Series
894
PINTU mess yang dibuka dan ditutup sedikit kuat mengganggu Meor yang sedang menuang kuah spagetti bolognese ke dalam tray. Dia baru saja selesai memasak kuah yang kedua untuk makanan supper buat crew pada malam ini.
Jujur dia katakan, ini merupakan kali pertama dia menjadi cef di atas laut selepas empat tahun berhempas pulas bekerja di hotel. Pada tahun kelimanya, dia saja mahu mengubah angin. Rezekinya apabila dia disponspor untuk mengambil sijil sebelum dia diluluskan berkerja di atas platform offshore yang banyak bahayanya.
Senyuman kecil terukir di hujung bibir Meor. Dia menolak sedikit cermin matanya ke belakang sebelum mengangkat tray yang berisi kuah bolognese tadi untuk bawa ke ruang depan.
"Ada makanan lagi ke?" tegur satu suara perempuan dari belakang sebaik saja dia meletakkan dulang itu ditempatnya.
Meor terus menoleh ke belakang sebelum dia termengap seketika melihat gerangan itu. Gadis yang kelihatan lesu dan tidak bermaya dengan coverall birunya kotor di hujung lengan. Tudung bawal yang sudah kelepet, hanya dibiarkan.
Meor berdehem kecil sebelum cermin mata yang melorot ditolak ke belakang dengan jantung yang berdegup kencang.
Adakah dia gadis yang selama ini dia elak sepanjang waktu persekolahan mereka?
Meor menghembus nafas perlahan sebelum membalas renungan mata kuyu itu.
"Ada. Supper baru siap. Awak nak makan sekarang?" soalnya tanpa lepas memandang gadis itu. Bawah matanya sedikit hitam, mungkin tidak cukup tidur.
"Nak," jawab gadis itu pendek. Dia bergerak dan mencapai pinggan. Dia terus mencedok spagetti bolognese yang masih berasap ke dalam pinggannya sendiri. Perutnya mula berkeroncong kuat apabila aroma wangi makanan itu memenuhi rongga hidung.
Meor berhenti memerhati sebelum kembali ke arah dapur.
"Bang, nak tanya," tegur Meor kepada Lekir, salah seorang cef yang berada di situ.
"Tanya apa?" Sebelah kening lelaki itu terangkat tanpa sedar.
"Abang kena tak perempuan yang tengah cedok spagetti tu?" Gerangan gadis itu ditunjuk sehingga rakannya itu tersenget-senget mahu melihat orang yang ditunjuk oleh Meor.
"Oh, itu kenal sangat. Dia Elya, anak underwater welder yang bisu tu. Kenapa kau tanya?" Wajah Meor yang sudah terkulat-kulat di hadapannya dipandang dengan mata yang dipincingkan.
"Kau suka dia eh, Meor?" Lekir mula menyerkap jarang.
"Mana ada, bang. Saya rasa dia kawan sekolah saya dulu. Jadi saya nak confirm-kan dengan abang. Nama dia Elya Tihani, betul tak?" soal Meor sekali lagi untuk kepastian.
"Haah, betullah kot. Tak ingat." Lekir menjongketkan bahunya. Nama anak-anak sendiri pun kadang-kadang bertukar, apatah lagi nak mengingat nama anak orang lain.
"Okey, takpe. Terima kasih, bang!" kata Meor penuh semangat.
Satu tray yang berisi bebola daging itu dibawa ke depan dengan wajah yang riang.
Entah kenapa, tatkala dia perhatikan wajah gadis itu... Dia yakin gadis ber-coverall biru itu ialah Elya.
Elya Tihani, gadis yang sudi meminta izin untuk berkawan dengannya sembilan tahun yang lalu.
Dia terus mendekat dengan Elya yang masih berdiri di hadapan tray makanan itu.
"Awak nak meatball tak?" tegur Meor yang masih membaw dulang itu.
Elya terus mendongak memandangnya seketika sebelum berasa dejavu seketika. Rahangnya bagaikan jatuh apabila melihat wajah yang seiras dengan mamat sombong yang menolak pelawaannya untuk berkawan tika waktu sekolah dulu.
Eh, tak mungkin...
"Awak?" panggil Meor sekali lagi.
"Ya, saya nak." Laju mulutnya menjawab tatkala mindanya masih memproses informasi.
Meor terus tersenyum lebar lalu memasukkan lima biji bebola daging ke dalam pinggan sang gadis.
"Okey, dah. Selamat menjamu selera, Elya."
Usai berkata sebegitu, dia terus berlalu ke dapur meninggalkan Elya yang sudah terpinga-pinga.
Meor terus menyandarkan belakangnya pada dinding sambil memejamkan mata sendiri.
Fuh, berdebarnya. Sudah lama dia tidak rasakan debaran yang maha hebat seperti ini. Kali terakhir adalah pada pertandingan kulinari di Kolej Vokasional dulu.
Meor membuka mata lalu menjenguk sedikit ke luar dapur. Matanya tertancap pada Elya yang sedang menjamah makanan seorang diri di meja bersebelahan dinding.
Segala tingkah gadis itu dia perhati dengan senyuman manis yang mula tertarik tanpa dia sedar.
"Haih, tadi cakap kawan aje. Ini yang skodeng anak dara orang malam-malam gini dah kenapa?" tegur Lekir sambil menggeleng kepala.
Bukan dia tidak dapat membaca gerak-geri Meor tadi. Dia pernah muda, cuma dia malas mahu masuk campur urusan Meor yang baru saj beberapa bulan bekerja di sini.
"Memang kawan ajelah, bang." Meor mencabut topi yang menutup kepalanya sebelum digaru tanpa sedar. Telinga terasa panas apabila terkantoi begitu saja oleh rakan sekerjanya.
"Kalau kawan, kenapa terjenguk-jenguk macam pencuri? Pergilah tegur." Hampir terdongak Lekir memandang Meor yang berketinggian lebih 15cm darinya. Telan galah ke apa budak ni waktu kecil?
"Saya malulah, bang. Saya pernah bercakap sekali je dengan dia waktu sekolah dulu." Meor menunduk sedikit sambil menggenggam erat topinya di kedua-dua belah tangan.
"Umur kau berapa, Meor?"
"25."
"Dah sunat, kan?"
Hampir tersedak air liurnya mendengar soalan itu.
"Dah, bang."
"Lepas tu tunggu apa lagi? Budak sekolah rendah yang belum sunat tu lagi berani berbanding kaulah, Meor. Jangan buat malu jantina."
Meor terasa seperti ditumbuk di hidungnya apabila dibandingkan dengan budak sekolah rendah. Bagai terhiris ego dirinya tika itu.
"Kalau tak tegur sekarang, bila lagi masa yang kau ada untuk tegur dia? Berbulan kau dan dia berada di platform yang sama, tapi baru malam ni Allah pertemukan semula korang berdua. Kau ingat ni kebetulan ke, Meor?" tambah Lekir lagi untuk membuat anak lelaki itu berfikir.
Muka dah hensem, badan dah fit. Cef pula tu. Malangnya, otak lembab bergerak. Apa nak jadilah, cef muda yang seorang ini.
"Tapi—"
"Tak ada tapi-tapi, pergi tegur dia sekarang!" arah Lekir sambil menolak lengan lelaki itu supaya keluar dari bahagian dapur.
"Tapi bang, Elya dah tak ada dalam mess. Dia dah balik..." kata Meor perlahan tatkala pandangannya jatuh pada meja yang diduduki oleh Elya tadi.
"Itulah kau, lambat sangat buat kerja. Macam siput! Gary Spongebob tu lagi cepat buat kerja daripada kaulah, Meor." Lekir terus menepuk dahinya sendiri.
Ya Allah, budak gen baru ni memang tak tahu cara nak mengorat anak dara orang ke?
"Manalah saya tahu Elya nak pergi secepat ini, bang..." Meor mula membela diri.
"Kau pergi ambil air kotak coklat dalam peti ais, lepas tu kau pergi cari dia sekarang. Tak adanya dia nak balik bilik terus lepas makan. Cepat pergi!" arah Lekir lalu menolak tubuh tinggi itu ke arah peti sejuk di dapur.
"Nak ambil satu ke dua bang?" soal Meor polos.
"Ya Allah, dualah. Kau ni!" Hampir naik darah Lekir dengan soalan Meor itu.
"Okey, bang."
"Pergi kejar dia cepat. Kalau tak dapat kejar, kau potong ajelah kaki panjang kau tu," perli Lekir sambil memicit kepalanya.
Pening. Pening. Pening.
"Terima kasih, bang!" ucap Meor yang berlari anak sambil membawa dua air kotak berperisa kotak keluar dari mess.
"Kejar sampai dapat!" jerit Lekir sehingga pintu mess itu tertutup kembali.
Share this novel
wahhh... menarikkkk.. keep it up.. ;)