.
Saya telah bercakap dengan seseorang , tiba-tiba ia merajuk . Allah swt telah memberi ilham kepada saya untuk menulis tentang merajuk .
Kita definisikan dulu apa itu merajuk
Merajuk adalah manifestasi daripada perasaan geram , sedih , tidak mahu bercakap , tidak mahu berkawan , emosi tidak stabil . Namun kita bukanlah hendak membincangkan merajuk dari sudut umum tetapi dari sudut kenabian.
Kita singkap balik peristiwa , kisah nabi Yunus a.s merajuk dengan kaumnya dan membawa diri tanpa terlebih dahulu menerima perintah dari Allah swt .
Sebuah negeri yang bernama Ninuni , ada setengah riwayat menyebut ninawa di mana setiap rumah penuh dengan berhala . Hampir setiap penduduk hidup dalam kejahilan , kegelapan dan kesesatan serta jauh dari kebenaran . Kepada orang-orang seperti inilah Nabi Yunus a s diutuskan untuk membawa kaumnya keluar dari kejahilan dan Kegelapan kepada cahaya keimanan kepada Allah swt . Nabi Yunus a s terus mengajak kaumnya meninggalkan sembahan berhala yang diamalkan oleh mereka sejak nenek moyang mereka lagi .
Bukan berbulan-bulan malah bertahun-tahun Nabi Yunus as memujuk dengan lembut dan penuh kesabaran terhadap kaumnya . Ajakan Nabi Yunus itu tidak diendahkan oleh kaumnya sehingga Nabi Yunus merasa khuatir Allah swt akan menurunkan azab di negeri mereka . Kaumnya yang sombong menjawab Peringatan nabi Yunus as itu dengan berkata ; kami tidak tunduk kepada mu , kami tidak takut dengan seksa Tuhanmu itu , datangkanlah siksa sekiranya engkau memang benar . Nabi Yunus as merasa amat kecewa dan mula merajuk dengan kaumnya lalu bertolak meninggalkan kaum dan kampung halamannya . Nabi Yunus as ingin merantau ke negeri lain dengan hati yang kesal dan putus asa terhadap kaumnya .
Setelah nabi Yunus as meninggalkan kaumnya maka turunlah siksa Allah swt ke atas penduduk negeri yang sombong dan bongkak itu . Pada mulanya hawa panas mula meluap sehingga warna kulit mereka berubah menjadi buruk serta banyak cacat cacatnya . Derita hawa panas semakin meningkat sehingga mereka merasakan benarlah pedih siksaan Itu . Mulai timbul di hati rasa takut dan mulai percaya akan kata-kata Nabi Yunus as .
Mereka mula menjerit-jerit mencari Nabi Yunus as dan ingin bertaubat serta menurut perintah nabi Yunus as .Mereka mula teringat akan azab yang pernah menimpa kaum Nabi Nuh , bangsa add dan Tsamud . Mereka ingin bertaubat , namun tidak ditemui Nabi Yunus as kerana beliau telah pergi meninggalkan kaumnya .
Kepanasan yang melampau menyebabkan ibu ibu sudah tidak pedulikan kepada anak-anak mereka . Binatang ternakan turut merasa kepanasan yang melampau itu . Ketika Itulah mereka rindu kepada nabi Yunus as . Mereka memohon ampun dan bertaubat bersungguh-sungguh dengan sehebat-hebatnya rasa penyesalan kerana tidak mengikuti apa yang di dakwah oleh nabi Yunus as . Taubat yang sangat ikhlas lahir dari hati yang benar-benar insaf akan dosa dosa dan kesalahan mereka telah diterima Allah swt.
.
Allah telah menghentikan siksaan terhadap kaum Nabi Yunus as . Mereka rindu kepada Nabi Yunus as dan sangat berharap agar Nabi Yunus as kembali kepada mereka . Namun harapan mereka hampa kerana Nabi Yunus as telah meneruskan perjalanan sehingga sampai ke pinggir laut dan menunggu masa untuk menaiki kapal.
Ketika sebuah kapal hampir akan belayar Nabi Yunus as telah menumpang kapal tersebut . Semasa kapal itu berlayar dan ketika betul-betul berada di tengah samudera , datang ombak bergulung-gulung . Bahaya akan menimpa mereka . Tiada cara untuk mengurangi muatan kapal tersebut melainkan membuang barang-barang dalam kapal itu . Namun muatan perlu dibuang lagi . Apa lagi yang ada dalam kapal tersebut melainkan hanya manusia sahaja .
Undian telah dijalankan dan sesiapa yang terkena undian mestilah dilemparkan ke laut untuk mengurangkan muatan kapal . Undian pertama terkena kepada nabi Yunus as . Namun kerana hormatkan kepada nabi Yunus as mereka membuat undian kali kedua . Undian tersebut juga jatuh kepada nabi Yunus as .
Nabi Yunus as telah bersedia untuk dilemparkan ke laut dan merasakan inilah hukuman Allah swt ke atas dirinya kerana telah meninggalkan kaumnya dalam keadaan berputus asa dan berhijrah tanpa terlebih dahulu mendapat perintah dari Allah swt .
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada semua penumpang kapal dengan rasa bersalah Nabi Yunus as telah terjun ke dalam gelombang Samudera yang mengganas itu . Nabi Yunus as merasa sangat menyesal di atas sikap putus asa dirinya terhadap kaumnya .
Semasa Nabi Yunus as melompat ke dalam gelombang Samudera Itulah seekor ikan besar telah menelan Nabi Yunus as .
Nabi Yunus berada dalam kegelapan yang sangat gelap . Gelap perut ikan dan gelap laut yang dalam serta gelap malam . Walaupun begitu Nabi Yunus as tetap redha dan sabar serta tabah dalam menebus dosa-dosa nya .Ia sentiasa membaca doa:-
yang bermaksud ; tidak ada Tuhan selain Engkau Maha suci Allah dan Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri . Doa ini tidak henti-henti dibaca oleh nabi Yunus as menyebabkan ia masih hidup walaupun berada dalam perut ikan selama tiga hari tiga malam . Ada sesetengah riwayat mengatakan 40 hari 40 malam . Dengan rahmat Allah swt ikan yang menelan Nabi Yunus as telah memuntahkannya di tepi pantai . Allah swt telah berfirman dalam surah as-saffat ayat 143 -144 yang bermaksud : Kalaulah bukan kerana Yunus menyebut-nyebut nama Allah sebanyak-banyaknya , nescaya dia akan tetap tinggal di dalam perut ikan itu sampai hari kiamat .
Sesungguhnya beruntunglah manusia yang dalam hidupnya banyak berzikir dan mengingati Allah swt . Allah swt akan memberi jalan keluar dari masalah yang dihadapi .
Cuba lihat ke dalam diri kita , Sejauh manakah pergantungan dan pengharapan kita kepada Allah swt ?
Mohon maaf sekiranya ada kesalahan dan kekurangan dalam tulisan ini.
Ambil iktibar . Jangan selalu merajuk nanti memakan diri .
Wallahu'alam .
Share this novel