BAB 8

Romantic Comedy Series 894

"MEOR, cikgu kau dah sampai tu," beritahu Lekir sebaik saja di baru tiba di galley dengan wajah yang sudah tersenyum senget memandang pemuda yang masih bertungkus-lumus menyiapkan makanan supper.

Menu pada malam ini ialah soto ayam. 

"Bila dia sampai?" soal Meor sambil mengacau periuk besar yang berisi kuah soto yang menggelegak hebat.

Lekir terus menjongketkan bahunya tanda tidak tahu. "Aku sampai tadi dia memang dah ada di meja hujung dinding tu."

"Biarlah dia kejap, kuah ni dah nak siap. Ayam pun saya dah carik-carikkan, abang boleh tolong masukkan ke dalam tray tak?" arah Meor selepas merasa kuah yang dimasakkan sehingga berkerut dahi. Hm, sedap. Pass!

"Begedil dah goreng?" soal Lekir dengan tangan yang cekap memasukkan satu bekas racikan daging ayam ke dalam tray besi yang sudah disediakan oleh Meor di hujung galley.

"Tengah goreng ni ha. Abang tak bau ke betapa sedapnya begedil saya yang montok-montok ni?" tanya Meor sambil menjungkitkan keningnya banyak kali. Sengaja dia mahu mengusik lelaki itu yang sudah berdecit kuat setelah mendengar ayat masuk bakul angkat sendiri itu.

"Perasan. Pasal aku tak bau tu lah aku tanya."

"Hidung abang tersumbat tu, esok pergi sickbay minta ubat," balas Meor bersahaja lalu menutup api kuah sotonya. Dia menggoreng begedil yang terakhir sambil mula memasukkan kuah ke dalam bekas besar yang bakal dibawa ke mess sebentar saja lagi.

"Malas aku layan kau ni." Lekir terus bergerak ke mess meninggalkan Meor yang terkekeh-kekeh ketawa seorang diri di hadapan kuali yang bersuhu tinggi. Dia menggelengkan kepalanya perlahan lalu mengalihkan batch terakhir begedil kentang itu. Warna dan bau yang cantik menaikkan lagi seleranya.

"Haih, sedapnya. Tak sabar nak bagi cikguku rasa." Ceria dia bercakap perlahan seorang diri dengan sengihan yang melebar. Kini, sudah dua bulan dia belajar bersama Elya dan dia sudah mahir persamaan kuadratik. Berilah dia bermacam-macam jenis soalan pun, dia sudah dapat menjawab dengan yakin dan mahir!

"Aih, dah gila ke bercakap dengan kuali?" tegur Lekir yang sudah kembali semula ke dapur itu. Dia baru menghidang makanan di hadapan dalam masa yang sangat singkat, cef muda ini sudah hilang akal?

"Astaghfirullah, mulut abang. So bad..." Meor langsung mengaut kesemua begedil yang berbaki lalu menutup api dapur. Begedil itu ditoskan sehingga kering minyaknya sebelum disusun cantik ke dalam tray yang hampir penuh dengan begedil yang lain. 

"So bad lah, apalah. Ke tepi sikit, aku nak bancuh air." Belakang Meor ditepuk separa kuat sebelum dia mula mencari bekas air.

"Saya nak pergi mess, bang. Minta steward bawakan cili kicap tu nanti. Terima kasih, bang!" Meor terus bergerak santai ke mess hall sambail menatang satu dulang penuh begedil yang masih panas. 

"Nak pergi jumpa aweklah tu!"

Sayup-sayup kedengaran suara Lekir sedang mengejeknya, namun dia hanya buat bodoh dan tertawa kecil. Apa yang si cef senior tu tak puas hati dengannya pun dia tidak tahu. Apalah nasib badan.

Usai meletakkan dulang tadi di meja buffet, Meor terus mencari steward yang baru selesai mengelap meja dan mengarahnya untuk mengambil beberapa bahan makanan yang belum dibawa ke mess. Ucapan terima kasih menjadi akhir perbualan mereka sebelum Meor melangkah laju ke arah Elya yang sudah melentokkan kepalanya di meja.

"Knock, knock, knock." Meor mengetuk meja itu perlahan sambil membuat bunyi untuk menganggu gadis itu.

"Who's there?" Elya hanya melayan malas dengan mata yang masih tertutup. Dia letih kerana dia baru pulang dari melawat pipeline bersama Amir sejak dari pagi tadi.

"Your student!" jawab Meor bersahaja. Dia menarik kerusi di depan Elya dan duduk sambil menopang dagu dengan mata yang tidak lepas memandang kepala Elya yang bertudung royal blue, sama seperti warna coverall-nya ketika itu.

"Who? The math-nerd one?" Elya terus mengangkat kepalanya dari meja lalu terus bersandar ke kerusi. Matanya hampir kuyu kerana letih, namun tetap memandang wajah bersih Meor yang memerhatinya tanpa lepas.

"Saya masih nerd ke?" soal Meor. Jemarinya mengetuk-ngetuk meja perlahan.

"Awak tak sedar diri ke? Nerd awak tu tak pernah berkurang tau," perli Elya dengan wajah selamber.

"Saya rasa saya makin cool, Elya." Kedua-dua lengannya direhatkan ke atas meja. Matanya berkerdip laju melihat Elya yang sedikit tidak bermaya pada pandangannya.

"Cool tahi kucing awak. Makin hari makin banyak soalan awak tanya saya tau. Yang matematik tu memang tak boleh nak buat apa, memang saya dah janji nak ajar awak. Tapi bila awak tanya macam mana saya jaga paiplah, macam mana saya control sistemlah, macam mana itu macam mana ini. Itu menambahkan your nerd-iness. Sangat curious dengan macam mana dunia ini berfungsi. Itu tak masuk lagi kalau awak tiba-tiba buka sejarah. Fuh, berat otak saya nak tampung, tahu tak?" balas Elya panjang sambil membuat muka.

Meor yang mendengar hampir ternganga sedikit. Selama ini dia macam itu ke? Kenapa dia tak perasan?

"Memang saya macam tu ke, Elya?" soalnya polos.

"Yes. Absolutely, it's you. No one else could make me migraine. Only you, Meor Muhammad Ghazi." Dengan wajah biasa dan tenang, Elya berkata jujur sehingga wajah Meor berubah.

"Awak ada ubat migraine tak, Elya? Kita ada lagi sebulan sebelum balik. Mampu bertahan lagi tak dengan perangai saya ni, Elya? Saya nak jumpa awak setiap hari tau. Tolonglah jangan migraine." 

Elya terus memicit dahinya mendengar segala persoalan yang dilontarkan oleh Meor itu. Dia bergurau aje, kenapa lelaki ini terlalu mengambil serius dengan apa yang dia cakap?

"Tak ada," jawab Elya pendek.

"Sekarang awak tengah sakit kepala ke?" Meor sudah tidak senang duduk melihat tindak-tanduk Elya.

"Haah. Semuanya sebab awak," tambah Elya lagi.

Meor terus bangun dari duduknya. Apron di pinggang terus dicabut dan diletakkan ke atas meja. Elya terus terpinga-pinga dengan tindakan lelaki itu sehingga berkerut dahinya.

"Awak nak pergi mana?" soal Elya apabila lelaki itu berura-ura mahu meninggalkannya.

"Saya nak pergi sickbay, nak minta ubat migraine untuk awak. Tunggu kejap tau, nanti saya datang balik." Meor terus melangkah laju ke arah pintu mess.

Namun belum sempat dua langkah, terasa hujung lengan bajunya ditarik kuat. Dia terus menoleh dengan wajah yang terpinga-pinga. Jemari Elya yang berada di hujung bajunya dia lihat berkali-kali sebelum suara gadis itu menghentikan suasana sunyi di antara mereka.

"Meor... duduk sini, please." Elya berkata senada.

"Tapi awak sakit, Elya. Kalau malam ni melarat macam mana?" Meor terus berasa risau.

Tanpa menunggu lama, Elya langsung berdiri dan menarik hujung lengan baju lelaki itu kuat lalu menekan bahu Meor untuk duduk di tempatnya tadi. Dia hampir terjinjit disebabkan Meor yang lebih tinggi daripadanya.

"Elya."

"Meor, saya tak sakit. Serius, saya tak sakit. Awak tak perlu ke sickbay." Setiap perkataan yang terbit daripada bibirnya, dia tekan supaya lelaki itu faham bahawa dia bergurau.

"Betul ke? Awak jangan sembunyi sakit awak dari saya." Lelaki itu masih ragu-ragu.

Elya menghembus nafas berat sebelum menjatuhkan duduk berhadapan Meor. Dia terus menopang dagu, memandang lelaki yang begitu mudah itu dipergunakan.

"Betul. Saya tipu awak aje, saya tak ada migraine pun. TAPI, saya boleh dapat migraine dengan perangai awak yang annoying ni tau." Matanya menikam tajam anak mata Meor yang terhalang dek cermin matanya.

"Awak jangan jadi super polos sangat Meor, nanti awak kena buli lagi. Saya tak suka tengok kawan baik saya kena buli dengan orang lain." Elya berkata serius sembari merehatkan lengannya di meja.

Meor terus mengulum senyuman dengan ayat-ayat gadis itu. Dia tidak terasa langsung, namun dia geli hati dengan perangai Elya.

"Awak tahu tak, Elya?" Meor memulakan bicaranya.

"Tahu apa?"

"Awaklah kawan yang kuat buli saya dekat sini. Tak ada seorang pun yang buli saya kecuali awak. Jadi jangan anggap saya super polos sangat eh? Saya bukan Meor waktu kita sekolah dululah, Elya. Saya dah besar, saya dah jadi lelaki yang awak boleh harap walaupun nerd dan annoying seperti yang awak cakap. But as long as I talk only about academic or current issues, it doesn't make me THAT annoying, right? I have to use my brain for good things only. " Hujung bibirnya ternaik senyuman senget apabila Elya terdiam seperti menghadam apa yang dia katakan.

'Betul juga tu. Aku rasa dia annoying kenapa eh?' Elya bercakap-cakap di dalam hati sendiri, bagai mencari di mana perangai annoying seorang Meor seperti yang mulutnya laju melontarkan perkataan itu. Ah, bibir ini selalu mengkhianati tuannya!

"Sorry Elya kalau awak rasa saya annoying. Saya selesa dengan awak sebenarnya sebab itulah saya jadi macam ni. Salah satunya sebab saya suka berbual hal-hal baru dengan awak. Tentang pelantar ni, tenang pipe dalam laut dalam tu. Tentang kuadratik."

Elya terus tersenyum kecil dengan ayat terakhir itu. Dia nak juga selitkan bab yang paling susah Elya ajar Meor.

"Sebenarnya awak tak annoying pun, Meor. Saya terlepas cakap sebab saya terlampau letih hari ni. Sorryyy..." Panjang perkataan maaf itu diucapkan dengan kepala yang menunduk ke bawah. Tidak mampu dia melihat wajah Meor yang sudah tersenyum kemenangan apabila perkataan itu menerjah telinganya.

"Wow, susah seorang perempuan nak minta maaf ni. I won!" ujar Meor dengan teruja sehingga ternaik kembali dengan wajah merah menahan geram dan malu.

"Dahlah! Tampar karang baru tahu," marah Elya sembari menampar lengan Meor kuat. Ha, puas hati.

"Baru tadi aje minta maaf, sekarang dah tampar saya." Meor mengusap lengannya yang terasa pedih. Tangan cap apa ni?

"Awak yang cari pasal!"

"Saya cakap macam tu aje, dah jadi cari pasal ke?" Meor mengerutkan dahinya. Oh, sungguh dia tidak mengerti dengan manusia berjantina perempuan.

"Diamlah, Meor. Awak nak makan stoking ke?" Elya menjeling Meor tajam.

"Awak stres sangat ke kerja tadi? Nak cerita dekat saya tak?" Meor terus menyoal apabila melihat raut wajah Elya yang lain sedari tadi, tidak setenang selalu.

Elya terus menggeleng laju dengan dada yang terasa ketat secara tiba-tiba. Ya, dia ada masalah. Namun, dia tidak mahu menceritakan masalahnya kepada Meor. Cukup dia seorang saja yang tahu.

"Kalau macam tu, nak makan?" Meor belum berhenti berusaha memancing gadis itu.

"Awak masak ke hari ni?" soal Elya. Meor hanya menangguk sebagai jawapan.

"Awak masak apa hari ni?" Matanya terus naik mencari wajah Meor.

"Soto ayam. Nak tak?" 

Elya mengangguk laju.

"Saya belum makan dari pagi tadi." Perutnya sudah terasa pedih, meminta untuk diisi makanan.

"Kenapa selalu tak makan ni? Bahaya tahu tak. Duduk sini, saya pergi ambilkan awak makanan." Meor terus bangun mendadak dengan alasan Elya tadi.

"Eh, saya boleh ambil sendiri!" suaranya sedikit kuat apabila Meor telah menjauh.

"Duduk ajelah situ, banyak bunyi pula awak ni." Meor terus mengeluarkan penumbuknya dari jauh. Elya terus membuat muka sebelum kembali bersandar pada kerusi. Sesungguhnya dia sangat letih, kepalanya juga terasa sangat berat dengan permasalah yang berlaku pada sistem perpaipan yang agak teruk pada kali ini. Namun dia yakin, dia dapat menyelesaikan masalah ini dengan timnya yang lain.

"Selamat menjamu selera, Elya Tihani." 

Satu mangkuk soto ayam bersama tiga begedil kentang diletakkan di hadapan Elya. Sambal hitam yang dimasukkan asing ke dalam mangkuk kecil turut diletakkan bersebelahan soto. Satu gelas air ribena ais turut disusun di kiri mangkuk soto tanpa banyak bunyi.

Elya hanya memerhati dan kagum sendiri dengan tindakan pantas lelaki itu.

"Kenapa tak makan lagi?" soal Meor apabila dia kembali ke meja bersama satu gelas air ribena untuknya.

"Awak tak makan?" soal Elya.

"Tak. Saya dah kenyang bau aroma makanan di galley." Meor berseloroh, tetapi dia sememangnya sudah kenyang. Lagipun dia jarang makan malam demi menjaga badan sendiri.

"Saya makan dulu eh?" Elya meminta izin lalu membaca doa makan dalam nada perlahan namun dapat didengari di hujung telinga Meor. Terus tersungging satu senyuman kecil di bibirnya melihat gadis itu makan tanpa kawal ayu di hadapannya, sama seperti sembilan tahun yang lalu.

"Terima kasih Meor Muhammad Ghazi," ucap Elya secara tiba-tiba.

"Sebab?"

"Sebab awak ambilkan makanan untuk saya. Dan awak masak sedap sampai teringat masakan mama saya. Terima kasih." Elya tersenyum ikhlas sebelum kembali menjamu selera.

"Elya, saya rindu chicken chop mama awak." Meor terlepas kata sebelum dia mengemam bibirnya sendiri.

"Nanti awak boleh ke kafe mama saya. Pulut ayam dia lagi sedap berbanding chicken chop," kata Elya tanpa memanggungkan kepala.

"Oh ya? Nanti awak bawa saya ke kafe mama awak boleh?" Meor cuba mencucuk jarum.

"Boleh, nanti saya bawa."

Meor terus tersenyum lebar tanpa sempat menahan rasa gembira. Mahu jumpa mama Elya. Mahu makan pulut ayam!

maaf lambat update, tengaj adapt dengan dunia intern

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience