BAB 5

Romantic Comedy Series 894

LEKIR hanya memandang Meor yang tersenyum seorang diri seperti orang gila sambil menyediakan bahan masakan untuk tengah hari nanti. Sesekali, dia memandang ke seluruh kawasan dapur untuk melihat samada kitchen crew yang lain perasan atau tidak apa yang terjadi pada Meor itu.

"Meor," panggil Lekir seraya meletakkan kembali pisaunya yang sedang memotong ayam kepada beberapa bahagian. Tubuh dipusing supaya dapat menghadap Meor yang berwajah jernih dan ceria.

"Ya, bang?" Wajah Lekir dia lihat seketika sebelum kembali memotong timun dan tomato dalam bentuk kiub sebagai salad yang akan dimakan bersama nasi arab mandy ayam sebagai menu makanan tengah hari untuk seluruh krew platform pada hari ini.

"Kau ni tertelan air laut ke? Dah kenapa asyik tersenyum setiap masa macam baru dapat harta karun ni?" soal Lekir dengan pelipis yang sudah berkerut menanti jawapan.

Meor terus melepaskan tawa kecilnya mendengar soalan daripada 'cook partner'-nya itu. Ada-ada saja Abang Lekir, ada pula dia tertelan air laut sedangkan dia asyik berada di atas platform ini saja. Untuk lebih spesifik, dia sentiasa berada di bilik, dapur dan mess hall sahaja. Mana sempat nak rasa air laut.

"Mana ada, bang. Saya senyum pun salah ke?" Meor mengembalikan soalan itu kepada Lekir.

"Taklah... Selama ni kau memang kuat senyum tapi hari ni, sepanjang pagi ni la senang cerita... Kau senyum sejak masuk dapur sampai sekarang. Apa yang buat kau senyum macam baru menang cabutan bertuah ni?" Selagi Lekir tidak mendapat jawapan, dia tidak akan berhenti menyoal cef muda itu.

"Hati saya senang sikit hari ni, sebab tu saya senyum," jawab Meor jujur sebelum memasukkan timun dan tomato yang sudah dipotong dadu ke dalam mangkuk yang besar. Bawang holland pula dicapai untuk dipotong dadu seperti tadi.

"Sebab si budak Elya tu ke?" Lekir menyerkap jarang.

Meor terus menoleh ke kirinya dengan pantas tatkala nama Elya naik dalam perbualan mereka. Tangannya terus berhenti bergerak dari memotong sayur itu.

"Oh, bang... Air kotak tu nanti saya ganti balik eh," maklum Meor dengan wajah yang bersalah apabila teringatkan dua air kotak coklat yang dia ambil beberapa hari lalu demi mengejar Elya Tihani.

"Lailahaillallahhhhh... Letih aku bercakap dengan kau ni, Meor." Lekir putus asa. Dia mencapai pisaunya lalu kembali memotong berbelas ekor ayam yang masih berbaki. 

Meor menahan tawanya dengan ayat terakhir Lekir tika itu. Dia saja tidak mahu menjawab persoalan itu kerana dia tidak tahu apa yang menggembirakan hatinya pada waktu itu. Malam demikian hari, dia dan Elya hanya berbual kosong walaupun hanya sebentar. Dia mendapat nombor telefon gadis itu dan itu sudah cukup buat Meor. 

Beberapa hari berlalu, dia masih belum dapat duduk dan bersembang seperti 'kawan' yang lain. Mahu chat di WhatsApp, line di atas pelantar ini sangat terhad. Jadi, dia hanya menunggu dan menunggu. Dia tahu Elya sedang sibuk dengan masalah paip yang sedang dipantau olehnya sekarang. Dia tidak tahu apa masalahnya, tapi itu apa yang diberitahu oleh Elya kepadanya.

"Saya jumpa Elya malam tu aje, bang. Kalau dekat mess, saya jarang nampak dia datang makan. Nak mesej, line tak ada. Jadi, saya senyum sorang-sorang ajelah..." Pasrah ayat itu keluar dari mulutnya bagai menjawab segala persoalan yang bermain di minda Lekir tatkala itu.

"Cakap kawan je, apa hal kau pasrah sangat ni?" ujar Lekir seperti mengusik Meor yang sudah dianggap seperti adik sendiri. Dia suka mengusik Meor yang kadang-kadang terlampau 'lurus'.

"Memanglah kawan je, bang. Tapi buat masa sekarang, dia aje kawan yang saya ada kat atas laut ni..." Meor mencebik sedikit bibirnya. Sayur-sayuran yang sudah siap dipotong, dia bawa ke meja dan ditutup. Dekat-dekat dengan waktu lunch nanti dia akan gaul semua sayur dan bahan yang lain.

"Aku ni bukan kawan kau ke?"

"Bang Lekir ni abang saya, bukan member." Meor tersengih seperti kerang busuk. Lantas, dia membawa ayam yang sudah dipotong oleh Lekir ke singki. Ayam-ayam itu dibasuh bersih sebelum direbus.

"Hah, bodek aje kerja kau kan." Lekir membuat muka kerana tidak tahan dengan perangai 'acah' mamat di sebelahnya ini. Kakinya melangkah laju ke arah periuk nasi yang besar. Plastik 10 kg beras basmathi diambil sebelum dituang ke dalam periuk itu. Dia mahu basuh terlebih dahulu sementara menunggu air rebusan ayam itu siap.

"Bang, saya nak tanya." Meor bersandar pada dinding sambil memeluk tubuhnya. Kini, baru dia dapat melepaskan tangan dari memegang peralatan dapur.

"Tanyalah."

"Elya tu memang busy betul ke? Dia tak makan ke?" Matanya terkebil-kebil menanti jawapan daripada Lekir, seorang cef yang sudah lama berkhidmat di sini. 

"Dia engineer, Meor. Kau ingat dia duduk goyang kaki ke dekat pejabat dia tu? Semua sistem yang berkaitan dengan aliran O&G, dia yang kawal. Tak boleh salah sikit pun. Jadi, kau rasa dia sibuk ke tak?" Lekir menoleh ke arah Meor yang mula mengagguk kepalanya perlahan.

"Patutlah jarang nampak dia dekat mess..." Wajah Elya yang letih pada malam itu mula terlintas di mindanya. Patutlah gadis itu sudah tidak seceria ketika waktu sekolah. Hidupnya terlampau sibuk dengan sistem dan mesin.

"Kenapa? Rindu?" Kening Lekir sudah terjungkit sebelah.

"Taklah. Saya nak suruh dia ajar saya math. Budak engineering selalunya pandai math kan, bang?" 

Kenyataan itu membuatkan rahang Lekir jatuh. Hampir saja dia terlepas periuk nasi yang berisi beras 10 kg ketika itu.

"Buat apa kau nak suruh dia ajar math pula ni?" Dia sungguh pelik dengan perangai Meor yang ini. Lain daripada yang lain.

"Abang tahu tak, saya dari zaman sekolah suka sangat subjek matematik tapi bila masuk KV, math-nya simple sangat. So, sejak habis diploma saya kerap beli buku latihan matematik SPM. Sekarang saya dah di silibus form 5," terang Meor perlahan sambil tersengih. Air rebusan ayam yang menggelegak, dia dekati lalu ditutup apinya. Isi ayam dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam besen untuk perapan rempah yang lain. Air itu pula akan digunakan untuk memasak nasi.

"Kau ni dari planet mana ni? Kenapa pelik sangat perangai kau?" Hentam Lekir lagi sambil menggelengkan kepalanya.

"Tak baik kutuk hobi saya. At least saya tak pergi clubbing tau, bang." Meor membuat muka sakit hati apabila mendengar ayat Lekir yang menusuk ke relung hati kecilnya.

"Tak, kau memang pelik. Memang itu kenyataannya." 

Meor tidak membalas. Dia hanya menjongketkan bahunya tanda tidak tahu jika hobinya itu pelik atau tidak.

"Serius la kau nak minta dia ajar?" Lekir masih tak puas hati. "Dia tu engineer, Meor. Kepala dia penuh dengan pressure, flowrate, injection bagai. Kau nak tambah lagi dengan algebra?"

Meor senyum kecil sambil mula menabur serbuk ketumbar dan jintan ke atas ayam panas.

"Math tu universal, bang. Engineer  guna math. Saya pun guna math."

Lekir mencebik kuat. "Kau guna math kira beras 10 kilo cukup untuk berapa orang je."

"Itu pun math apa." Meor angkat kening.

Dia gaul ayam dengan rempah perlahan-lahan supaya setiap ketul bersalut rata. Bau rempah kering bercampur dengan haba ayam rebus membuatkan dapur terasa lebih hangat.

"Lagipun..." Meor berhenti sekejap.

Lekir memandangnya, menunggu sambungan yang bakal keluar dari mulut yang tidak pernah terjangkau dek otak ayatnya.

"... saya nampak muka dia macam stress sangatlah, bang. Kalau dia ajar saya math, mungkin stress dia hilang. Manalah kita tahu, kan?" sambung Meor.

Lekir terus menghembus nafas berat. Dia sudah jangka, otak lelaki ini memang berfungsi sangat lain daripada manusia biasa.

"Itu bukan hilang stress tapi tambah stress!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience