PROLOG

Romantic Comedy Series 894

"KENAPA tak turun rehat?"

Teguran itu mematikan tindak-tanduk pelajar lelaki yang baru saja mengeluarkan bekalnya dari bawah meja. Dia terus mendongak untuk memandang wajah yang menegurnya tadi.

"Meor Muhammad Ghazi, saya tanya kenapa awak tak turun rehat?" Wajah itu serius menanti jawapan daripada budak skema dengan cermin mata yang tebal.

"Saya... Tak suka tempat yang ramai orang," jawabnya seraya memandang tag nama yang dipin di tudung biru gadis itu.

Elya Tihani.

"Awak tahukan duduk di dalam kelas pada waktu rehat adalah kesalahan. Ini bukan kali pertama nama awak naik dalam kalangan pengawas. Awak tak takut kena denda ke?" tegas Elya berkata sebelum memeluk tubuh sendiri. Mata itu tajam menikam mata Meor yang sudah terkulat-kulat di tempat duduk sendiri.

"Saya minta maaf, Elya." Kepala Meor turus menunduk. Jarinya secara tidak sedar menolak cermin mata yang melorot jatuh dari batang hidung.

"Saya akan lepaskan awak kali ni."

Kata-kata itu mengejutkan Meor.

"Betul ke?" Matanya bercahaya penuh harapan.

Elya terus mengangguk laju dengan irisnya tidak lari dari menikam wajah Meor. Lelaki itu, budak kelas sebelah yang sentiasa berseorangan tanpa kawan. Sudah lama Elya perhatikan sehingga sekarang mereka sudah berada di tingkatan empat. Jadi, di awal tahun seperti ini, Elya cuba untuk menjadi kawan kepadanya.

"Tapi awak kena ikut saya. Bangun sekarang, bawa bekal tu sekali," arah Elya sambil turut mencapai beg bekalnya yang diletakkan di meja belakangnya tadi.

"Kita nak pergi mana, awak?" soal Meor polos. Dia hanya berjalan mengikut langkah Elya yang laju sambil memeluk bekal makanannya rapat ke dada.

"Awak..."

"Ikut ajelah saya. Jangan banyak bunyi." Elya menjeling sedikit ke belakang apabila lelaki itu tidak henti-henti menyoal ke mana tempat tuju mereka.

"Sorry..."

Elya hanya mengabaikan suara itu sebelum kakinya berhenti di satu wakaf kayu yang berdekatan dengan bangunan tingkatan dua.

Dia menoleh ke belakang dan memandang Meor yang sedang melihatnya pelik.

"Mulai hari ini, awak kena rehat dengan saya. Saya, Elya Tihani binti Ezrul Istafa nak jadi kawan awak, boleh ke?" Hujung bibir Elyas ternaik sedikit apabila melihat reaksi lelaki itu.

"Ka-kaw-kawan dengan saya?" Meor tidak dapat mengawal gagapnya dek kejutan yang diberikan oleh gadis cantik manis di depannya.

Mati-mati dia berfikir bahawa gadis ini akan membawanya ke bilik pengawas disebabkan kesalahan yang dia lakukan berkali-kali.

"Ya, kawan. Awak tak sudi nak berkawan dengan saya ke?" tanya Elya apabila dia sudah naik ke wakaf itu dan duduk bersila di depan meja yang sudah terbentang dengan bekal makanannya.

"Kenapa awak nak berkawan dengan saya?" Meor menggigit bawah bibirnya sambil menggengam erat bekas makanan.

"Sebab saya tak suka dengar orang mengutuk awak. Dan saya tertarik nak berkawan dengan awak, Meor." Sang gadis terus menopang dagu dengan matanya masih terarah pada Meor yang masih berdiri tegak di tepi wakaf.

"Maksudnya... Awak nak berkawan dengan saya sebab awak kesiankan saya? Awak simpati dengan nasib saya ke?" Meor mula berasa kecil diri.

Ah, kenapa semua orang perlu memandangnya sebagai orang yang sangat kasihan?

"Tak. Saya tak ada rasa kesian atau simpati. Saya nak berkawan dengan awak, sebab awak ialah Meor Muhammad Ghazi. Seorang pelajar bijak dan unik. Yang tak pernah nak ambil kisah tentang orang lain walaupun masih ada bisikan-bisikan tidak enak pelajar lain. Saya nak berkawan dengan awak sebab diri awak sendiri, Meor." Elya berkata jujur dan tanpa sedar bibirnya menarik satu garis senyuman kecil.

Meor yang mendengar terasa jantungnya berhenti berdetak. Dia terus mengangkat kepala sebelum mata mereka bertembung lagi. Dada semakin berdegup kencang.

"Meor... Jomlah kita makan, nanti waktu rehat habis," ajak Elya sambil menepuk meja wakaf itu berkali-kali.

"Oh, okey." Tergesa-gesa dia membuka kasut dan duduk berhadapan dengan Elya.

"Awak bawa apa?" Elya menjenguk ke arah bekas makanan Meor.

"Nasi goreng kampung." Bawah bibirnya digigit. Entah kenapa, dia berasa sedikit selesa dengan gadis itu. Dia berasa dirinya tidak diperhati dengan pandangan jelik pelajar-pelajar yang lain.

"Sedapnya! Mak awak masak ke?" Suara Elya menjadi ceria. Wajah Meor dia lihat seketika.

Meor hanya mengangguk laju.

"Awak pula bawa apa?" Lelaki itu cuba menjadi lebih ramah. Dia tidak mahu dicop sebagai sombong oleh pengawas sekolah di depannya itu.

"Nasi goreng Chicken Chop! Mama saya masak sedap tau. Nah, awak ambil ni sekeping." Elya terus meletakkan satu keping chicken chop itu ke dalam bekas Meor.

"Eh?" Badan Meor menjadi tegak.

"Cepat baca doa, Meor. Saya dah lapar ni!" arah Elya sambil menggosok kedua-dua tangannya.

Tanpa menunggu lama, Meor hanya menurut sebelum mereka menjamu selera menghabisi waktu rehat yang tersisa.

"Elya... Terima kasih untuk chicken chop ni. Sedap sangat," puji Meor dengan rasa malu yang menebal.

"Sama-sama! Awak tak nak bagi saya rasa nasi goreng awak ke?" pinta Elya sambil tersengih.

"Sorry... Rasalah," pelawa Meor sambil menolak bekalnya ke arah Elya. Gadis itu terus mencedok nasi goreng yang masih tinggal suku dengan perasaan teruja.

"Sedapnya!" puji Elya dengan mata yang hampir tertutup.

"Terima kasih." Wajahnya sudah terasa panas yang luar biasa.

Elya mengangguk dengan senyuman sebelum kembali fokus ke makanannya. Suasana antara mereka menjadi senyap sunyi dan hanya ditemani suara pelajar-pelajar yang lain.

"Nama penuh awak apa?" Elya kembali membuka bicara. Bekas makanan yang sudah licin, dia tutup dan dimasukkan kembali ke dalam beg kecil.

"Meor Muhammad Ghazi."

"bin apa?"

"bin Meor Mohd Adham," sambung Meor seusai mengelap bibirnya dengan tisu.

"Jadi... Meor Muhammad Ghazi bin Meor Mohd Adham, tak sudi ke jadi kawan Elya Tihani?" Kepalanya tanpa sedar sudah senget menanti respons lelaki di depannya.

"Awak..." panggil Meor.

"Ya?"

"Saya akan pindah sekolah minggu depan." Riak wajah Elya terus berubah.

"Pindah ke mana? Sebab apa?"

"KV di Perak. Sebab saya dapat masuk sekolah yang saya nak." Jemarinya sedikit menggigil dengan panahan mata Elya yang agak tajam itu.

"Jadi awak tak sudi berkawan dengan saya?" soal Elya lagi.

"Saya minta maaf, Elya. Saya hargai usaha awak tapi... Lebih baik kita kekal sebagai orang asing." Bibirnya ternaik satu senyuman kekok.

Kenapa pada waktu dia mahu meninggalkan sekolah itu, hadirnya Elya yang sanggup bersahabat dengannya?

"Tapi saya nak berkawan dengan awak je..." Bibirnya sudah terjuih sedikit dengan respons Meor.

"Maaf Elya. Kalau ada rezeki, kita jumpa lagi nanti. Terima kasih sudi ajak saya rehat sekali dengan awak. Maaf saya terpaksa tolak pelawaan awak." Riak wajah Elya semakin keruh dengan ayatnya tika itu.

Tanpa menunggu lama, Meor bergerak ke hujung wakaf dan memakai kasut sekolahnya kembali. Dia menoleh ke arah gadis itu dengan senyuman ikhlas.

"Saya... pergi dulu, Elya. Terima kasih untuk hari ini. Semoga... Kita dapat berjumpa lagi suatu hari nanti." Tanpa menunggu jawapan, Meor langsung bergerak ke kelasnya. Dada sudah seperti mahu pecah dengan situasi itu.

"Awak select sangatlah, Meor..." kutuk Elya sambil memandang belakang lelaki itu yang semakin hilang di sebalik blok bangunan.

"Semoga kita jumpa lagi nanti... Meor Muhammad Ghazi."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience