk di tempatnya melepaskan nafas lega. Kurang sedikit rasa bersalahnya selepas mengucapkan terima kasih kepada Dean sebentar tadi.
Share this novel