BAB 4

Romantic Comedy Series 894

MEOR ke sana ke mari di deck itu mencari keberadaan gadis yang hilang secara tiba-tiba dari mess tadi.

Dua air kotak coklat di tangan kirinya dipandang seketika sebelum menggigit bibir bawahnya perlahan. Kepala ditundukkan sebelum dia mengetuk sedikit di tepinya.

"Awak sakit kepala ke? Nak panadol?" Suara seorang gadis yang tiba-tiba menegurnya membuatkan Meor terkejut seketika. Dia terus mengangkat kepala sebelum mencari arah suara itu.

Matanya tertancap pada Elya yang sedang bersandar pada palang besi di hujung platform sana. Angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan tudungnya beralun lembut. Bulan penuh yang terpampang di langit di belakang Elya bagai menambahkan debaran di hatinya.

"T-tak. Saya tak sakit kepala," jawab Meor sedikit tergagap lalu berjalan mendekati Elya. Air kotak itu disembunyikan di belakang.

"Dah tu? Kenapa ketuk kepala macam tu?" soal Elya sebelum kembali berpaling menghadap laut malam yang gelap. Hanya ada cahaya terang dari sang rembulan.

"Erm... Awak nak air kotak?" soal Meor sebaik saja dia berdiri beberapa kaki di sebelah gadis itu.

Elya terus menoleh ke arah kanannya dengan dahi berkerut. Lelaki itu menanti jawapannya tanpa bergerak.

"Awak bawa air kotak perisa apa?" Elya hanya melayan dengan senyuman yang tertahan. Entah kenapa, lelaki di sebelahnya ini mengingatkan kepada kenangan lalu.

Comel.

"Ada air coklat je. Takpe ke?" Meor memandang Elya dengan harapan pelawaannya diterima.

"Tapi saya tak minum air coklat," nafi Elya. Terus dia dapat melihat reaksi lelaki itu gelabah di sebelahnya.

"Awak minum air apa? Saya pergi ambil di mess. Awak tunggu kejap boleh?"

Baru saja Meor berura-ura untuk pergi, kakinya terus berhenti melangkah tatkala suara tawa gadis itu masuk ke telinganya.

"Kenapa awak ketawa?" soal Meor polos.

"Sebab awak kelakar," jawab Elya sambil memegang perutnya.

Ya Allah, riak lelaki ini sangat menghiburkan hatinya. Tiba-tiba dadanya terasa ringan seperti dua tiga hari sebelumnya akibat terlalu memikirkan masalah hydrate yang terjadi.

"Saya... Kelakar?" soal Meor semula dengan wajah terpinga-pinga.

"Saya gurau ajelah, awak. Saya minum je air coklat. Tak perlulah awak nak ke mess semata-mata nak ambil air baru untuk saya," terang Elya dengan sisa tawa yang masih ada.

"Oh, saya ingatkan apalah tadi." Meor menggaru belakang kepalanya akibat rasa malu yang tiba-tiba datang. Telinga terasa merah apabila diusik sebegitu rupa.

"Mana air coklatnya? Saya nak sekarang boleh?" pinta Elya sambil menopang dagu dip  besi penghadang itu.

"Eh, maaf." Meor menghulurkan air kotak coklat itu dengan tangan kanannya kepada Elya.

"Terima kasih awak," ujar Elya. Dia terus membuka plastik penyedut sebelum dicucuk masuk ke dalam kotak itu.

"Sama-sama." Meor menggenggam erat besi penghadang itu tanpa memandang Elya langsung. Dia mahu memulakan perbualan tapi dia takut. Dia takut dia salah orang.

"Awak macam nak bagi tahu saya sesuatu je. Betul tak?" tegur Elya seraya meneleng sedikit kepalanya untuk melihat lelaki yang masih berbaju putih cef di sebelahnya.

Meor mengangguk laju sebelum memejamkan matanya rapat. Aduh, macam budak-budak respons dia tika itu.

"Awak... Awak tak ingat saya, Elya? Saya Meor." Dia menoleh ke arah Elya. Elya mengangkat wajah sebelum pandangan mata mereka bertaut. Dahi Elya mula berkerut seraya dia meneliti lama wajah lelaki itu. Muka itu tidak terlalu asing dalam memorinya tetapi masih samar-samar.

"Meor? Budak nerd kelas sebelah tu ke?" Tanpa bertapis, Elya menyoalkan persoalan yang bermain di fikirannya sejak berada di mess tadi lagi.

Meor tertawa kecil mendengar soalan itu terbit dari bibir gadis itu.

"Yes, I was that nerdy thick-glasses boy." Meor mengakuinya sambil tersengih malu. Jika teringat semula penampilannya wakti sekolah, patutlah tidak ada sesiapa yang sudi berkawan dengannya kecuali gadis di sebelahnya ini.

"Damn... Awak makin hensem..." puji Elya tanpa sedar sebelum dia mengulumkan bibirnya. Dia terlepas kata!

Kepala dialihkan ke arah kiri sebelum menampar mulutnya perlahan. Kenapa bibir ini mengkhianati tuannya?

Rasa hangat yang hanya terasa di telinga, mula naik ke seluruh wajah apabila dipuji sebegitu rupa.

"Terima kasih. Awak pun makin cantik sekarang." Meor mengembalikan pujian itu sambil berpaling dari menghadap Elya.

Kini, mereka berdua berbual dengan belakang masing-masing saling menghadap.

"Cantik apanya, awak. Saya ni setiap hari main dengan minyak enjin," decit Elya sebelum kembali menghadap laut yang berombak lembut.

Meor turut kembali menghadap laut. Sesekali, dia mengerling ke kirinya untuk melihat wajah sudah lama tidak bersua muka.

"Tapi... Tetap cantik."

"Okeylah kalau awak tetap nak puji saya. Saya terima ajelah. Terima kasih, Meor Muhammad Ghazi," ucap Elya sebelum kembali menyedut air kotaknya yang tersisa.

"Awak masih ingat nama penuh saya?" Meor sedikit teruja mendengar nama penuhnya keluar dari bibir itu.

"Mestilah saya ingat. Budak tu sombong sangat waktu sekolah. Orang nak berkawan dengan dia pun, dia tolak. Dahlah tak ada media sosial langsung sampai saya tak tahu nak jejak dia dekat mana," perli Elya sambil menjeling Meor yang sangat berbeza berbanding sembilan tahun lalu.

Sekarang, dia lebih tinggi. Pakaiannya lebih kemas. Cermin matanya tidak terlalu tebal seperti dulu. Dan... makin kacak seperti yang dia sebut tadi.

"Saya minta maaf, awak. Saya baru aje ada media sosial waktu diploma dulu. Itu pun saya tak ada post apa-apa pun." Dengan penuh rasa bersalah, Meor menerangkan kepada gadis itu.

Lagipun, dia memang tidak tahu mahu memuat naik apa kerana hidupnya tiada apa yang menarik.

"Tak perlu minta maaf. Itu hak awak."

Suasana menjadi senyap sunyi. Hanya bunyi kapal yang bergolak ditolak air laut.

"Awak... Apa khabar, Elya?" Rambutnya beralun lembut ditolak angin.

"Alhamdulillah, baik. Awak?" soal Elya kembali.

"Saya pun alhamdulillah baik juga. Saya rasa seronok dapat berjumpa awak semula, Elya." Senyumannya melebar apabila mata Elya membesar tatkala ayat terakhirnya dilontarkan.

Dia menyedut air coklat itu sehingga berbunyi kuat kerana kotak sudah kosong.

Meor terus tertawa kecil. Air kotaknya yang masih tidak diminum, dicucuk dengan penyedut yang baru lalu dihulurkan kepada Elya.

"Kenapa awak cari saya?" Huluran disambut seraya persoalan dilontarkan. Kepalanya terdongak sedikit memandang wajah itu.

Berapa tinggi Meor, eh? Nampak seperti lebih tinggi berbanding kembarnya, Elyas.

"Boleh saya bagi jawapan kepada pelawaan awak sembilan tahun dulu, Elya?" Matanya menikam lembut anak mata Elya yang terpinga-pinga.

"Hah?"

"Elya Tihani... Saya, Meor Muhammad Ghazi sudi menjadi kawan awak bermula hari ini." Senyumannya mula terukir dengan ikhlas.

Elya terkebil-kebil dengan bibir yang masih mengulum penyedut air coklat itu.

"Awak serius?" tanya Elya, cuba memastikan apa yang dia dengar.

Meor angguk kecil. "Serius."

"Jadi... Selamat menjadi sahabat Elya Tihani, Meor." Senyuman gadis itu turut tertarik lebar. Hatinya turut berasa tenang dan bahagia dengan situasi itu.

"Terima kasih sudi jadi kawan Meor Muhammad Ghazi, Elya."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience