Bab 9
Fatimah membaca surah Yassin yang telah di muat turun oleh Fariz. Sementara Fariz menghampiri telinga Pak Karim ayah mentuanya. Mulut Fariz menyebut kalimah Allah di telinga Pak Karim. Kerana denyutan jantung Pak Karim sudah semakin menurun. Fariz tahu Pak Karim sedang nazak sekarang ini. Bila-bila masa saja Pak Karim akan berhenti bernafas.
Fatimah agak hairan melihat Fariz membisikkan sesuatu di telinga ayahnya. Fatimah berhenti membaca surah Yassin lalu memandang ke arah Fariz.
“Abang bisik apa dekat telinga bapak?” soal Fatimah sambil memandang ke arah Fariz.
“Imah teruskan baca surah Yassin tu,” Fariz tidak menjawab pertanyaan Fatimah sebaliknya menyuruh Fatimah teruskan bacaan surah Yassin.
“Imah nak tahu juga... apa yang abang bisikkan dekat telinga bapak,” balas Fatimah agak kecewa kerana Fariz tidak menjawab pertanyaannya. Fatimah mencebik wajahnya tanda protes.
“Okay,okay abang akan bagitahu. Abang bisikkan kalimah Allah dekat telinga bapak. Supaya bapak boleh dengar, manalah tahu bapak boleh sihat balik,” ujar Fariz supaya Fatimah tidak bertanya lagi.
Fariz tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan keadaan Pak Karim kepada Fatimah. Kerana Fariz tahu pasti sukar untuk Fatimah menerimanya. Apa lagi Fatimah tidak pernah berenggang dengan Pak Karim setelah kematian ibunya. Pak Karim sangat menyayangi Fatimah kerana itu saja satu-satunya anak yang dia ada. Fariz memandang ke arah Fatimah yang mula menyambung kembali bacaan surah Yassin. Fatimah nampak puas hati dengan jawapan Fariz. Oleh sebab itulah Fatimah mengikut perintah Fariz menyambung membaca surah Yassin. Fariz tetap terus membisikkan kalimah Allah di telinga Pak Karim.
Tiba-tiba mesin monitor denyutan jantung berbunyi. Fariz cepat-cepat melihat ke arah monitor itu. Tanpa berlengah Fariz berlari memanggil doktor dan jururawat yang bertugas. Doktor dan jururawat bergegas ke katil Pak Karim. Fatimah masih meneruskan bacaan surah Yassin nya. Fatimah terpinga-pinga melihat doktor dan jururawat datang untuk memeriksa Pak Karim.
“Doktor dan misi ni buat apa dekat bapak?” soal Fatimah sambil menatap wajah Fariz.
“Doktor nak tengok keadaan bapak,” jawab Fariz sambil perlahan-lahan memengang tangan Fatimah.
“Kenapa abang pengang tangan Imah ni? Imah nak baca Yassin lagi ni,” kata Fatimah lalu melepaskan tangannya dari di pengang oleh Fariz.
“Nampaknya pesakit ni dah meninggal,” kata doktor setelah memeriksa keadaan Pak Karim.
“Untuk bawa pulang jenazah nanti kita orang akan uruskan. Encik bolehlah kemas barang-barang ayah encik sekarang,”kata jururawat kepada Fariz.
“Baiklah... terima kasih,”balas Fariz.
“ Sama-sama. Sementera itu encik keluar dulu. Kita orang nak bersihkan jenazah ni sebelum di bawa pulang nanti,”kata jururawat itu lagi.
“Baiklah... Imah jom ikut abang,” kata Fariz sambil memengang tangan Fatimah.
“Misi tu nak buat apa dengan bapak?” tanya Fatimah agak hairan dan tidak mengerti.
“Imah kita duduk dekat bangku ni dulu. Nanti abang terangkan dekat Imah,” ujar Fariz sambil menarik tangan isterinya itu untuk duduk dibangku.
Fatimah melabuhkan punggungnya dibangku. Fariz juga duduk dibangku sebelah Fatimah. Fariz pandang wajah Fatimah. Entah kenapa Fariz merasa sayu dan tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan kepada Fatimah. Fariz tahu ini adalah satu tamparan hebat untuk Fatimah. Fariz tidak tahu bagaimana reaksi Fatimah bila mengetahui ayahnya sudah menghembuskan nafas terakhirnya.
“Imah sebenarnya... bapak dah tak ada?” jelas Fariz pada isterinya itu.
“Macam mana pula bapak boleh tak ada? Bapak masih ada dekat katil tu lah. Abang jangan nak tipu Imah lah,” balas Fatimah sambil menunjuk ke arah katil yang di tutup tirainya. Kerana kakitangan hospital sedang merapikan jenazah Pak Karim sebelum boleh dibawa pulang untuk di kebumikan.
“Imah, bapak dah meninggal dunia. Nanti bapak akan dibawa pulang dan akan di kebumikan di dalam tanah. Sama macam arwah mak Imah,”terang Fariz sambil memegang erat tangan Fatimah.
“Ba...pak akan di masukkan dalam tanah macam mak juga. Tak... tak mungkin bapak akan tinggalkan Imah macam mak,”kata Fatimah tersekat-sekat. Air mata Fatimah mula jatuh membasahi pipi. Fatimah mula terkenang arwah ibunya yang telah tiada.
“Imah jangan risau... abang ada, akan ganti tempat bapak untuk jaga Imah,”kata Fariz cuba menenangkan Fatimah.
“Tapi abang bukan bapak. Imah nak bapak,” ujar Fatimah sambil menangis teresak-esak.
“Ya, abang bukan bapak. Tapi abang suami Imah,”balas Fariz sambil membetulkan rambut Fatimah.
Setelah semua urusan di hospital selesai. Jenazah Pak Karim dapat dibawa pulang dan di kebumikan di tanah perkuburan. Fatimah tidak berhenti menangis melihat jenazah ayahnya di masukkan ke dalam kubur. Selesai membaca talkin kebanyakan orang beredar dari kawasan kubur. Hanya tinggal Fatimah dan Fariz saja di kawasan kubur ini.
“Jom kita balik,”ajak Fariz sambil memengang tangan Fatimah.
“Imah tak mahu balik. Imah nak teman bapak dekat sini,” balas Fatimah sambil mula bersimpuh di atas tanah.
“Imah tak bolehlah macam tu. Urusan bapak dah selesai. Marilah kita balik rumah,”pujuk Fariz sambil menarik tangan Fatimah.
“Tak mahu! Imah nak duduk sini teman bapak,”kata Fatimah berkeras mahu berada di kubur ayahnya.
“ Baik, tak apa kalau tu yang Imah mahu. Abang nak balik... perut abang pun dah lapar ni, ingat nak beli nasi ayam. Imah duduklah dekat sini. Tak payah makan, tak payah minum,” kata Fariz sambil melepaskan tangan Fatimah dan mula berjalan keluar dari kawasan kubur.
Mendengar Fariz menyebut ingin membeli nasi ayam. Membuatkan Fatimah terbayang nasi ayam dan menelan air liurnya. Fatimah mengusap perutnya yang mula terasa lapar.
“Abang tunggu! Imah nak balik juga. Nak makan nasi ayam... perut Imah pun dah lapar ni,”jerit Fatimah sambil berlari anak ke arah Fariz.
Fariz menoleh ke arah Fatimah sambil mengukir senyuman di bibirnya. Fariz tahu Fatimah pasti lapar. Lagi pula Fatimah tidak mungkin berani tinggal seorang diri di kawasan perkuburan.
“Cepatlah!” kata Fariz sambil memberhentikan langkahnya.
“Abang nak makan nasi ayam dekat mana?” soal Fatimah sambil memengang tangan Fariz. Mungkin risau Fariz akan meninggalkannya.
“Imah selalu makan dengan arwah bapak dekat kedai mana? Kita pergi kedai yang selalu arwah bapak dan Imah pergi je lah,” Fariz bertanya dan memberi cadangan kepada isterinya itu.
“Bapak selalu bawa Imah makan dekat kedai Mak Limah. Nasi ayam kedai Mak Limah sedap,” Fatimah memberitahu kedai makan yang selalu ayah dan dirinya pergi pada Fariz.
“Kalau macam tu, kita makan nasi ayam dekat kedai Mak Limah je lah,” balas Fariz sambil tangannya mula membuka pintu kereta.
“Yeay, dapat makan nasi ayam Mak Limah,” kata Fatimah agak ceria.
Fariz berasa lega melihat Fatimah sudah tidak memikirkan arwah ayahnya lagi. Fariz sedar esok lusa pasti Fatimah akan teringat dan merindui ayahnya. Sekarang ini dirinya yang akan mengantikan Pak Karim untuk menjaga Fatimah. Fariz sedar bukan mudah untuk melayan kerenah Fatimah yang bersikap seperti kanak-kanak itu. Tapi Fariz kagum didikan mentuanya. Walaupun Fatimah tidak sempurna seperti orang lain. Tapi Fatimah mampu mengaji Al-Quran.
“Aku janji akan jaga kau sampai akhir hayatku,” bisik hati kecil Fariz.
Maaf lama tak update.
Share this novel