BAB 46: GENIUS YANG TERLUKA DAN BILIK MAYAT YANG SEJUK

Mature Content Series 1132

Lobi Kecemasan Hospital (Malam)
Lobi kecemasan Hospital bertukar menjadi medan perang sebaik sahaja kenderaan mewah Elvis memecah masuk ke pekarangan hospital. Suasana bingit dengan bunyi siren ambulans yang baru tiba, selang-seli dengan jeritan arahan daripada doktor dan jururawat yang berlari-lari menolak usungan (stretcher).
"Laluan! Berikan laluan! Pesakit zon merah, pendarahan dalaman tahap empat!" jerit seorang doktor muda dalam nada panik yang terkawal.
Pasukan perubatan bekerja seperti lipas kudung, melakukan prosedur rescue dengan kepantasan luar biasa kerana mereka tahu mangsa adalah 'orang ternama'?mertua Elvis Manai, SVP Apex Global yang gah dan pemilik Nick Holdings.
Lobi itu sesak. Kilauan cahaya kamera daripada wartawan yang mula menghidu berita kemalangan itu memenuhi ruang, namun mereka disekat keras oleh barisan polis dan pengawal peribadi bersut hitam yang membentuk perisai manusia.
Elvis berdiri di tengah-tengah kekacauan itu dengan wajah yang hancur. Pakaiannya yang rapi tadi kini kusut-masai. Dia memandang tangannya yang menggigil.
"Kenapa aku tak arahkan backup? Kenapa aku biar Amit seorang diri?" bisiknya berkali-kali.
Rasa kesal menghunjam jantungnya lebih sakit daripada sebarang tikaman. Dia menyalahkan dirinya sendiri kerana terlepas pandang aspek keselamatan fizikal demi mengejar peperangan digital.
Di sudut bangku, Eve kelihatan seperti mayat hidup. Dia hanya termenung kosong ke arah lantai hospital yang putih bersih. Air matanya mengalir tanpa henti, membasahi pipinya yang pucat, namun tiada sebarang suara yang keluar. Dia seolah-olah sudah terputus hubungan dengan dunia nyata.
"Sayang, jangan macam ni... Tolonglah. Ingat baby kita, sayang. Tolong kuat demi dia," rayu Elvis sambil melutut di hadapan Eve, menggenggam tangan isterinya yang sejuk seperti ais.
Namun, Eve tetap kaku. Tiada respon. Mata genius itu kini kosong, tenggelam dalam trauma yang terlalu berat.
Melihat keadaan Eve yang semakin membimbangkan, Elvis tidak mampu menunggu lagi. Dia tahu Eve perlukan perlindungan dan ketenangan segera sebelum keadaan kandungannya terjejas. Dengan satu gerakan pantas, Elvis mencempung Eve ke dalam pelukannya.
"Encik Jemat! Sediakan wad eksklusif tingkat atas sekarang!" arah Elvis dengan nada berkuasa.
Encik Jemat, ketua pengawal peribadi, terus berlari anak mengikut dari belakang bersama dua orang pengawal lain yang memegang senjata tersembunyi. Mereka meredah kerumunan wartawan yang cuba mendekat.
Setibanya di wad eksklusif yang dikawal ketat, Elvis membaringkan Eve di atas katil dengan penuh kelembutan. Dia memandang wajah isterinya buat kali terakhir sebelum berpaling kepada Encik Jemat.
"Jemat, dengar sini. Jangan tinggalkan bilik ni walau sesaat pun. Kalau ada lalat yang cuba masuk tanpa kebenaran aku, tamatkan mereka," arah Elvis dengan pandangan mata yang kini bertukar menjadi dingin dan gelap. "Aku nak uruskan hal Amit. Pahlawan aku tak boleh dibiarkan tanpa pembelaan."
"Baik, Tuan!" sahut Jemat tegas.
Elvis melangkah keluar dari bilik tersebut dengan aura dendam yang membara. Dia tahu, serangan Zane dan Qarita kali ini telah mengubahnya daripada seorang CEO yang bijak kepada seorang lelaki yang tidak akan teragak-agak untuk menghancurkan sesiapa sahaja yang menyentuh keluarganya.

Bilik Mayat (Morgue)
Suasana di bilik mayat itu terasa jauh lebih sejuk daripada suhu penghawa dinginnya. Bau cecair antiseptik yang tajam menusuk hidung, menyelubungi keheningan yang menyesakkan. Di tengah bilik, di bawah lampu pendarfluor yang berkelip malap, sekujur tubuh kaku Amit terbaring di atas meja keluli tahan karat, ditutupi kain putih yang kini bertompok merah pekat di bahagian dada dan kepala.
Elvis melangkah masuk dengan kaki yang terasa berat seperti dirantai besi. Setiap tapak kakinya bergema di ruang yang sunyi itu. Apabila doktor menarik kain putih tersebut sehingga ke paras dada, nafas Elvis seolah-olah terhenti.
Mata Amit yang biasanya bersinar dengan kesetiaan, kini terpejam rapat. Wajahnya yang tenang semasa hayatnya kini hancur di bahagian sisi kiri, kesan rempuhan terus yang tidak memberi peluang untuknya melawan.
"Tuan Manai," suara Doktor Forensik itu rendah, penuh simpati. "Impaknya terlalu besar. Berdasarkan bedah siasat awal, puncanya adalah multiple blunt force trauma. Lori tersebut merempuh tepat pada bahagian pemandu. Tiang A kereta itu remuk dan menusuk masuk ke ruang dada mangsa."
"Dia... dia menderita, doktor?" soal Elvis, suaranya serak, matanya berkaca melihat tangan Amit yang lebam.
"Tidak, Tuan. Arwah meninggal dunia serta-merta. Traumatic brain injury dan pecah pada aorta jantung bermaksud sistem sarafnya terhenti sebelum dia sempat merasa sakit. Impak itu membunuh seluruh fungsi organ dalaman dalam sekelip mata. Kereta itu diremukkan seperti tin kosong."
Di sudut bilik, seorang Pegawai Penyiasat Polis sedang menunggu dengan wajah serius, memegang diari siasatan.
"Tuan Manai, saya faham ini waktu yang sukar. Tapi kami perlukan pengesahan. Adakah Encik Amit pernah mengadu tentang sebarang gangguan atau ekoran sebelum ini? Kami dapati tiada kesan brek daripada lori tersebut di tempat kejadian. Seolah-olah lori itu memang bertujuan untuk melanggar, bukan kemalangan teknikal."
Elvis tidak menjawab. Dia hanya memandang Amit. Lelaki ini bukan sekadar pemandu; dialah orang yang menjaga Malini ketika Elvis sibuk di luar negara, dialah abang yang sering mengingatkan Elvis untuk makan ketika bekerja lewat malam.
Elvis perlahan-lahan menyentuh bahu Amit yang kaku dan sejuk.
"Maafkan aku, abang... Aku terlalu fokus pada skrin komputer sampai aku lupa musuh sebenar ada di jalan raya. Kau lindungi mertua aku dengan nyawa kau sendiri. Aku bersumpah, Amit... darah kau takkan kering sia-sia di atas tar jalan tu," bisik Elvis, air matanya akhirnya jatuh setitik di atas kain putih itu.
Elvis berpaling ke arah Inspektor Polis dengan pandangan mata yang sangat tajam dan mengerikan.
"Inspektor, ini bukan kemalangan. Ini pembunuhan terancang. Cari lori tu, dan saya akan pastikan dalangnya tidak akan sempat sampai ke mahkamah."
Elvis melangkah keluar dari bilik mayat dengan satu azam baru. Kesedihan itu kini telah membeku menjadi dendam yang paling dingin.

Zon Merah Ruang Kecemasan
Elvis mempercepatkan langkahnya menuju ke zon merah ruang kecemasan. Setibanya di sana, katil yang tadi menempatkan Nickolas dan Murie sudah kosong. Hanya kesan tompokan darah pada lantai yang sedang dimop laju oleh pekerja pembersihan menjadi saksi bisu ngerinya kejadian tadi.
"Tuan Manai!" Seorang pakar bedah saraf (neurosurgeon) yang masih memakai pelitup muka dan gaun pembedahan hijau yang terpercik darah menghampiri Elvis dengan wajah yang sangat serius.
"Doktor, mana mertua saya? Kenapa katil mereka kosong?" nafas Elvis tercabut-cabut.
"Kedua-duanya telah kami tolak ke dewan bedah serta-merta, Tuan. Keadaan mereka sangat kritikal, terutamanya Encik Nickolas."
Doktor itu menarik Elvis ke satu sudut yang lebih tenang sedikit namun suasana di sekeliling masih bingit. Dia mula memberikan penjelasan perubatan dengan teliti.
"Encik Nickolas mengalami Bengkak Otak (Brain Edema) yang sangat serius akibat impak hentaman kuat pada tempurung kepala. Tekanan di dalam kepala (Intracranial Pressure) meningkat mendadak. Jika kita biarkan, bengkak ini akan menghimpit batang otak dan menyebabkan kematian otak kekal."
"Apa prosedur yang korang buat?" Elvis menggenggam erat tangannya.
"Kami sedang melakukan Craniectomy kecemasan sekarang. Sebahagian daripada tempurung kepala Encik Nickolas terpaksa dikeluarkan buat sementara waktu untuk memberi ruang kepada otak yang membengkak itu berkembang tanpa terhimpit. Jika tekanan ini dapat dikurangkan sebelum kerosakan sel kekal berlaku, ada peluang untuk pemulihan penuh."
"Berapa peratus, doktor? Cakap jujur dengan saya."
Doktor Pakar itu mengeluh berat. "Untuk Puan Murie, kecederaannya lebih kepada patah tulang rusuk dan pendarahan dalaman perut. Peluangnya untuk selamat adalah sekitar 70%, namun dia mungkin tidak sedar untuk tempoh yang lama. Bagi Encik Nickolas pula, keadaannya adalah 50-50. Dia kini dalam keadaan koma tahap dalam. Peratusan untuk dia bangun semula bergantung sepenuhnya kepada bagaimana otaknya bertindak balas dalam masa 24 jam ini selepas pembedahan. Jika bengkak surut, dia boleh sembuh. Namun, risiko untuk kekal dalam keadaan vegetatif (koma berpanjangan) tetap ada sekitar 40%."
Elvis menyandarkan dahinya ke dinding hospital yang sejuk. Dunianya terasa seperti sedang runtuh berkali-kali.
"Lakukan apa sahaja, doktor. Gunakan teknologi terbaik, panggil pakar dari luar negara jika perlu. Kos bukan masalah. Saya cuma mahu mereka hidup."
"Kami sedang cuba yang terbaik, Tuan. Sekarang, dewan bedah adalah tempat paling selamat untuk mereka. Saya sarankan Tuan berehat, kerana perjalanan pemulihan ini akan menjadi sangat panjang dan sukar."
Doktor itu kembali berlari masuk ke dalam dewan bedah, meninggalkan Elvis yang kini berdiri kaku di lobi.

Wad Eksklusif (Kebangkitan Sang Genius)
Malam itu, koridor hospital menjadi saksi langkah kaki Elvis yang tidak berhenti, diapit rapat oleh pengawal peribadinya, Jacob dan Kamal. Di belakangnya, Jemat dan Murad sentiasa bersedia dengan tablet dan telefon, menguruskan segala logistik dan maklumat sulit.
Usai urusan di unit kecemasan, Elvis melangkah ke arah wad eksklusif di mana isterinya ditempatkan. Namun, di depan pintu kayu jati wad tersebut, langkah sang pahlawan ini mati. Elvis berdiri kaku. Dia yang biasanya tidak gentar berhadapan dengan musuh perniagaan, kini merasa kerdil. Bagaimana dia mahu memberitahu wanita yang dicintainya bahawa ayah dan ibunya kini hanya bergantung pada mesin dan pembedahan?
Belum sempat jemarinya menyentuh tombol, pintu itu terbuka dari dalam secara mengejut.
Gwayneve (Eve) berdiri di sana. Tiada lagi tangisan. Wajahnya yang pucat tadi kini digantikan dengan riak wajah yang tajam dan fokus yang menakutkan.
"Sayang... panggil doktor pakar saraf dan pakar bedah abdomen ke sini. Sekarang," arah Eve dengan nada yang mendatar, tetapi penuh dengan autoriti.
Elvis terpaku seketika, namun segera memberi isyarat kepada Jemat. "Jemat, panggil mereka! Sekarang!"
Apabila pasukan doktor tiba di bilik tersebut, suasana bertukar drastik. Gwayneve tidak lagi kelihatan seperti mangsa trauma. Dia telah kembali menjadi 'GWAYNEVE LULONG'?seorang genius asinkronus yang otaknya berfungsi sepuluh kali ganda lebih laju daripada manusia biasa.
"Doktor," Eve memulakan bicara sebaik sahaja pakar-pakar itu masuk. Dia berdiri di hadapan papan putih kecil di dalam bilik tersebut yang biasanya digunakan untuk nota jururawat. Dia sudah pun mencatat beberapa formula fizik di situ.
"Berdasarkan berat Mercedes S-Class dan impak rempuhan lori seberat 5 tan yang dilaporkan, ayah saya mengalami daya G yang melampau. Saya tahu awak sedang melakukan Craniectomy ke atas Nickolas Merdang," kata Eve, matanya tajam menusuk mata doktor pakar saraf itu.
Doktor itu tergamam. "Bagaimana puan tahu tentang..."
"Analisis hiper-rasional," potong Eve tanpa emosi. "Jika tekanan intrakranial melebihi 20 mmHg, prosedur itu wajib. Tetapi saya cadangkan awak gunakan Hypertonic Saline 3% sebagai ganti kepada Mannitol buat sementara waktu untuk mengurangkan edema serebrum tanpa menjejaskan tekanan darah sistemiknya yang sedia ada rendah."
Doktor pakar saraf itu saling berpandangan dengan rakan sejawatnya. Mereka seperti sedang "diajar" oleh seorang pesakit.
"Puan, kami sedang mengikut protokol hospital..."
"Protokol awak terlalu perlahan untuk bengkak otak ayah saya!" suara Eve naik satu oktat, bukan kerana sedih, tetapi kerana intensiti intelektualnya yang meluap. "Dan untuk ibu saya, Murie Veeda, pastikan awak pantau Lactate Levels dia. Pendarahan abdomen bermaksud risiko asidosis metabolik sangat tinggi. Saya nak laporan data setiap 15 minit dihantar terus ke tablet saya."
Elvis hanya mampu berdiri di sudut bilik, memerhatikan isterinya. Dia sedar inilah mekanisme pertahanan Eve. Eve menggunakan logik, data, dan terma perubatan untuk membina tembok perlindungan daripada rasa sedih yang mampu menghancurkan jiwanya. Dia tidak "blur" lagi; dia sedang berperang dengan takdir menggunakan sains.
"Doktor," Elvis mencelah, memberikan isyarat supaya doktor-doktor itu menurut sahaja. "Lakukan apa yang isteri saya minta. Dia tahu apa yang dia cakapkan."
Apabila doktor-doktor itu keluar dengan wajah yang masih bingung dan sedikit tercabar, Eve berpaling ke arah skrin laptopnya yang sudah pun memaparkan imej imbasan CT scan yang entah bagaimana dia berjaya akses secara rahsia.
"Sayang..." Elvis mendekati Eve, cuba menyentuh bahunya.
"Jangan sekarang, Seth," Eve memotong pantas, matanya masih pada skrin. "Kalau saya berhenti berfikir mengikut data, saya akan jatuh. Dan kalau saya jatuh, ayah dan mak tak ada sesiapa untuk pantau keselamatan perubatan mereka. Zane Nyelang ingat dia boleh guna fizik untuk bunuh keluarga saya? Saya akan guna fizik untuk selamatkan mereka."
Elvis terdiam. Dia melihat seorang wanita yang sangat matang secara intelektual, namun di sebalik ketajaman bicara itu, dia tahu ada seorang "kanak-kanak" yang sedang ketakutan di dalam jiwa Eve, yang sedang menggunakan segala sel geniusnya untuk menafikan kemungkinan kehilangan orang yang paling disayangi.

Kesedihan mempunyai dua wajah. Wajah pertama adalah tangisan yang melumpuhkan, seperti yang kita lihat di lobi hospital tadi. Tetapi wajah kedua adalah yang paling berbahaya: penafian intelektual. Gwayneve tidak lagi menangis kerana air matanya telah digantikan dengan formula matematik dan data perubatan. Ini adalah coping mechanism yang biasa bagi golongan genius. Dia merasakan selagi dia boleh mengawal data, dia boleh mengawal kematian. Namun, Elvis melihat sesuatu yang lebih menyakitkan di balik keberanian itu. Dia melihat isterinya sedang 'berlari' dari kenyataan. Kehebatan Eve "mengajar" doktor pakar itu memang mengagumkan, tetapi ia juga satu petanda bahawa jiwanya sedang retak. Jika data itu gagal... jika ayahnya meninggal dunia walaupun dengan segala pengiraan fizik yang tepat, adakah 'Gwayneve Lulong' akan hancur sepenuhnya? Inilah harga yang perlu dibayar apabila kita cuba melawan takdir Tuhan dengan logik manusia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience