Bab 3

Romance Series 17875

BAB 3

"Dian dah sampai... Abang, cepat. Dian dah sampai. Mak cik rindukan Dian," ujar Puan Khadijah penuh teruja melihat Dian sudah kembali ke rumah. Lama anak gadis itu menyepi sejak dihantar ke universiti. Selalunya suara saja jadi pengubat rindu. Itu pun jika Dian menjawab panggilan telefonnya.

Tubuh kurus Dian dipeluk erat. Lama batang tubuh gadis itu dipeluknya. Rindu benar Puan Khadijah dengan Dian.

"Mak cik sihat? Dian pun rindu sangat dengan mak cik," kata Dian tersenyum sambil mencium tangan tua itu. Lega sungguh hatinya melihat wajah Puan Khadijah. Wanita separuh abad inilah tempat dia menumpang kasih seorang emak. Emaknya sendiri sudah lama meninggal dunia sejak Dian berusia lima tahun lagi. Emaknya meninggal ketika melahirkan adiknya. Akibat pertumpahan darah yang serius, emaknya berada dalam kritikal. Bayi dalam kandungannya juga tidak dapat diselamatkan.

"Mak cik sihat. Cuma rindukan Dian. Kenapa Dian dah lama tak balik ke rumah? Tak nak jenguk makcik dan pak cik lagi?" tanya Puan Khadijah dengan wajah sedih. Suaminya Tuan Amar datang perlahan-lahan dari belakang merapati dua wanita ini.

Persoalan itu tadi menyentuh hati Dian dan menyebabkan Dian berasa bersalah kerana cuba mengelak dari pasangan suami isteri ini.

"Dian ok? Baguslah kamu dah balik. Mak cik ni asyik tanya bila agaknya dia boleh berjumpa dengan kamu. Sampai naik letih pak cik menjawab dan bagi alasan. Dah tentu-tentu kamu sibuk di kampus kan?" ujar Tuan Amar seraya mengajak Dian dan isterinya duduk di ruang tamu untuk bersembang dan tidak tercegat di depan pintu masuk rumah mereka. Dian hanya tersenyum kelat dan mengangguk kepala. Tidak tahu mahu katakan ya atau tidak. Kata-kata Tuan Amar tadi bagai ditembak kepadanya. Lengan Dian ditarik Puan Khadijah agar duduk di sebelahnya.

"Dian dah makan? Mak cik tahu kamu nak balik jadi mak cik dah siap-siap masak lauk kegemaran kamu. Apa lagi kalau bukan ikan pari masak asam pedas. Tentu kamu suka kan? Kalau kamu nak, kita boleh makan sekarang. Mak cik dah siap hidangkan di meja makan," kata Puan Khadijah laju seperti keretapi tanpa stesen.

" Eh, tak apa-apa mak cik. Saya pun baru je sampai. Tak kan nak makan terus. Kita duduk sini dulu, sembang-sembang. Mesti mak cik ada banyak perkara nak cakap dengan saya. Tadi kan mak cik kata rindu kat saya," dalihnya supaya wanita tua itu tidak bersusah-payah untuk melayannya makan. Dian segan.

"Tak pe, bukan kerja susah pun. Senang je. Jomlah kita makan," ajak Puan Khadijah lagi.

"Tak apa lah mak cik. Saya pun kenyang lagi ni. Kejap lagi kita makan sama-sama ya. Saya nak tengok wajah mak cik dan pak cik puas-puas dulu," pujuk Dian. tangannya memaut bahu Puan Khadijah. Senang sekali hati wanita itu melihat Dian masih mesra seperti dahulu. Disangkanya gadis muda ini berkecil hati hingga tidak mahu pulang menjenguknya lagi. Tuan Amar tersenyum melihat gelagat kedua-duanya.

"Kamu tahu tak sebab apa, mak cik dan pak cik panggil kamu balik?" tanya Puan Khadijah. Dian menggeleng-gelengkan kepala.

Puan Khadijah memandang suaminya sambil tersenyum penuh makna. Seperti ada hal yang ingin diluahkan. Dian memandang suami isteri itu bersilih ganti.

"Mak cik dah pernah tanya kan jika Dian mahu menjadi menantu mak cik?" ujar Puan Khadijah. Dian terdiam. Dalam fikirannya dia sudah terperangkap. Pasti mak cik mahu meminta jawapan darinya saat itu juga. Sudahnya Dian memandang Tuan Amar dan tunduk memandang karpet.

"Kamu ada fikirkannya?" tanya Tuan Amar pula.

"Saya tak tahu nak jawab apa mak cik, pak cik," jawab Dian. Jawapannya itu membuatkan Puan Khadijah dan Tuan Amar ketawa.

"Kamu malu ya? Tak apa, kami faham," ujar Tuan Amar.

"Sebenarnya, kami berharap sangat Dian akan terima anak lelaki kami, Badrul Hisham. Kami pun dah bertanya kepada dia dan Badrul sudah pun menyerahkannya kepada kami. Jika kamu setuju, dia pun akan setuju juga," kata Puan Khadijah gembira dan berharap ada jawapan gembira juga dari Dian. Dian masih membatu. Terkejut juga dia mendengar kata-kata Puan Khadijah tadi. Tak mungkin Badrul setuju menerima dirinya sebagai isteri.

"Saya... saya..." ucap Dian memandang Puan Khadijah.

"Awak ni sayang. Terlalu berterus terang. kan budak ni dah terkejut. Kita bagi dia berehat dulu dan tenangkan fikiran. Lagi pun dia baru sampai tadi. Sudah, Dian naiklah ke bilik. Berehat dulu. nanti kita sambung bersembang lagi," celah Tuan Amar apabila melihat Dian sudah tergagap-gagap mahu memberikan jawpan. Mungkin gadis ini tak terfikir dia akan berkahwin dengan Badrul agaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience