BAB 7

Romantic Comedy Series 894

"SALAH tu, kan saya dah cakap jangan bahagi. Kenapa awak pergi bahagi?" tegur Elya dengan suara yang hampir ternaik. Inilah salah satu sebab dia tidak boleh mengajar orang, dia cepat marah!

Meor yang sedang memegang pensel terus terkaku. Hujung mata penselnya berhenti betul-betul di atas kertas setelah selesai dia membuat satu garisan kecil untuk bahagi nombor-nombor di situ.

"Bukan kena bahagi ke?" soal Meor perlahan, matanya memandang Elya yang sudah mencerlung tajam ke arahnya.

"Tak, Meor. Siapa ajar awak kena bahagi awal-awal ni? Ni factorisation tau, bukannya fraction nak bahagi-bahagi macam tu. Awak kena darab, bukan bahagi." Nada suaranya kembali tenang. Dia tidak mahu mengganggu orang lain di mess ini dengan suaranya memarahi Meor yang berada di depannya kini.

Pada jam 10.00 malam, mess itu masih hidup. Namun, tidak terlalu bising. Cuma masing-masing boleh terasa bahawa tempat itu masih berpenghuni dengan suara kru yang masih santai menikmati makan malam mereka sambil berbual rancak.

Elya yang tika itu hanya memakai sweatshirt biru gelap bersama seluar slack dan tudung sarung, memandang Meor dengan perasaan geram. Dia cuba untuk bersabar melihat wajah Meor yang seakan-akan polos. Kalau macam ni, dia nak marah pun terbantut.

"Awak yang ajar saya kena bahagi..." jawab Meor perlahan.

"Mana ada! Awak jangan fitnah saya." Pintas Elya laju. Terus terpisat-pisat Meor dalam keadaan itu. Susahnya topik ni... Tak fasal-fasal Elya sudah berubah jadi singa sebab ajar dia yang tak berapa nak faham tajuk ini.

Buku Matematik SPM miliknya ditolak sedikit ke hadapan sebelum tangan itu laju mencapai teh tariknya. Usai minum, dia meletakkan cawan yang masih berisi separuh air di tepi buku, hampir terkena helaian kertasnya.

"Jangan letak air dekat buku, Meor," tegur Elya tanpa memandang wajah lelaki. Dia sedang menganalisa soalan di dalam buku Matematik itu tanpa banyak bunyi.

"Baik, cikgu." Dia terus menolak gelas itu menjauh dari bukunya.

Elya menjeling Meor seusai ayat itu terbit daripada bibir itu.

"Jangan panggil saya cikgu."

Meor terus duduk tegak.

"Engineer?" Lelaki itu hampir tersengih mendengar hembusan nafas berat Elya. Adakah dia terlalu menguji kesabaran gadis itu?

"Apa-apa pun tak payah," balas Elya pendek. "Sekarang fokus dekat soalan, jangan banyak main."

Elya menarik buku Matematik itu rapat ke arahnya. Pensel di tangan Meor diambil tanpa izin lalu diketuk perlahan pada buku itu.

"Cuba tengok soalan ni betul-betul. Soalan ni bentuk apa?" Matanya terus naik pada kepala Meor yang sedang menunduk, memandang soalan yang gadis itu tunjuk.

3x² – 5x – 2 = 0

"Kuadratik."

"Pandai. Standard form dia macam mana?" tanya Elya lagi.

"ax² + bx + c = 0" jawab Meor sambil menjeling Elya dengan hujung mata untuk mendapatkan kepastian.

Gadis itu mengangguk tanda puas hati dengan jawapan Meor.

"Jadi, sekarang awak nampak tak a, b, dan c dia? Cuba senaraikan." Elya mengembalikan pensel itu kepada Meor sebelum menolak buku itu perlahan-lahan ke arah lelaki itu.

Meor senyap sesaat sebelum jemari itu laju menulis jawapan kepada persoalan Elya. Sesekali cermin mata yang melorot jatuh, ditolak naik.

a = 3
b = -5
c = -2

"a tiga, b negatif lima, c negatif dua."

"Pandai pun awak ni. Boleh proceed next step. Saya nak tengok," arah Elya sambil menopang dagu melihat pensel itu menari di atas kertas sehingga ia terhenti secara tiba-tiba.

"Kenapa berhenti?" tanya Elya dengan dahi yang berkerut.

"Awak janganlah tengok saya macam tu. Jantung saya berdegup kencang tahu tak? Rasa macam kena perhati dengan pengetua sekolah. Takut," ujar Meor sambil memegang dada sendiri yang berdentum hebat.

"Gediklah awak ni. Cepatlah buat. Tulis dulu formula kuadratik tu." Kedua-dua tangan direhatkan di atas meja, tetapi mata itu tidak lepas dari memandang satu persatu jawapan yang terhasil di atas kertas itu.

Bukannya dia usyar Meor pun, perasan betul mamat tu!

Meor berfikir sebentar sebelum formula itu ditulis tanpa ragu.

x = [-b ± √(b² - 4ac)] / 2a

"Betul tak, awak?" soal Meor untuk kepastian.

Elya mengangguk kecil. "Sekarang cari discriminant dulu."

"b² tolak 4ac..." ulang Meor.

Dia mula mengira dengan penuh tekun. Dia perlu tunjukkan pada Elya yang dia boleh!

b² - 4ac
= (-5)² - 4(3)(-2)

Tangan Meor terhenti secara tiba-tiba.

"Kenapa berhenti?" tanya Elya.

"Empat darab tiga darab negatif dua... jadi -28 kan?" Meor mencongak angka itu dengan mata terkedip-kedip memandang Elya.

"Salah." Elya terus mencelah mendengar jawapan yang keluar dari bibir itu.

"Hah?"

"-24, awak. Datang mana lagi empat tu?"

"Oh..." Lelaki itu cepat-cepat mengira semula di hujung kertas. Satu persatu langkah dia tulis dengan jelas supaya lebih faham walaupun banyak jalan kiranya.

4 × 3 = 12
12 × (-2) = -24

"Ha... -24lah, awak..." dia senyum canggung. Salah pula congakan dia tadi. Buat malu aje.

"Sekarang sambung." Elya tidak mahu membuang masa.

"Jadi..."

= 25 - (-24)

Dia pandang Elya macam minta pengesahan.

Elya angguk perlahan. "Teruskan, Meor."

"25 tolak -24 jadi... 25 tambah 24..."

"Kenapa tambah?" Elya sengaja menguji lelaki itu sembari menjungkitkan sebelah keningnya.

"Sebab tolak negatif jadi tambah. Negatif negatif jadi positif."

"Pandai pun." Elya senyum nipis.

Meor sambung mengira sehingga dia mendapat jawapan.

= 49

"Discriminant is greater than zero, so this quadratic equation has two real solutions. So, awak masukkan nilai tu ke dalam formula," terang Elya apabila lelaki itu seperti terpinga-pinga untuk ke langkah seterusnya.

Meor menyalin semula formula itu dan menggantikannya dengan nilai yang dia peroleh.

x = [-1(-5) ± √49] / 2(3)

"Betul kan macam ni?"

"Betul, awak teruskan aje. Kalau salah, saya tegur terus," jawab Elya laju.

Dia sambung mengira apabila Elya berkata sebegitu rupa. Botol airnya ditarik sebelum dia minum perlahan.

x = (5 + 7) / 6
= 12 / 6
= 2

Wajah Meor berubah ceria apabila dia mendapat jawapan yang pertama. Terus dia memanggung kepala untuk melihat reaksi Elya.

"Yang kedua pula?" Namun, gadis itu hanya bereaksi biasa.

x = (5 - 7) / 6
= -2 / 6

Meor tiba-tiba terdiam seketika.

"Bahagi," suruh Elya.

"-2 bahagi 6 jadi..." dia kira dalam kepala. "-0.3?"

Elya terus ketuk meja perlahan.

"Jangan terus tukar perpuluhan kalau tak perlu. Ringkaskan pecahan dulu," tegur Elya sambil menggelengkan kepalanya. Dia tidak kata jawapan itu salah, tetapi dia tidak mahu Meor melangkau langkah penting kerana dia baru saja mahu belajar.

"Oh... baik, awak."

= -2 / 6

Jawapan itu ditulis seperti arahan Elya.

"Kedua-dua boleh bahagi dua," sambung Elya.

Meor potong nombor itu.

= -1 / 3

Dia angkat kepala perlahan-lahan. "Jadi jawapan dia... x sama dengan 2 atau -1 / 3."

Suasana menjadi sunyi seketika apabila Elya turut tidak bersuara.

Elya pandang dia lama. Sungguh lama sehingga Meor rasa jantung dia yang berdegup kencang tadi telah naik ke gear turbo.

"Ha... boleh pun buat kalau tak gelojoh nak bahagi awal-awal. Math ni kena ikut step by step, bukannya main taram buat aje," pesan Elya sebelum kembali menopang dagunya.

"Awak memang jenis tak suka orang skip step ke?" tanya lelaki itu dengan polos.

Elya tidak terus jawab. Dia hanya menutup buku Matematik itu perlahan, kemudian menolak semula ke arah Meor.

"Dekat platform ni pun sama. Kalau orang terus ubah setting tanpa faham sistem, habis semua orang susah dan boleh bahayakan nyawa. Jadi ya... saya tak suka orang skip step."

Meor angguk perlahan.

"Patutlah awak marah saya tadi."

"Saya tak marah, saya tegur."

"Tapi tadi suara awak naik..."

Elya senyap seketika. Dia mencapai cawan teh aisnya lalu disedut semula.

"Saya cuma tak sabar sikit je," jujur Elya berkata sambil tersenyum kecil. Ya, dia memang tidak sabar.

"Macam banyak je." Meor terus mengemam mulutnya apabila dia terlepas kata. Mata Elya yang sudah membulat memandangnya dengan rasa terkejut.

"Oh, awak kutuk saya eh?" Matanya dipincingkan ke arah Meor yang sudah tersengih seperti kerang busuk.

"Sorry, awak. Terlepas..."

"Disebabkan mulut awak terlepas, buat lagi dua soalan. No excuse." Buku Matematik yang sudah ditutup tadi, Elya buka semula dan mencari soalan buat Meor.

"Tapi dah nak dekat pukul 11 malam ni, awak..."

"Ada saya kisah? Kerana mulut badan binasa kan? Ha, jawab cepat. Kalau salah, saya tambah lagi soalan," ugut Elya sambil tersenyum senget.

"Apa ni, awak..." Hampir Meor memuncung tapi dia menahan dirinya. Ah, hilanglah macho kalau macam ni. Dia kena tunjukkan yang dia boleh. Matematik aje pun!

"Suka sangat buat math kan? Ha, buatlah sampai puas." Elya sudah tertawa kecil melihat wajah cemberut Meor.

"Okey, Elya. Awak kan perempuan, jadi awak sentiasa betul." Meor terus menghadiahkan senyuman tidak ikhlas sehingga tertutup matanya.

Lalu, tawa Elya semakin kuat sehingga menarik perhatian beberapa orang kru yang berada di galley. Kepala mereka dijengulkan ke luar dapur untuk memastikan sama ada tawa itu benar-benar daripada gadis yang kurang bergaul dengan orang itu atau bukan.

Hampir jatuh rahang mereka apabila terlihat Elya yang tertawa berhadapan dengan cef muda itu.

Oh man... Elya ketawa? Disebabkan Meor?

What in the world!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience