Series
894
ANGIN laut menyambut Elya seraya dia melangkah ke luar dari ruangan yang dipenuhi mesin yang digunakan di platform ini.
Udara di dalam ruang tadi hangat dengan bunyi mesin dan bau minyak pelincir. Di luar, angin masin menyentuh kulit seperti peringatan bahawa platform ini bakal berhadapan dengan ombak deras beberapa jam sahaja lagi.
Elya berhenti seketika di ambang pintu sebelum helmet dipasang kemas. Sarung tangan ditarik sehingga ke pergelangan tangan.
Di sebelahnya, Amir sudah tiba seraya memerhati laut yang biru.
"Cuaca okay," katanya perlahan untuk menegur Elya yang sudah bersedia untuk ke lapangan.
Elya hanya mengangguk sebagai jawapan. Cuaca di atas platform mungkin tenang tetapi yang mereka risaukan sebaik saja tiba di bahagian bawah platform.
Mereka mula berjalan menyusuri walkway besi menuju ke kawasan chemical injection skid. Tapak kasut keselamatan mereka berbunyi berat di atas lantai berjalur besi.
Di kiri kanan, paip-paip bersilang dan berselirat seperti urat yang membawa gas dan kondensat dari perut bumi.
Suasana antara Elya dan Amir hanya sunyi bertemankan bunyi kasut yang berbergeser dengan besi dan juga angin laut. Tiada dialog yang tidak penting antara mereka berdua.
"We are here," kata Amir sambil menoleh ke arah gadis yang tingginya bukan seperti wanita normal di Malaysia. Ketinggian mereka hampir setara.
"Jom masuk," ajak Elya sebelum dia terus jalan mendahului lelaki itu.
Bunyi pam kimia mula kedengaran sebelum mereka sampai ke tempat yang dijanjikan. Seorang operator sudah menunggu di panel kecil berhampiran skid. Dia mengangkat tangannya seperti memanggil Elya dan Amir ke situ.
"Tuan, Puan," sapanya, sedikit menunduk hormat.
"Injection rate rendah sikit dari setpoint. 3.8 liter per minute. Sepatutnya 4.2." Dia terus memberi penerangan setelah mendapat anggukan daripada Elya dan Amir.
Nombor yang terpampang di panel yang tergantung di udara mendapat perhatian Elya.
3.8. Beza hanya 0.4 liter per minit.
Bagi orang luar, ia tidak memberi apa-apa makna kerana nilainya terlalu kecil. Namun di platform offshore, beza kecil boleh jadi titik mula kepada masalah yang besar.
Elya terus mendekat dengan panel. Dia tidak terus memberi arahan melainkan mula menganalisa nombor-nombor di situ.
"Trend dua jam terakhir," pintanya senada.
Operator membuka paparan trend di panel dengan pantas. Graf kecil muncul memaparkan garis hijau yang sebelum ini mendatar kini menunjukkan penurunan perlahan sejak pagi.
Tidak mendadak.
Tidak juga stabil.
Sesuatu sedang berubah sedikit demi sedikit.
Elya meneliti flowmeter digital. Bacaan stabil di 3.8 LPM. Dia beralih pula ke discharge pressure pam. Jarum analog menunjukkan tekanan masih dalam julat normal.
"Pam cavitation?" tanya Amir bagai memecahkan kesunyian di antara mereka. Selama ini, dia hanya memerhati namun dia perlu bertindak kerana dia bertanggungjawab di bahagian pipeline.
Operator menggeleng. "Suction pressure okay. Discharge pun tak drop."
Jika cavitation berlaku, tekanan akan menjadi tidak cantik. Bunyi pam juga akan berubah kasar dan tidak sekata.
Elya terus mendekatkan sedikit telinganya ke arah pam apabila mendengar jawapan operator tersebut. Dengungan itu masih konsisten. Tidak ada getaran ganjil. Tidak ada tanda gelembung vapour mengganggu putaran impeller di dalamnya.
Dia beralih pula ke manual valve pada line injection. Platform offshore tidak pernah sunyi tanpa getaran halus sentiasa ada daripada semua mesin-mesin yang berada di situ.
Vibration itu cukup penting untuk mengubah kedudukan valve beberapa darjah. Cukup untuk menurunkan flow apabila berada dalam keadaan yang tinggi.
Tangannya mula menyentuh valve, memeriksa posisi. Dia memastikan valve itu terbuka sepenuhnya supaya tiada sekatan yang berlaku.
"Water cut semalam macam mana?" tanya Elya tanpa memandang sesiapa.
"Sedikit naik," jawab operator. "Tak banyak. Tapi ada increment."
Itu cukup untuk membuatkan Elya diam seketika untuk dia berfikir apa yang terjadi kepada sistem perpaipan mereka.
Lebih banyak air di dalam aliran bermakna lebih tinggi risiko pembentukan hydrate. Dan jika injection Mono Ethylene Glycol (MEG) tidak mencukupi, kristal boleh mula terbentuk di dalam pipeline subsea yang panjangnya berpuluh kilometer. Itulah yang cuba dia cegah sejak dari pagi tadi.
Dia menegakkan badan dan memandang operator itu dengan wajah tenangnya.
"Naikkan ke 4.4 liter per minute."
Operator memandang Elya seketika sebelum menoleh ke arah Amir. Lelaki itu hanya mengangguk seperti bersetuju dengan keputusan Elya.
"Setpoint 4.2," jawab operator itu.
Knob diputar perlahan. Bunyi pam berubah sedikit menjadi lebih dalam dan lebih berat. Angka di skrin panel mula naik secara berperingkat.
3.9.
4.0.
4.2.
4.3.
4.4.
Elya tidak mengalihkan pandangan sehingga bacaan mula stabil.
"Monitor discharge pressure ni. Pastikan tak overstrain," pesan Elya seraya melihat ke arah lelaki yang sejak tadi mendapat arahan dari dirinya.
Operator itu mengangguk. Jarinya sudah bersedia di panel untuk menekan input seperti arahan yang diberikan.
MEG yang dipam masuk ke dalam aliran akan bercampur dengan air, menurunkan suhu pembentukan hydrate. Ia tidak menghapuskan risiko sepenuhnya tetapi dapat mengubah keseimbangan sehingga membuatkan kristal sukar terbentuk pada tekanan dan suhu semasa.
Beberapa minit berlalu, hanya bunyi mesin menjadi peneman mereka bertiga.
Angin laut mula bertiup lebih kuat berbanding tadi. Elya sudah menjangkakan hal ini akan berlaku. Bau masin bercampur dengan bau besi dan minyak.
Tiba-tiba, suara dari radio operator berdesir mencuri perhatian mereka.
"CCR report slight pressure drop on Line B."
Amir memandang Elya. Gadis itu menghembus nafas lebih berat. Dia sudah menjangka kemungkinan itu.
"Berapa drop?"
"Masih dalam limit. Tapi trending down."
Elya mengangguk perlahan. Injection baru dinaikkan. Sistem memerlukan masa untuk respons. Tekanan dalam pipeline yang panjang tidak berubah sekelip mata.
"Kita tunggu lima minit. Kalau masih turun, kita adjust valve stepwise," kata Elya tenang.
Dalam sistem tekanan tinggi, perubahan mendadak boleh mencetuskan surge yang boleh mengganggu kestabilan. Dan kestabilan adalah tunjang utama di platform offshore.
Mereka berdiri dan berdiam diri sambil ditemanai bunyi mesin dan angin.
Menunggu apa-apa perubahan yang bakal berlaku.
Radio berbunyi lagi.
"Pressure stabilising."
Amir menghembus nafas perlahan dek perasaan lega yang mula menghambat lega. Mujur Elya melakukan keputusan dengan cepat dan tepat.
Elya terus memandang ke arah laut. Di bawah sana, aliran masih berjalan di dalam pipeline yang baru saja diselamatkan.
Hydrate mungkin cuba terbentuk tetapi MEG yang mereka pam masuk sedang mengganggu percubaan itu. Mengacau susunan kristal sebelum ia sempat menjadi pepejal yang degil.
Satu keputusan kecil dengan menambah 0.6 liter setiap minit itu sudah menyelamatkan risiko kerugian yang bakal berlaku.
Kos kimia mungkin telah naik sedikit disebabkan penggunaan MEG tambahan. Namun, ia jauh lebih murah daripada kehilangan produksi dalam sehari jika pipeline tersumbat disebabkan hydrate. Juga jauh lebih murah daripada risiko keselamatan yang tidak ternilai.
"Good call, engineer," kata operator itu perlahan, memuji tindakan cerdas sang gadis.
Elya tidak tersenyum melainkan dia mengangguk tanda hormat. Dia terus bergerak keluar dari tempat itu sebelum dia mendongak memandang langit yang sudah bertukar gelap.
Jam di pergelangan tangan di pandang. 11.00 malam. Sudah berjam-jam dia menghabiskan masa di CCR dan skid hari ini. Mujur saja dia tidak boleh solat, tidaklah dia terkejar-kejar waktu.
"Elya, you dah makan belum?" tegur Amir sambil berjalan beriringan dengan gadis itu.
"Belum," jawab Elya pendek.
"Skip your meals again? Since when? Breakfast?" Amir menyerkap jarang. Semua orang di platform itu bagai sudah masak dengan perangai Elya itu. Sangat susah untuk menjamah makanan apabila keadaan sistem berada dalam keadaan goyah.
"Dinner last night."
"You ni kalau buat kerja, memang gila. Jaga diri, Elya. Company ni masih perlukan engineer gila macam you," seloroh Amir dalam tegurannya. Elya hanya tersenyum kecil.
"Ya, thanks ingatkan."
"You pergilah mess, rasanya ada lagi makanan berat sebelum supper. Kalau tak ada pun, you request-lah. Insya-Allah diorang tak busy sangat kut." Amir memberi cadangan apabila melihat wajah sang gadis sudah hampir pucat.
"I pun tiba-tiba rasa lapar sangat. I pergi mess dulu. Thanks for your time in solving the problem," ucap Elya ikhlas.
"No problem, it's my job too. I pergi dulu. Selamat menjamu selera, Elya." Dia terus bergerak meninggalkan Elya sebaik saja memberikan satu senyuman lebar walaupun tidak dibalas oleh gadis itu.
Elya melangkah longlai, membuka pintu mess. Baru saat ini dia terasa sangat tidak berdaya kerana perutnya telah kosong lebih dari 24 jam.
"Ada makanan lagi ke?" tegur Elya sebaik saja dia nampak kelibat seorang cef sedang meletakkan satu tray makanan di tempatnya.
Lelaki itu terus menoleh ke belakang sebelum termengap seketika. Cermin mata yang melorot ditolak ke belakang dengan jantung yang berdegup kencang.
"Ada. Supper baru siap. Awak nak makan sekarang?" soalnya tanpa lepas memandang gadis yang sedikit lesu dalam coverall berwarna biru.
"Nak." Elya terus bergerak dan mencapai pinggan. Dia terus mencedok spagetti bolognese yang masih berasap ke dalam pinggannya sendiri. Perutnya mula berkeroncong kuat.
"Awak nak meatball tak?" tegur cef muda itu seraya membawa satu tray baru. Elya terus mendongak memandangnya seketika sebelum berasa dejavu seketika.
Eh, tak mungkin...
"Awak?"
"Ya, saya nak."
Lelaki itu terus tersenyum lebar lalu memasukkan lima biji bebola daging ke dalam pinggan sang gadis.
"Okey, dah. Selamat menjamu selera, Elya." Lelaki itu terus berlalu ke dapur meninggalkan Elya yang sudah terpinga-pinga.
Dia terus berjalan ke meja sambil mengetuk kepalanya sendiri.
"Mungkin sebab aku dah beberapa malam tak tidur... Sebab tu telinga aku problem..." kata Elya pada dirinya sendiri. Dia terus membaca doa dan mula menjamah makanannya.
Terima kasih untuk nikmatnya hari ini, Ya Allah.
Share this novel