chapter 27 | Rasiskah Cinta

Poetry Series 1493

Alhamdulillah dengan limpah kurnia dan rahmat dari Allah Subhanahu Wa Taala yang Maha Pengasih, jumpa lagi walaupun hanya di alam maya , dalam batas waktu yang sangat singkat . Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang mendapat rahmat , petunjuk dan kasih sayang Allah .

Pernah tak kita dapat undangan perkahwinan dan pada kartu tersebut adanya tulisan doa " Berkatilah perkahwinan pasangan ini seperti Engkau berkati cinta Zulaikha dan Yusuf"
Kadang-kadang ada ungkapan jangan ingin orang setampan Yusuf kalau dirimu tidak secantik Zulaikha.

Kenalkah kita siapa Zulaikha itu ? Tidakkan ?Sebab dalam al-quran tidak ada pun orang bernama Zulaikha , yang ada hanya imra'atul Aziz ( isteri al Aziz )

Sebahagian dari kisah-kisah mengenai isteri al-Aziz dan Nabi Yusuf kadang-kadang ada juga dipengaruhi unsur-unsur Israiliat. Namun , mengikut keterangan Buya Yahya kita boleh mengambil kaedah catatan israiliat asalkan ia tidak bercanggah dengan akidah . Maksudnya cerita itu boleh dinukil selagi tidak bercanggah dengan Syariat .

Manakala mengikut keterangan Dr. Danial Zainal Abidin berdasarkan keterangan dari ahli tafsir , isteri al-aziz itu bernama Zulaikha atau Ra'ill dan dalam tulisan saya yang membosankan ini kita letakkan sahaja sebagai Zulaikha.

Siapa sebenarnya Zulaikha ? Mari kita selidiki latar belakang dan peribadi Zulaikha .

Maulana Abdullah Yusuf Ali dalam terjemahan al-quran memetik tulisan karya sastra Zulaikha dan Yusuf oleh Jami r.a ( 817 H -- ( 897) , Zulaikha adalah seorang puteri raja sebuah kerajaan di Barat (maghrib) negeri Mesir . Beliau seorang puteri yang cantik dan menarik . Beliau telah bermimpi bertemu dengan seorang pemuda yang menarik rupa parasnya dan dengan peribadi yang amanah dan mulia . Justeru itu Zulaikha telah jatuh hati kepadanya .

Kemudiannya ia bermimpi lagi bertemu dengan pemuda tersebut tetapi tidak tahu namanya . Namun setelah bermimpi lagi buat kali yang ketiganya , lantas berputik rasa cinta rindu nan rawan sehingga Zulaikha menolak semua pinangan dari putera raja yang lain .

Setelah bapanya mengetahui tentang hal tersebut , bapanya telah mengatur risikan ke negeri Mesir sehingga berlangsungnya majlis pernikahan dengan wazir negeri Mesir .

Setelah berkahwin Zulaikha dapati wazir tersebut ialah al Aziz dan bukannya pemuda seperti dalam mimpinya .
Buat pertama kalinya , hati Zulaikha hancur luluh dan sangat kecewa . Namun ia merasakan seperti ada suara yang berbisik " Benar , ini bukanlah pujaan hasrat hati mu tetapi kamu akan temui kekasihmu melaluinya . Kehormatanmu sebagai perawan akan selamat bila bersamanya . Perlu diingat sejarah Mesir menyebutkan wazir Diraja Mesir adalah seorang yang dikasi , dikehendaki berkhidmat sepenuh masa kepada raja.

Masa terus berlalu sehingga pada suatu hari al-Aziz membawa pulang Yusuf yang dibelinya di pasar . Zulaikha terkejut kerana itulah pemuda yang dikenalinya dalam mimpi.

Benarlah sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh Hahmad , dari Thabit bin Anas yang bermaksud " Yusuf dan ibunya ( isteri al-aziz ) telah diberi oleh Allah swt separuh dari kecantikan dunia "

Kisah Zulaikha (dalam al-quran disebut isteri al-aziz ) dan Yusuf dirakamkan dalam al-quran bermula surah Yusuf ayat 21 sehinggalah Yusuf dipenjarakan pada ayat 36 kerana fitnah kononnya Yusof menggoda Zulaikha isteri al-aziz .

Bagaimanapun pada ayat 51 Allah berfirman yang bermaksud " isteri al-aziz pun berkata : sekarang ternyatalah kebenaran, akulah yang memujuk Yusuf dan berkehendakkan dirinya dan sesungguhnya Ia adalah dari orang yang benar . Selepas ayat tersebut al-quran tidak menceritakan kesudahan hubungan Zulaikha dan Yusuf ..

Kematangan dan kebijaksanaan seorang wanita diukur melalui bagaimana mereka mampu menyelesaikan perkara yang tidak dapat dicapai dengan akal yang terbatas . Allah Subhanahu Wa Taala telah merakamkan betapa pentingnya wanita mengurus dan memperindahkan sesuatu perkara biarpun hal-hal itu suatu yang negatif.

Dalam ayat 23 surah Yusuf yang bermaksud : dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya , bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya dan perempuan itu menutup pintu-pintu serta berkata " marilah kepadaku , aku bersedia untuk mu " lalu Yusuf menjawab " aku berlindung kepada Allah dari perbuatan keji itu . Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya . Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya .

Keadaan yang kritikal itu telah berlaku semasa isteri al-aziz berjaya menggoda Yusuf , al Aziz telah pulang dan membuka pintu dan lalu Zulaikha telah menggunakan kebijaksanaannya supaya dia tidak dituduh bersalah . " Dan mereka telah berkejar ke pintu serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang lalu terserempak lah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu , tiba-tiba perempuan itu berkata kepada suaminya : tidak ada balasan bagi orang yang mahu berbuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyeksakan" - ayat 25 surah Yusuf .

Kebijaksanaan Zulaikha telah menyediakan dua pilihan iaitu dipenjarakan atau diazab . Kenapa ia tidak beri pilihan supaya Yusuf dibunuh ? Sebab ia sangat sayang kepada Yusuf yang tampan rupa parasnya .

Kemudian Yusof pula berkata : Dialah yang memujukku berkehendakkan diriku ( suaminya tercengang mendengarnya ) dan Seorang dari keluarga perempuan itu yang berada bersama tampil memberi pendapat dengan berkata : jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu dan menjadilah Yusuf dari orang yang dusta. Surah Yusuf ayat 26 .
" Dan jika baju Yusuf koyak di belakang maka Dialah yang dusta dan Yusuf termasuk orang yang benar" maksud ayat 27 .

Seterusnya ayat 28 bermaksud : maka tatkala suaminya melihat baju Yusuf koyak di belakang lalu ia berkata ( kepada isterinya ) Sesungguhnya peristiwa itu adalah tipu daya mu . Tipu dayamu sungguh besar ( hebat )

Setelah itu , al Aziz memberitahu kepada Yusuf , menerusi ayat 29 yang bermaksud : Wahai Yusuf , Janganlah engkau pedulikan hal ini dan kamu wahai isteriku mintalah keampunan atas dosa-dosa kamu . Kamu sesungguhnya termasuk orang yang berbuat kesalahan.

Peristiwa tersebut telah menggemparkan seluruh wanita wanita Mesir . Sekumpulan wanita Mesir telah mencemuh keadaan isteri al-aziz yang tergoda dengan hamba lelakinya sendiri . Demi menutup malu dan membela diri , Zulaikha telah membuat suatu majlis jamuan di kediamannya , kemudian diberikan sebilah pisau pemotong buah lalu disuruh Yusuf keluar sehingga dilihat oleh wanita-wanita tersebut . Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat ketampanan Yusuf sehingga tidak sedar telah memotong jari mereka sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui ayat 31 surah Yusuf yang bermaksud : Maka apabila Ia ( Zulaikha ) mendengar cacian mereka , dia pun menjemput mereka dan menyediakan jamuan untuk mereka serta memberi kepada setiap orang dari mereka sebilah pisau dan berkatalah ia ( kepada Yusuf ) keluarlah di hadapan mereka , maka ketika mereka melihatnya mereka tercengang melihat kecantikan dan ketampanan rupa paras Yusuf dan mereka tidak sedar telah melukakan tangan mereka sambil berkata "jauhnya Allah dari kekurangan . Ini bukanlah seorang manusia melainkan malaikat yang mulia" . Lalu isteri al-aziz berkata kepada kumpulan wanita yang menyertainya tadi : itulah orang yang menyebabkan kalian mencerca aku kerana aku tertarik kepadanya . Dan sungguh aku telah menggoda untuk menundukkan dirinya tetapi ia menolak . Jika ia tidak melakukan apa-apa yang aku perintahkan kepadanya nescaya dia akan dipenjarakan dan akan menjadi orang yang hina. - Surah Yusuf ayat 32.

Mengikut keterangan , buah yang dipotong itu adalah buah limau yang dikenali dengan nama Yusufi . Apabila dibelah terdapat uratnya yang berwarna merah seperti darah. Buah itu kononnya benih dari limau yang terpotong Itulah . Limau yusufi itu ada di tanam di Mesir.

Semoga ada manfaatnya . Tidak ada tujuan lain melainkan diambil iktibar bertapa cinta kadang-kadang dapat membutakan mata dan kadang-kadang dapat membuka jalan ke arah cinta suci terhadap Pencipta .

Pengajaran yang ingin disampaikan ialah tentang kekuatan Iman yang mampu menjadi benteng diri dari hasutan syaitan . Walaupun ketika digoda, tiada yang menghalang mereka , apa lagi Yusuf yang pada ketika itu seorang pemuda yang punya keinginan namun Iman yang kukuh dan rahmat dari Allah menjadi pelindung dari terjerumus kepada Kegelapan maksiat .

Inilah sifat yang harus dicontohi pemuda-pemudi di zaman ini dengan pelbagai gejala sosial yang tidak terbendung .
Setelah kita teliti kisah cinta ini...masihkah kita rasis mengatakan kesalahan mutlak itu terletak kepada Zulaikha..?

Sebab berdasarkan kisah kisah lain bahawa Zulaikha telah bertaubat dan mengabdikan kepada Allah swt.

Ayat 53 , surah Yusuf yang bermaksud " Aku tidak membersihkan diriku ( dengan mengatakan diriku tidak bersalah ) kerana ( memang ) nafsu itu mendorong berbuat jahat ( kesalahan ) kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku . Sesungguhnya Tuhanku maha pengampun lagi maha mengasihani "

Wallahualam

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience