BAB 10

Horror & Thriller Completed 427

SAHIR meletakkan kain lembap di dahi Alex . Panas dalam tidak surut
sejak beberapa jam yang lalu. Anak saudaranya kelihatan lemah. Namun
wajahnya yang pucat tadi sudah kemerah-merahan.

Alex membuka mata perlahan-lahan. Wajah Sahir menjengah ke jendela
mata. Pantas perasaan lega menyelinap dalam diri. Alex bingkas duduk.

“Bila Pak Long sampai sini?” soal Alex .

“Pukul dua pagi. Dah okey?”

Alex mengangguk. “Pak Long ke sini ada apa hal?”

“Jenguk kamulah….” Sahir membetulkan kopiah di kepalanya.

“Pak Long macam tahu yang Alex perlukan pertolongan.” Alex tersenyum
kelat. Terimbas segala memori beberapa jam yang lalu.

Alex menoleh ke kanan dan ke kiri. Ada beberapa orang ahli keluarga
terdekat datang menjeguknya. Mereka juga tinggal di Australia.

Telinganya menangkap bunyi orang mengaji.

“Siapa baca surah yassin, Pak Long?”

“Adalah orang pandai yang pak cik kenal. Pak Long bawa ke sini. Pagarkan
rumah kamu ni supaya kamu tak diganggu lagi,” jelas Sahir.

Jam dinding berbunyi. Pukul empat pagi.

Pandangan matanya beralih ke arah jendela apabila langsir yang
beralun-alun ditiup angin, menarik perhatiannya. Udara sejuk yang masuk
ke dalam rumah amat menyamankan. Namun, ketika jiwanya kembali tenang,
tiba-tiba saja Aileen muncul di depan jendela. Alex menjerit sekuat
hati. Adakah roh Aileen mahu menghantuinya? Adakah Aileen kembali ke rumah
ini untuk hidup bersamanya seperti biasa?

Sahir cuba menenangkan Alex . Aileen masuk ke dalam rumah. Dia menerpa
ke arah Alex .

“Kau ni kenapa? Terperanjat aku!”

Alex menjerit lagi.

“Hantu! Hantu!”

Sahir dan Aileen saling berpandangan. Aileen yang menyelamatkannya
dipanggil hantu. Malam tadi, Aileen tersedar dari tidur selepas terdengar
Alex menjerit. Suaranya jelas dari luar rumah. Aileen menjengah ke luar
jendela dan ternampak Alex berlari dari rumah jiran sebelah. Aileen
bergegas turun dari tingkat dua untuk mendapatkan Alex . Bila dia
membuka pintu, Alex terlentang di serambi rumah. Mungkin tersandung
tangga dan jatuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience