BAB 9

Romantic Comedy Series 894

ELYA menjatuhkan duduk di lantai sebelum menyedut airnya dari dalam botolnya yang berwarna hijau lembut. Peluh yang merenik di dahi dia lap menggunakan belakang tangan.

Matanya mula meliar di gim itu sambil mengibas wajah yang terasa panas. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke gim itu selepas beberapa minggu berhempas pulas dengan masalah yang berlaku dengan sistem perpaipan.

Meor juga sudah lama dia tidak berjumpa. Tiada sebab bagi dirinya untuk bertemu dalam keadaan yang sibuk seperti ini. Elya juga sudah memaklumkan bahawa tiada kelas matematik dalam masa dua tiga minggu yang mendatang kerana dia perlu turun ke lapangan.

Telefon yang berdering, mematikan lamunan dia buat seketika. Nama mama yang terpampang di skrin menarik senyuman Elya. Bijak sungguh mama meneka waktu yang tepat untuk menelefonnya. Seperti tahu-tahu saja talian telefon sudah dapat digunakan hari ini.

Tanpa menunggu lama, Elya menarik ikon hijau itu ke kanan dan dibawa ke telinga.

"Helo, assalamualaikum mama." Elya menyapa ceria sebelum menyandarkan belakang badannya ke dinding.

"Waalaikumussalam, anak mama. Eya sihat? Lamanya mama tak dengar suara anak sulung mama ni. Rindunyaaa." Suara Taliya yang masuk ke gegendang telinga tanpa ganggung menambahkan rasa bahagia di hati.

"Macam tak biasa ma, line baru ada ni. Mama sihat tak? Babah ada dekat rumah ke?" Elya merehatkan kepalanya sehingga terteleng dan rapat ke dinding bahagian kiri.

"Alhamdulillah mama sihat aje. Babah mana ada dekat rumah. Dia dekat laut Dubai sana. Tinggal mama dengan Elqar je dekat rumah," adu Taliya sambil memuncungkan sedikit bibirnya.

"Suruh babah pencenlah, ma. Lagi dua tahun babah nak masuk angka enam dah. Risaulah asyik pergi laut lagi lepas tu tinggal mama sorang-sorang kat rumah. Bukannya babah tak ada duit pun, kalau tak cukup Eya pun boleh kasi." Elya membebel panjang tatkala mendengar perkhabaran dari sang mama.

Babahnya itu memang tidak tahu duduk diam. Cinta lelaki itu terhadap laut sangat kuat sehingga di umur sebegitu pun dia masih mahu bekerja.

"Dah berbuih mulut mama cakap. Siap naik tangan lagi berisyarat untuk bagi dia faham tapi babah sengih aje. Nanti Eya ajelah cakap dengan babah. Dengan anak sulung dia, dia mahulah dengar cakap. Dengan mama ni mana dia nak dengar sangat."

Elya terus melepaskan tawa geli hati mendengar aduan cinta hatinya. Sudah bernikah berpuluh tahun pun, isu ini masih tidak mempunyai jalan penyelasaian.

"Nanti Eya cakap dengan babah, okey? Mama janganlah risau," pujuk Elya lembut.

Sesekali dia memintal hujung tudungnya tanpa dia sedar. Bibir itu pula tidak mampu terhapus senyuman geli hati mendengar segala aduan mama tentang keluarga kecil mereka.

"Eya bila nak balik? Mama rindu anak perempuan mama. Kat rumah ni semua lelaki yang tak vibe!" Taliya terus menjatuhkan duduk di atas sofa di sebelah anak lelaki bongsunya yang tertidur di situ.

"Insya-Allah, Eya balik next week. Dari airport Kuala Terengganu terus ke KLIA 2. Mama tunggu je nanti Eya sampai depan rumah." Elya sudah tidak sabar mahu pulang dan main game! Berbulan-bulan dia meninggalkan darat, minggu depan ialah masanya untuk masuk ke dalam permainan video kegemarannya.

"Minggu depan? Tak sabarnya mama nak peluk anak mama. Eya ada nak makan apa-apa tak nanti?" Jiwa tua itu sudah teruja menanti kepulangan satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Sudah lima bulan anaknya itu berada di tengah laut dengan khabar yang samar-samar. Kini, Elya akan kembali.

"Ma, Eya nak Laksa Kedah boleh ke?" Bercahaya matanya tatkala menyuarakan nama makanan yang dia inginkan. Ah, sedapnya kalau dapat makan laksa!

"Nanti mama keluar dengan Elqar cari barang. Kerja elok-elok tau, Eya. Jaga diri, jangan buat benda bukan-bukan dekat sana. Mama ni jauh nak pantau, nak boleh call Eya pun susah. Eya sorang je anak perempuan mama, permata mama. Walaupun mama jarang cakap pada Eya, tapi mama sayang Eya sangat-sangat." Taliya tersenyum nipis dengan ayat terakhirnya.

Anak perempuannya itu sangat berbeza jika mahu dibandingkan dengan Elyas. Elya lebih banyak memendam berbanding Elyas yang sangat ekspresif. Kata sayang bagai perkara yang memalukan untuk Elya ungkapkan, sama seperti dirinya dulu. Dan dia sangat faham perasaan Elya.

"Mama tahu tak... Eya dah jadi cikgu matematik dekat platform ni," maklum Elya sebelum tertawa kecil apabila wajah Meor dengan dahinya yang berkerut muncul di minda.

"Eh, Eya ajar siapa? Ikan duyung?"

Tawa kecil Elya mula bertukar kuat sehingga menebar ke seluruh pelosok gim. Orang yang berada di situ mula menoleh ke arahnya.

Elya terus tersengih lalu mengangkat tangan untuk meminta maaf.

"Bukanlah ma, ini kawan Eya waktu sekolah menengah dulu. Dia pun kerja dekat platform sama dengan Eya. Lepas tu dia suruh Eya ajar dia math sebab dia suka. Jadi, Eya pun ajarlah dia." Panjang Elya menerangkan kepada sang ibu sehingga terdengar bunyi 'o' panjang di hujung telinga.

"Ada juga makhluk pelik macam dia eh? Tak boleh fikir mama dengan orang yang nak belajar math saja-saja ni. Gamaknya hidup dia bosan sangat kut ye?" Taliya menggelengkan kepalanya berkali-kali mengenangkan kawan yang disebut anaknya tadi.

Pelik sungguh. Anak siapalah tu.

"Dia cakap math dia waktu dekat KV dulu simple sangat. Dia tak puas." Bibirnya tersenyum lebih lebar apabila ayat Meor berlegar-legar di dalam otaknya.

"Lelaki ke perempuan tu, Eya?"

"Lelaki, ma."

"Mama pernah jumpa dia ke?" Kening Taliya hampir bertaut, cuba mengingat jika Elya pernah membawa kawan-kawannya ke kafe. Namun, memori yang ada hanyalah kawan-kawan perempuannya sahaja.

"Tak pernah, ma. Dulu dia pindah sekolah sebab tu mama tak pernah jumpa dia."

"Lah ya ke? Hensem tak?" Taliya cuba menguji anaknya sendiri. Elya terdiam dengan soalan mama. Ini soalan ke perangkap daripada Puan Taliya Fariha?

"Ma..." rengek Elya panjang.

"Apa? Mama tanya aje. Mana tahu boleh kenenkan kawan Eya dengan anak jiran sebelah ni ke, kan? Boleh jadi jodoh dia, ye tak?" tambah Taliya lagi dengan geli hati.

"Ma... Takkan Eya nak berjiran dengan kawan Eya sendiri nanti? Tak naklah! Nanti asyik nampak muka dia. Dekat laut muka dia, dekat darat muka dia. Nanti tak lalu nak makan." Elya memuncungkan bibirnya tanpa sedar.

"Kalau dah bernikah, takkan dia nak duduk dengan mak dia lagi? Sudah semestinya dia akan pindah kan? Jadi, tak adalah selalu sangat Eya berjumpa dengan kawan Eya tu. Tak muak."

Elya mengetap bibir dengan ayat mamanya. Dia dah mulalah tu nak merepek. Ya Allah...

"Ma... Jangan teruskan, please. Nanti Eya kena makan panadol," rayu Elya sambil memicit hujung dahi.

Dan-dan Taliya melepaskan tawa besarnya sehingga Elqar yang sedang tidur terjaga.

"Okey, sorry sayang. Mama sengaja nak usik anak mama yang stoned ni. Rindu."

"Takpe, ma. Eya dah biasa."

Makin kuat tawa Taliya dengan respons selamber Elya.

"Mama jangan lupa doakan Eya selalu tau?" ucap Elya dengan mata yang sudah tertutup, menahan rasa sebak di dalam dada yang tiba-tiba muncul.

Terus hilang tawa yang tersisa apabila mendengar suara anak perempuannya itu.

"Mama tak pernah lupa doakan anak-anak mama. Eya jangan lupa makan. Kerja kerja juga, kesihatan perlu jaga. Mama risau dengan Eya sebab Eya selalu lupa makan. Nanti Eya sakit, siapa yang nak jaga Eya dekat sana?" Taliya mula membebel apabila teringat satu sikap anaknya yang boleh memudaratkan diri itu sendiri.

Elya terus mengemam bibir apabila setiap ayat mamanya bagai jatuh terkena di batang hidung sendiri. Dia terus menggigit sedikit lidahnya.

"Jangan risau, ma. Eya makan dekat sini. Makanan semua sedap-sedap sebab ada cef baru masuk. Jangan risau, okey?" Elya cuba meyakinkan mamanya walaupun dia sudah menipu.

Entah kenapa, dia susah untuk memikirkan diri sendiri jika ada perkara lain yang lebih penting menunggu di depan.

"Janji?"

"Ya, ma. Eya janji Eya makan." Dia mengangguk kecil walaupun gerangan mama tidak bakal nampak anggukan itu.

"Okeylah kalau macam tu, mama nak kena masak makanan tengah hari ni. Mama letak dulu. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam, mama." Dan, panggilan mereka terus putus. Elya terus membuka matanya sebelum jantungnya bagai berhenti berdegup seketika.

Meor yang santai berpakaian tshirt dan seluar trek sedang duduk bersila di hadapannya sambil menopang dagu. Mata lelaki itu memandang tepat wajahnya tanpa berkelip.

"Awak buat apa dekat sini?" soal Elya lalu terus duduk tegak. Berapa lama Meor ada di sini? Dia dengar ke semua perbualannya dengan mama tadi?

"Masak nasi." Meor terus mengubah kedudukannya. Kedua-dua tangan digenggam perlahan di riba sendiri.

"Meor..." Hampir terlepas keluhan Elya mendengar loyar buruk lelaki itu.

"Saya nak buat cardio hari ni. Tak sangka awak pun ada dekat sini lepas hampir seminggu tak nampak batang hidung," jawab Meor panjang sambil meneliti wajah Elya yang sedikit gelap berbanding sebelumnya.

"Oh, awak selalu datang gim ke?" soal Elya penuh minat. Perlian lelaki itu hanya dia abaikan.

Meor hanya angguk sebagai jawapan.

"Saya tak pernah nampak awak pun?" Kening Elya terangkat sebelah.

"Saya selalu datang bila bukan turn saya dekat galley. So, dalam seminggu tu mungkin dua tiga kali je saya datang." Gerak-geri Elya yang tidak senang duduk dia perhati dalam diam.

"Patutlah kita tak pernah terserempak, saya datang sini sebulan dua kali je." Gadis itu terus tersengih sebaik saja habis ayat itu. Meor hanya menepuk dahi gaya dramatik.

Tanpa menunggu lama, Elya terus bangun dan mencapai botolnya.

"Saya nak balik bilik dulu, Meor."

"Awalnya," pintas Meor laju. Dia mendongak untuk memandang Elya sebelum dia turut sama berdiri.

"Saya dah lama dekat sini. Dah tak selesa sebab berpeluh." Elya berkata jujur. Dia takut badan dia berbau peluh.

"Okey."

"Bye." Elya melambai ke arah lelaki itu sebelum bergerak perlahan ke arah pintu gim.

"Elya." Panggilan itu mematikan langkah Elya. Dia kembali menoleh ke arah Meor yang sudah mendekat.

"Kenapa?"

"Lunch nanti turun mess. Ada nasi ayam. Jangan tipu mama awak lagi. Datang makan tau, saya tak nak awak sakit." Meor memesan dengan wajah yang serius lalu dia meninggalkan Elya yang terpinga-pinga di depan pintu.

"Ah, Meor dengar! Aduh!"

Elya mengetuk kepalanya perlahan apabila perkara yang ditakutkan terjadi. Meor telah mendengar perbualannya bersama mama.

Share this novel

Seri
2026-04-19 09:14:58 

Next pls


NovelPlus Premium

The best ads free experience