BAB 10

Romantic Comedy Series 894

BARU saja kakinya menapak di darat, tiba-tiba terdengar namanya diseru kuat dari arah belakang. Angin yang bertiup mengalunkan selendang yang Elya pakai. Dia terus menoleh ke belakang dengan dahi berkerut seribu.

Meor yang sedang menggalas beg pakaiannya serta menarik bagasi, berlari anak mendekati Elya yang sudah berhenti di tengah lapangan itu.

"Fuh, kenapa awak laju sangat jalan?" tegur Meor sambil menolak cermin matanya ke dalam. Wajah Elya dipandang sebelum tersengih tak bersalah.

"Kenapa? Saya nak kejar flight," balas Elya senada.

"Flight pukul berapa?" soalnya lagi. Kini, mereka berjalan beriringan untuk keluar dari kawasan itu sebaik saja tiba daratan setelah enam bulan berada di tengah laut Terengganu.

"11 malam." Tanpa menoleh, dia berjalan ke hadapan dengan kadar kelajuan yang biasa—untuk dirinya.

"What?" Terhenti langkah kaki Meor mendengar jawapan yang terbit dari bibir gadis itu. Dia memandang Elya dengan penuh tanda tanya.

"Apa?" Kening terjungkit sebelah. Tangannya sibuk membuka aplikasi e-hailing untuk menempah kenderaan untuk bergerak.

"Elya, sekarang baru pukul 10 pagi tau?" Meor memberitahu dengan nada lembut. Mungkin Elya tersalah tengok jam penerbangannya. Manalah tahu, kan?

"Tahu."

Your booking was successful. Bibir Elya tersungging satu senyuman kecil. Kereta sewa sudah dia tempah.

"Lepas tu kenapa awak nak cepat-cepat nak kejar flight? Kan lambat lagi?"

Ya Allah, dia tidak dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran gadis yang ber-coverall biru di sebelahnya itu. Fikiran gadis itu unik dan... sulit.

"Dah tu? Awak nak saya kejar awak ke apa?" balas Elya sinis. Kepalanya diangkat untuk melihat sedikit wajah Meor yang terpinga-pinga.

"Taklah... Saya malas nak lari sekarang ni." Sengihan mula tertarik di wajah lelaki itu. Elya selalu sinis begini disebabkan soalan bodoh yang dia rasa tidaklah bodoh mana.

Kan? Tak bodoh, kan?

"Not funny, Meor." Lelaki itu dijeling sekali lalu sebelum bergerak ke kawasan berbumbung. Panas yang menyengat terasa seperti mengoyakkan kulit mukanya.

"Sorry, Elya. Tapi awak nak ke airport terus ke?" soalnya lagi setelah mereka melabuhkan duduk di kerusi kawasan hentian bas. Wajah Elya dipandang selagi dia tidak menerima jawapan.

"Saya nak pergi Pasar Payang sebelum ke airport." Kali ini, Elya jujur sahaja kerana dia tidak mahu membiarkan lelaki itu berteka-teki lagi. Dia lelah mahu menjawab.

"Nak ikut boleh ke?" Matanya bercahaya penuh harapan agar Elya memberi izin untuk dia ikut sekali.

"Ada Adee dan Amir sekali. Boleh?" Pandangan mata mereka bertembung. Kening Elya terjungkit secara automatik apabila terpandang wajah lelaki itu.

"Boleh... tapi saya tak kenal diorang." Meor menggaru belakang kepalanya apabila nama dua orang yang disebut oleh Elya itu terasa asing di telinga.

"Kejap lagi kenallah tu."

"Saya takutlah nak berkawan dengan engineer. Saya ni cef biasa aje..." Rasa rendah diri mula menjalar dalam jiwa.

Wajah Elya mula berubah dengan ayat yang dilontarkan Meor itu tadi. Begitukah apa yang dirasakan oleh orang lain apabila berada dekat dengan mereka?

"Kenapa rasa macam tu? Engineer ke... Chef ke... Semuanya manusia juga, hamba yang hina juga di mata Allah. Jadi, jangan insecure." Elya bernada tegas. Dia tidak suka orang yang merendahkan diri sendiri di hadapannya.

Kenapa perlu sampai begitu rupa?

Meor menggigit dalam pipi apabila dia dapat nada suara Elya yang sudah berubah. Dia telah membuat gadis itu marah.

"I only have diploma, Elya... You guys degree holder kot? Macam mana saya tak rasa kerdil bila keluar dengan korang."

"Tinggi macam zirafah ada hati nak rasa kerdil. Tak perlu rasa macam tu, engineer tengok orang macam biasa aje. Tak adanya kami lepak lepas tu tetiba minta transkrip diploma atau degree. Tak ada, Meor. So, chill. Ke awak nak saya lempang muka awak, baru awak nak sedar diri?" Tanpa sengaja, Elya membuat muka dan berdecit kuat.

Meor yang mendengar secara tiba-tiba menyungging satu senyuman kecil. Dia terhibur dengan cara Elya cuba memujuk dirinya.

"Terima kasih, Elya."

"Elya! Kau dah book kereta sewa ke?" jerit Adeesarn yang entah dari mana. Tercungap-cungap lelaki itu tiba bersama Amir yang sedang membawa bagasi mereka bersama.

"Dah. Kau apa hal lambat?" jawab Elya lalu terus berdiri sambil mencekak pinggang kanan.

"Aku sakit perut. Aku suruh Amir jagakan barang aku." Adeesarn hanya jujur untuk mengelakkan gadis itu meletup walaupun Elya jarang mengamuk.

"Waktu-waktu macam ni lah kau nak sakit perut pun. Macam tak ada waktu lain nak melabur," perlu Elya sambil melihat ke skrin telefonnya.

"Panggilan alam, takkan aku nak tahan?" balas Adeesarn lagi tanpa mahu mengalah.

Amir yang tidak masuk campur terus duduk di sebelah Meor yang tidak bersuara.

"Bro, kawan Elya ke?" tegur Amir sambil menghulur tangannya untuk bersalam.

Meor mengangguk laju lantas menyambut huluran itu. "Ya, betul."

"Bahagian mana?" soal Amir.

"Galley je," jawab Meor merendah diri.

"Oh, kau cef baru yang viral sebab hensem tu eh?" Tanpa berselindung, Amir terus menyoal dengan wajah terujanya.

Serta-merta kulit muka Meor berubah merah. Pipinya terasa panas dengan soalan itu. Terus dia menolak cermin mata ke belakang dengan penuh malu.

"Allah, mana ada." Belakang leher digaru sebelum menoleh ke arah Elya yang masih lagi beradu mulut dengan Adeesarn.

"Kau dah tersebar dekat geng engine, mana ada apanya?" Amir tergelak kecil melihat riak wajah terkejut lelaki di sebelahnya itu.

"Kenapa tersebar pula?" Laju Meor menyoal kembali. Jantungnya berdegup kencang dengan ayat Amir. Dia rasa dia tidak pernah buat kesalahan besar sehingga namanya disebut-sebut oleh geng jurutera di atas platform sana.

"Macam aku cakap tadi, kau hensem. Dan kau berkawan dengan Elya, manusia paling stoned atas laut tu. So, itu penyebabnya." Dia terus bangun dan menggalas beg apabila Adeesarn melambai untuk ke arah kereta sewa yang baru tiba.

"Jom," ajak Amir apabila melihat Meor yang masih tersipu seorang diri di situ.

"Ah, okey." Dengan tergesa-gesa, Meor bangun dan mencapai begnya. Dia melangkah laju ke arah mereka dengan senyuman yang terpampang di wajah.

"Ha, Meow! Kau duduk dengan Elya dekat belakang. Boleh?" tegur Adeesarn sebaik saja Meor sampai di bahagian but kereta.

"Ha? Ha boleh boleh."

"Meor bukan Meow. Kau kenapa, Adee?" Elya menggeleng kepalanya sebelum meloloskan diri masuk ke dalam kereta di bahagian belakang kanan.

"Eh, takpe," pintas Meor laju sambil tersengih.

"Mantap, jom gerak! Meow jangan malu-malu dengan kitorang, let's enjoy our journey to Pasar Payang!" kata Adeesarn dengan penuh teruja seraya memakai tali pinggang keledar.

"Bising betul. Dekat laut tahu pula diam," kutuk Elya perlahan sambil meletakkan begnya di tengah-tengah antara dia dan Meor. Kepala disandarkan ke pintu untuk melelapkan mata.

Meor hanya melihat tindakan itu dalam diam tanpa menegur Elya yang kelihatan letih.

Selamat tidur, Elya.

maaf lama tak update

Share this novel

Aryanie
2026-06-16 09:06:26 

hahaha meor jadi meow... cute jer hehe


NovelPlus Premium

The best ads free experience