BAB 1

Horror & Thriller Completed 427

Monte Cristo, New South Wales, Australia

Angin sepoi-sepoi bahasa membawa daun-daun kering hingga berterbangan di
sekitar halaman. Lagaan dedaun di lantai tar menghasilkan bunyi desiran,
memecahkan kesunyian ladang yang dikongsi lima buah rumah besar. Suram,
sepi… bagaikan tiada aktiviti sedangkan masing-masing menyedari
kewujudan jiran tetangga. Cuma halaman rumah Alex dan Aileen kelihatan
kehijauan kerana usaha Alex mencantikkan halaman rumah dengan menanam
beberapa batas pokok anggur organik yang hampir matang buahnya. Namun
tetap dipengaruhi kebisuan di ladang itu.

Sudah setahun Alex menetap di situ. Manakala Aileen sudah bermastautin
selama setahun setengah. Tidak pernah walau sekali mereka melihat muka
jiran secara berdepan. Pulang saja dari kerja, mereka bergegas masuk ke
rumah. Pernah cuba mendekati jiran tetapi tiada tindak balas. Akhirnya
mereka meneruskan kehidupan seolah-olah hanya mereka yang wujud.

Begitulah keadaan ladang terpencil yang dikongsi lima keluarga.
Masing-masing hidup dalam dunia sendiri.

Jam berbunyi hingga 12 kali, menandakan tepat jam 12 malam. Rumah
sebelah direnung lama. Dari celah jendela mereka berdua tidak melepaskan
walau sesaat waima mengerlipkan mata. Alex dan Aileen tidak bergerak
walau sedikit. Menarik nafas pun dikawal sedaya upaya.

“Sama macam semalam.” Aileen mengerling Alex .

“Cahaya lampu rumah mereka malap. Tak bayar bil elektrik agaknya.
Mungkin sebab tu mereka berjimat cermat. Lampu tertentu saja dipasang,”
fikir Aileen .

“Kau kena ingat sikit, rumah yang kau tengah pandang ni, bukan rumah
murah. Rumah orang kaya. Manalah tahu kan, mungkin tuan rumah suka
suasana suram,” fikir Alex .

Alex melepaskan langsir yang dipegangnya dari tadi. Dia berlalu ke
katil dan berbaringan. Mengantuk.

Seminggu yang lalu, setiap hari rumah mereka menerima kad jemputan dari
penghantar surat ke majlis makan malam jirannya. Hal itu menimbulkan
tanda tanya kerana selama tempoh mereka berjiran, sekalipun mereka tidak
pernah bercakap. Apa yang kelakar ialah, jemputan menggunakan penghantar
surat. Walhal mereka dipisahkan dengan jarak 30 langkah. Jiran mereka
boleh menjemput menggunakan mulut saja. Tiada pagar yang boleh
menghadkan pergerakkan. Nah, telefon pun ada. Alex dan Aileen pernah
meninggalkan kad perniagaan di kotak surat mereka.

“Memang pelik. Jemputan ni dah masuk kali ketujuh. Tak akanlah setiap
hari mereka ajak jiran makan malam. Apa pendapat kau?” soal Aileen .

Alex menarik selimut. Pertanyaan Aileen tidak dijawab. Barangkali
terlampau mengantuk hingga dia tidak mampu berfikir lagi. Esok, buah
anggurnya yang tidak seberapa itu akan dipetik. Hajatnya mahu dijadikan
jem dan jus. Kemudian, produknya akan disedekahkan kepada rakan-rakan.
Itulah aktivitinya pada musim panas kali ini. Dia bercuti selama
seminggu hanya untuk membelek pokok anggur. Hobi barunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience