BAB 4

Romance Series 6044

Cuaca pada malam itu sangat dingin dan damai. Wani memang gemar menghirup udara segar di balkoni. Lampu-lampu jalan dan bangunan-bangunan yang tinggi menghiasi pemandangan. Bunyi kereta lalu lalang di jalan raya masih kedengaran. Kuala lumpur memang sentiasa sesak dengan kenderaan tidak kira siang atau malam.

Wani melabuhkan punggungnya di kerusi kayu yang sudah disediakan bersama meja kecil. Semua kerja sekolah yang diberikan awal-awal lagi sudah disiapkan. Buku-buku di atas meja itu kemudiannya disusun lalu diletakkan di tepi. Memberi ruang untuk meletakkan komputer ribanya.

Tiba-tiba sahaja wajah Aniq muncul di fikirannya. Komputer ribanya tidak jadi dibuka. Dia termenung buat seketika.

"Agak-agak dia buat tak latihan tu?" Wani berbicara sendiri. Pandangannya hanya tertumpu pada lampu jalan yang diiringi pelbagai serangga terbang.

"Buat apa tu?" Wani tersentak dari lamunan nya apabila suara Puan Aida menyentuh gegendang telinganya. Wani tersenyum melihat Puan Aida melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan di hadapannya.

"Baru je siapkan home work." Balas Wani sambil membetulkan kerusinya.

"Macamana dengan kawan Wani tu? Okey?" Soalan Puan Aida membuatkan senyuman Wani beransur pudar.

"Kenapa ni?" Soal Puan Aida apabila dia perasan wajah Wani berubah.

"Entahlah ibu. Sebelum berjumpa tadi, dia bergaduh dekat depan kelas dengan seorang pelajar ni. Habis muka dia lebam, berdarah dan luka-luka. Wani pun tak tahu nak ajar dia macam mana. "Adu Wani sambil memandang wajah Puan Aida. Puan Aida mengangguk faham.

"Tak apa... Ini kan baru permulaan. Lama kelamaan nanti Wani akan faham apa yang harus dibuat. Jangan mudah putus asa. Wani tolong orang dengan ikhlas, insyaallah kebaikan Wani akan dibalas." Nasihat Puan Aida sambil menggosok-gosok tangan Wani. Senyuman kembali terukir.

"Thanks, ibu!" Ujar Wani dengan senyuman yang manis. Puan Aida lah tempatnya bermanja, berkongsi masalah, bergurau senda dan segalanya. Puan Aida bukan sekadar ibu tetapi kawan baik, ayah, guru dan sebagainya lah bagi Wani. Wani tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya nanti tanpa Puan Aida. Apa yang Wani mampu adalah sentiasa berdoa kesejahteraan dan umur yang panjang kepada Puan Aida.

***

Aniq memulas tombol pintu pejabat Puan Zubaidah. Tidak lain tidak bukan pasti dia akan dimarahi kerana bergaduh semalam. Selepas dia menutup kembali pintu, dia terus melabuhkan punggungnya di hadapan Puan Zubaidah. Puan Zubaidah memandangnya dengan muka yang tegang.

"Semalam kamu bergaduh dengan siapa Aniq?" Soal Puan Zubaidah kasar. Aniq menunduk. Soalan Puan Zubaidah dibiarkan berlalu tanpa jawapan.

"Jawab, Aniq!" Puan Zubaidah mula meninggi suara.

"khairul..." Balas Aniq. Pandangannya masih ditundukkan ke bawah.

"Aniq, tolonglah berubah sikit perangai tu. Mak ayah kamu sanggup datang pejabat cikgu merayu supaya lakukan sesuatu. Diorang nak kamu berjaya Aniq. Kamu satu-satunya harapan mak ayah kamu." Nasihat Puan Zubaidah dengan nada merayu. Aniq mengangkat wajah.

"Tapi cikgu, dia yang cari pasal dulu. Saya tak buat apa-apa pun!" Aniq turut meninggi suara. Ya, Aniq memang pantang orang menuduh nya melulu. Lagi-lagi dia panas baran orangnya. Puan Zubaidah sudah masak dengan perangai Aniq. Sudah acap kali dia ditengking Aniq. Tapi, dia masih kenal erti sabar. Pelajar seperti Aniq hanya memerlukan lebih pemerhatian lagi.

"Saya tahu Aniq. Saya cuma nak lakukan yang terbaik untuk kamu. Kamu harus sedar bahawa kamu itu masih pelajar. Biarkan apa yang orang nak buat, kita jangan melayan sikap buruk mereka. Sabar. Faham?" Balas Puan Zubaidah dengan nada yang dilembutkan. Aniq mengeluh kasar.

" Saya nak ke tandas." Tanpa membuang masa, dia terus bergegas keluar dari pejabat Puan Zubaidah. Puan Zubaidah menghela nafas panjang. Pening benar dia dengan sikap Aniq. Dia cuma berharap agar Wani dapat mengubah sikap Aniq.

***

"KRINGGG" loceng sekolah berdering menandakan waktu rehat sudah tiba. Semua pelajar berpusu-pusu menuju ke kantin termasuklah Wani dan Irdina. Mereka berdua awal-awal lagi sudah berada di kantin kerana mereka menjalankan pembelajaran sains tadi di makmal berdekatan.

Mereka berdua memilih tempat di hujung kantin yang dikhaskan untuk dua orang pelajar.

"Aku nak beli air sekejap. Kau nak kirim tak?" Soal Irdina selepas Wani melabuhkan punggungnya. Wani pantas sahaja menggeleng.

"Tak apalah, aku nak minum air kosong je." Balas Wani lalu botol air bewarna ungunya diletakkan di atas meja. Irdina mengangguk lalu dia beredar dari situ.

Wani menyuapkan nasi ayam yang dibelinya ke dalam mulut. Masakan Mak Siti selaku tukang masak di kantin sekolah itu memang sedap. Ramai yang menggemari masakan Mak Siti dek kerana citarasanya menarik selera pelajar.

"Oi!" Wani tersedak saat Aniq tiba-tiba muncul di hadapannya. Selamba sahaja dia duduk lalu meletakkan mee goreng yang dibelinya di atas meja. Wani meneguk rakus air kosong yang dibawanya.

"Kau ni dah kenapa, tak reti bagi salam ke?" Marah Wani selepas tekaknya sudah berasa selesa. Aniq memandang wajah Wani.

"Kaulah kenapa? Kau bagitahu apa kat cikgu semalam sampai dia marah aku teruk harini?" Aniq menyoalnya kembali. Wani membuat muka hairan.

"Manalah aku tahu. Aku cuma bagitahu yang aku dan kau tak dapat datang kerana kau cedera teruk sebab dibelasah. Itu je." Jawab Wani dengan nada yang sengaja ditekankan. Aniq diam, dia menguis mee goreng di dalam pinggannya.

"Sudahlah, pergi main dekat lain. Nanti apa pulak orang nampak kau duduk kat sini berdua-duaan dengan aku." Ujar Wani sambil kakinya menendang-nendang kaki Aniq. Aniq mengeluh.

"Aku rasa semua orang tak suka dengan aku." Wani terdiam. Apa yang Aniq cuba nak luahkan? Aniq perlahan-lahan bangun lantas pinggan di atas meja dicapai.

"Eh, nanti. Kenapa kau cakap macam tu?" Soal Wani menghalang Aniq meninggalkan nya. Aniq kembali duduk. Wajahnya nampak sugul.

"Entahlah. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana dekat kau. Aku tak akan jadi macam ni kalau semua orang layan aku dengan baik." Ujar Aniq sambil memandang wajah Wani. Wani terkedu.

"Kenapa ni? Kau ada masalah ke?" Soal Wani mula kasihan dengan Aniq. Aniq tersenyum. Jelas di mata Wani senyuman Aniq itu ada menyimpan segala duka.

"Takde apa-apa. Aku pergi dululah." Tanpa membuang masa dia terus meninggalkan Wani sendiri. Wani tidak sempat menghalang. Apa sebenarnya yang Aniq cuba sampaikan.

"Eh, Wani! Dia cakap apa dengan kau tadi." Kali ini Irdina pula mengejutkan nya. Wani tersentak.

"Takde apa-apa pun. Cuma dia kata dia dah siapkan latihan yang aku bagi." Wani berdalih.

"Serious lah kau! Weyh kau tak takut ke dengan dia? Kalau aku mahu terkencing dibuatnya. " Wani tersenyum lucu mendengar kata-kata Irdina.

"Aku rasa kalau orang kenal dia betul-betul, hilang perasaan takut tu. Dia okey je. Takde lah dia buat apa-apa." Balas Wani bersahaja. Irdina mengangguk perlahan. Mereka menikmati hidangan masing-masing dengan begitu berselera. Namun tidak bagi Wani, fikirannya begitu kusut. Apa sebenarnya yang Aniq ingin sampaikan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience