BAB 4

Fantasy Completed 1723

“Lihat sana!!!” jerit seorang lelaki sambil jari telunjuknya menuding ke satu arah. Halimah lekas menghalakan binokularnya ke arah yang dimaksudkan. Masing-masing ternganga tidak percaya. Dari jauh, sayup-sayup kelihatan satu kelibat bersayap sedang merentasi langit biru, sambil mendakap sesusuk tubuh yang berlumuran darah. Para wartawan dari beberapa stesen televisyen yang sedang membuat liputan, bergegas merakam kejadian yang nescaya menjadi skop hangat berita esok hari.

Semakin kelibat itu menjunam terbang rendah, bidikan lensa kamera di lapangan pusat pameran itu semakin menjadi-jadi. Halimah pula kian resah memikirkan perihal Izam. Selamatkah adik lelakinya itu? Pertembungan dua pesawat yang sedang melakukan aksi aerobatik sebentar tadi, antara kemalangan paling dahsyat yang pernah disaksikan sepanjang hidupnya. Meski mustahil untuk mengharap ada yang terselamat tetapi Halimah berdoa adiknya itu dipanjangkan umur. Sedar tidak sedar, airmata Halimah sudah mengalir ke pipi.

Suasana di lapangan pusat pameran tiba-tiba saja bertiup kencang, bagaikan sebuah helikopter sedang mendarat dan menyebabkan masing-masing tertunduk-tunduk. Halimah meraup rambutnya ke belakang.

“Ke belakang! Ke belakang! Ini amaran!” perintah salah seorang anggota tentera berpangkat tinggi, menyekat sekumpulan wartawan yang cuba mara ke hadapan. Dari jarak beberapa meter dari tempat kerumunan orang ramai, tubuh terkulai layu beruniform juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia dibaringkan dengan cermat. Halimah menutup mulutnya dengan telapak tangan. Dia cukup pasti itu Izam meski hampir sebahagian wajahnya dilumuri darah merah. Halimah berlari mahu mendapatkan adiknya itu tetapi dihalang beberapa orang pegawai tentera yang membuat barisan benteng supaya tiada siapa-siapa yang bertindak di luar kawalan.

“Dia adik saya! Dia adik saya!” pekik Halimah, tidak dapat membendung emosi dalam diri. Airmatanya sudah mencurah-curah.

“Sila bawa bertenang, cik!”

Halimah tidak mempedulikan arahan pegawai tentera itu. Dia mengerah segala kudrat yang ada, cuba meloloskan diri dari bentengan itu. Halimah tidak menghiraukan lagi bahaya yang kemungkinan akan membawa mudarat kepada dirinya. Halimah berlari deras sebaik sahaja susuk tubuhnya berjaya melepasi kepungan beberapa pegawai tentera. Para wartawan tidak tunggu lama untuk membidik setiap tindakan nekad lagi berani Halimah itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience